TERKINI!

Kenapa Nasyid? [Bahagian 2]

oleh:Mzfaizal.org

NASYID SEBAGAI CABANG SENI ISLAM

Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit dari disiplin dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu yang mendasari seni berkenaan.

Umumnya nasyid di Malaysia berkembang tidak dalam bentuk suatu seni yang dipelajari. Malah kemunculan kumpulan nasyid di Malaysia banyak bergantung kepada minat dan bakat menyanyi yang ada. Akan tetapi, sejauh manakah penghasilan seni mereka disandarkan kepada ilmu dan disiplin?. Paling tidak, berapa ramai penasyid, sama ada penyanyinya, atau yang lebih utama para pencipta lagu nasyid, mempunyai pengetahuan di dalam bidang muzik Islam.

Seni, didefinisikan oleh Brittanica Online sebagai penggunaan skil dan imaginasi dalam penghasilan objek, persekitaran dan pengalaman estetik (indah) yang boleh dikongsi bersama orang lain. Dalam erti kata yang lain, seni menuntut kepada penghasilan mutu kerja yang indah berasaskan kepada kemahiran dan imaginasi.

Kemahiran terhadap seni muzik Islam, adalah disiplin yang telah sedia wujud di dalam tradisi Islam. A. Shiloah di dalam artikelnya bertajuk The Dimension of Sound (The World of Islam diedit oleh Bernard Lewis) membayangkan bahawa disiplin seni Islam berasal usul daripada teknik melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan tradisi fazziyy dan mawlid itu sendiri. Irama yang dialunkan mempunyai maqam yang tertentu dan keindahan irama yang bersistem ini, dioptimumkan pula oleh pengungkapan lirik yang indah, lazimnya menerusi syair-syair yang kaya dengan nilai estetika.

Kepatuhan terhadap disiplin seni inilah kunci kepada penghasilan seni muzik Islam yang bermutu tinggi. Seni muzik Islam bukan sahaja mampu berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan, malah turut diterima sebagai sumbangan Islam kepada kesenian dan tamadun dunia.

Malah, kehebatan seni muzik Islam diangkat lebih daripada sekadar hiburan dan santapan emosi. Ia telah dijadikan sebagai instrumen penting kepada teknik merawat pesakit psikiatri, khususnya di era Othmaniyyah Turki, malah seawal zaman Seljuk.

Selepas pembukaan kota Istanbul pada tahun 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuka pusat rawatan pesakit psikiatri yang dikenali sebagai Bimarhane-i-Ebulfeth Sultan Mehmed. Di Edirne, pusat rawatan pesakit psikiatri telah dibina sebagai sebahagian daripada kompleks Masjid Sultan Bayazid II dan terus digunakan sehingga tahun 1915. Pesakit dirawat dengan menggunakan teknik muzik Turki yang harmoni, di mana pemuzik akan memetik nota tertentu dan reaksi pesakit direkod. Nota-nota muzik yang menerima reaksi pesakit akan digunakan untuk mencipta lagu khas yang diperdengarkan kepada pesakit itu tadi dari semasa ke semasa.

Prof. Dr. Ayhan Songar yang mengkaji hal ini menegaskan bahawa, rawatan dengan menggunakan muzik Barat yang berteraskan kepada matematik yang jumud, tidak dapat menghasilkan kesan sebagaimana seni muzik Turki yang lebih fitrah. Ini menjadi bukti bagaimana, ada alunan muzik yang merawat emosi, dan ada juga yang mengundang penyakit jiwa!

Hal inilah yang sepatutnya menjadi fokus kepada penasyid yang serius mahu menyumbang kepada pembangunan seni muzik Islam. Penyanyi nasyid kontemporari seperti seperti Sami Yusuf, sangat memberikan penekanan kepada hal ini. Beliau mengungkapkan nasyid-nasyidnya dengan asas ilmu seni yang tinggi. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi oleh imej kebanyakan nasyid semasa, beliau lebih suka dikenali sebagai pemuzik yang berjiwa Islam dan menjadikan Islam sebagai sumber karyanya dan bukannya sebagai penasyid.

Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama, menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya didendangkan sesedap rasa.

Jika di negara seperti Turki, seni muzik Islam menjadi subjek yang dipelajari oleh pelajar fakulti Teologi (Ilahiyat) secara teori dan praktikal. Maka, nasyid-nasyid mereka muncul dengan kualiti seni yang tinggi kerana penasyid-penasyid utamanya sendiri, adalah terdiri daripada ilmuan di dalam seni muzik Islam seperti Mehmed Emin Ay dan Mustafa Demirci. Penasyid dan peminat nasyid, masing-masing mengangkat kualiti nasyid berasaskan kepada tradisi seni muzik Islam yang tinggi dan “evergreen”.

Dari situlah, nasyid akan memperolehi definisi yang konsisten sehingga istilah nasyid sebenar akan mendapat maksud yang lebih jelas dan tepat.

NASYID SEBAGAI ALTERNATIF HIBURAN

Banjiran dendangan nasyid-nasyid yang ada di pasaran hari ini menjadi alternatif kepada gejala hiburan melampau yang wujud di dalam masyarakat. Semenjak kemunculan kumpulan nasyid komersil menjelang tahun 2000, hari demi hari menyaksikan nasyid terpaksa mengikut kehendak arus yang sedia ada. Semasa zaman nasyid berkompang pada akhir 80an hingga pertengahan 90an, kaset-kaset RM4 yang dijual di kawasan ceramah, di sekolah-sekolah agama dan kedai-kedai buku sambil menunggu bas ekspres pulang ke kampung itu, mengandungi himpunan lagu yang menguatkan semangat untuk berjuang.

Malah daripada nasyid itu kita boleh mempelajari tentang perkembangan perjuangan gerakan yang didokongi oleh kumpulan berkenaan. Lihat sahaja Nada Murni, nasyid seperti Musafir Kelana, Kawan, dan kaset Selamat Tinggal Duniaku yang agak kontroversi kerana didendangkan oleh Muslimat mereka, mencerminkan era pembinaan jemaah al-Arqam. Kemudian terbit pula kaset Rindu, Munajat dan sehinggalah kepada Pulang Abuya Pulang, memahamkan kepada kita tentang apa yang berlaku kepada perjuangan mereka. Saya tidaklah berhasrat untuk memberikan komen tentang isi kandungan nasyid-nasyid itu.

Album Cahaya di Ufuk Timur yang memuatkan muqaddimah fikrah Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi itu telah difatwakan haram oleh beberapa tokoh di Jordan, apabila dipertimbangkan daripada kaca mata Al-Quran dan penjelasan sebenar Hadith-hadith yang sahih. Namun perlu dipertekankan adalah nasyid di zaman berkenaan adalah nasyid fikrah, nasyid dakwah, nasyid bermesej dan nasyid yang membangkitkan semangat berjuang.


ikuti juga: 

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda