TERKINI!

Kenapa Nasyid? [Bahagian 1]

oleh:Mzfaizal.org

PENGENALAN


Nasyeed atau Nasyid di Malaysia, Brunei dan Singapura atau dikenali sebagai “Ilahija” di Negara-negara Balkan seperti Bosnia atau al-Firqah dalam bahasa Arab adalah lagu yang berorientasikan kepada Islam. Secara tradisinya nasyid dinyanyikan secara akapela atau diiringi oleh alat musik yang diketuk seperti gendang, gedombak atau kompang. Musik berpaluan kompang seperti ini adalah hasil interpretasi oleh para alim dan ulamak yang melarang penggunaan alatan musik atas alasan boleh melalaikan. Namun, ramai yang menyukai ketulinan dan kesederhanaan musik ini.

Generasi baru genre musik nasyid menggunakan pelbagai jenis musik ke dalam seni musik mereka. Ini menyebabkan kontroversi di kalangan komuniti islam kerana ramai pandangan ulamak kontra dengan idea menggunakan perbagai jenis alatan musik terutamanya alatan yang menggunakan tali.

“Julat jenis musik yang ada di dalam nasyid meluas daripada tiada alatan musik, hanya nyanyian sahaja sehingga pelbagai jenis alatan musik asalkan tidak lari daripada perkara yang bercanggah dengan amalan Islam”. Penasyid seperti kumpulan Outlandish, Aman dan artis solo seperti Dawud Wharnsby Ali, Sami Yusuf, Slave of Allah and Idris Phillips menarik minat ramai dan menjadi penghibur utama dalam majlis, seminar, konsert dan persembahan.

Penasyid di Malaysia lebih menonjol dalam Kumpulan serta tidak kurang hebat mempersembahkan kesenian mereka seperti kumpulan Raihan, Brothers, UNIC, Safwan, Mirwana dan sebagainya. Sesungguhnya nasyid terkenal di Negara Timur Tengah, Asia Tenggara, Bosnia dan Herzegovina serta Asia Selatan. Selain itu, nasyid juga disukai ramai umat islam di United Kingdom lebih-lebih lagi dengan kehadiran Yusof Islam yang pada suatu masa dahulu di kenali sebagai “Cat Steven”

Nasyid juga telah diproduksi secara professional dalam bentuk video seperti lagu lain menampilkan video hit mereka. Contohnya, Nasyid Madinah Tun-Nabi oleh Aashig al-Rasul, Al Mualim dan Hasbi Rabbi oleh Sami Yusuf, Doa oleh Seven 8 Six, Mercy like the Rain oleh Shaam dan Our World oleh Zain Bikha. Kumpulan-kumpulan nasyid di Malaysia boleh dikatakan semua mempunyai video klip masing-masing sama ada diterbitkan dengan bantuan stesen TV tempatan atau inisiatif mereka sendiri

NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

Apabila nasyid diperkatakan sebagai medium dakwah, peranannya telah dimainkan dalam konteks itu seawal tahun 80an dengan kemunculan kumpulan nasyid seperti Nada Murni yang dahulunya bernaung di bawah pergerakan kumpulan al-Arqam. Walaupun sebahagian daripada lagu nasyid yang dihasilkan merupakan mesej dan kepercayaan yang dipegang di dalam perjuangan kumpulan al-Arqam itu sendiri, secara umumnya album-album Nada Murni diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada kesedaran dan kebangkitan Islam di tahun-tahun 80an dan 90an. Konsert-konsert nasyid Nada Murni sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat. Malah di era itu, Nada Murni berupaya untuk menembusi kelab-kelab malam dan berganding dengan penyanyi popular, membawa suara Islam ke suatu tempat yang hampir mustahil untuk ditembusi oleh pendakwah biasa.

Peranan Nada Murni yang berdakwah menerusi nasyid, turut sama diperkayakan oleh kemunculan album-album nasyid lain seperti album Grup Aspirasi Seni (USM), Nahwan Nur (UPM), Shoutul Sybab (UKM) dan nasyid-nasyid Abu Ratib yang diterbitkan semula oleh Pustaka Salam. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan nasyid dari kalangan mahasiswa tanah air dan luar negara, khususnya kumpulan Sinaran Azhar. Begitu juga Usrah Al-Wadi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Namun, skop pendengar dan peminat kepada nasyid di era ini terhad kepada pelajar-pelajar di sekolah agama serta Universiti, dan mereka yang terbabit secara langsung di dalam lapangan dakwah. Nasyid di era ini lebih berperanan sebagai hiburan alternatif bagi golongan agama dan dakwah. Ia bukan untuk santapan massa.

Hanya dengan kemunculan album Raihan (asalnya dinamai The Zikr) pada tahun 1996 sahajalah, dimensi ini mengalami perubahan dan nasyid buat pertama kalinya berpeluang muncul di media-media siar negara kita dan sampai kepada skop pendengar dan peminat muzik yang lebih luas tanpa sempadan. Lirik nasyid mula mengalami perubahan. Jika sebelumnya, kebanyakan nasyid memperkatakan tentang aspek-aspek perjuangan dan jihad, malah isu-isu semasa umat Islam seperti isu Palestin, Kashmir dan Bosnia, lirik nasyid pasca album Puji-pujian mula terbuka kepada memperkatakan tentang subjek yang lebih umum dan boleh dihayati oleh orang awam.

Jika nasyid didefiniskan sebagai medium dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah intepretasi seorang Daie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya. Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan genre hiphop dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah. Apabila nasyid menjinakkan dirinya kepada genre hip hop, rap pop malah rock, apakah perubahan itu hanya membabitkan perubahan genre lagu, atau genre kehidupan penasyid itu sendiri?

Lagu Islam yang datang dari masyarakat hip hop, berbeza dengan lagu Islam yang datang dari masyarakat yang mengimitasi hip hop. Penghasilan irama hip hop bagi penasyid dari kalangan kaum Muslimin Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain, tidak diragui bahawa mereka telah berjaya menepati maksud hikmah di dalam dakwah. Kejayaan ini adalah dengan mengambil kira hip hop sebagai budaya masyarakat setempat. Masyarakat Afro-Amerika berfikir dan berkomunikasi dengan genre hip hop, rap dan raggae. Oleh yang demikian, menyampaikan mesej dakwah melalui lagu hip hop, rap dan raggae adalah sangat menepati maksud hikmah di dalam dakwah.

Maka, penasyid seperti Mustaqim Sahir di dalam albumnya Upright Song telah berjaya mengungkapkan mesej Islam dengan begitu baik, menepati sasaran komuniti Afro-Amerika di Amerika Syarikat dan dunia umumnya. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Native Deen dan Aashiq al-Rasul (AAR).

Hip hop dalam konteks ini, tidak berbeza dengan nasyid negara Arab. Penasyid Arab seperti Abu Ratib dan Imad Rami mengekalkan genre lagu tempatan bersesuaian dengan bahasa jiwa pendengar yang disasarkan.Mereka bercakap di dalam nasyid dengan bahasa pendengar. Bukan hanya bahasa lisan, tetapi juga bahasa pemikiran.

Hal yang sama lebih ketara apabila kita melihat kepada penyanyi genre Ilahi iaitu istilah yang ditujukan kepada nasyid-nasyid Islam yang klasik di Turki. Lebih 1/3 daripada penduduk Turki merupakan golongan yang dekat dengan tradisi sufism, maka pengungkapan mesej Islam di dalam irama yang mengikut disiplin Ilahi, lebih memudahkan masyarakat untuk menjiwai mesej dakwah yang ingin disampaikan.

Nasyid yang terbit dengan genre budaya masyarakat setempat adalah lebih konsisten dan seterusnya efektif di dalam melaksanakan fungsinya sebagai medium dakwah. Walau bagaimanapun, apabila penasyid di Malaysia mengubah cita rasa nasyid tempatan kepada irama hip hop, R&B dan yang seumpama dengannya, sejauh manakah peralihan ini menepati maksud dakwah?

Jika ada yang mahu mendekati remaja dengan memperkenalkan nasyid hip hop, apakah genre hip hop di kalangan remaja kita, merupakan suatu budaya dan pemikiran, atau keseronokan dan selera sementara yang datang dan pergi ?

Jika mereka memilih hip hop kerana minat, maka tidak mungkin mereka mahu kehidupan mereka diganggu oleh nasyid hip hop yang mencelah.Remaja kita yang meminati hip hop, mereka tidak sampai kepada tahap berbudaya dan berfikir secara hip hop. Ia hanya sebuah trend.

Mungkin kerana ini, nasyid hip hop Malaysia sukar menempatkan diri sama ada di dalam kategori nasyid, mahu pun di dalam kategori hiphop itu sendiri.

Di dalam dunia hip hop, nasyid hip hop dipersoalkan ketulennya. Apakah ia hip hop atau pseudo hip hop? Akhbar, yang pernah menganggotai kumpulan Mirwana mula mengorak langkah mempertengahkan irama hip hop dalam alunan nasyidnya. Misalnya nasyid Manusia lupa, mungkin mmapu mengubah persepsi nasyid hip hop.

Kita mesti bezakan di antara penyanyi hip hop yang mendapat kesedaran Islam lantas menyatakan kesedaran itu melalui hip hopnya, berbanding dengan penyanyi nasyid yang konservatif, mendapat kesedaran hip hop lantas meninggalkan imej penasyidnya dan menonjolkan perubahan dari nasyid kepada hip hop. Bukan hanya genre yang diubah, malah syakhsiah turut menimbulkan gelisah.

Manakala di kalangan peminat nasyid yang lebih konservatif, tentunya mereka sukar untuk menerima kehadiran nasyid sebegini. Mereka akan terus mencari nasyid sebenar! Istilah nasyid sebenar, mengundang kita kepada persoalan kedua. Apakah maksud kepada istilah nasyid sebenar ?. Bagaimanakah ia didefinisikan ?. Soalan ini penting kerana jawapannya akan menentukan sama ada nasyid yang kita hasilkan di Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai cabaran SENI atau tidak?

Nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan.

Sebuah iklan komersil boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual. Nasyid yang hanya tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah nasyid yang gagal mencapai maksud.

Tegasnya, nasyid mestilah berupaya bertindak sebagai pencorak, dan bukannya tenggelam oleh trend masyarakat yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Lantas nasyid hip hop dan yang seumpama dengannya, mempunyai banyak ruang muhasabah yang perlu difikirkan bersama.


ikuti juga: 

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda