TERKINI!

Kenapa Nasyid? [Bahagian 3]

oleh: Mzfaizal.org

KEMUNCULAN AL-WADI DI MESIR


Begitu juga kita semua terhibur dengan kemunculan kumpulan Usrah al-Wadi oleh pemuda-pemuda yang menuntut di Universiti al-Azhar. Kaset pertama mereka, dirakamkan di dalam bilik sahaja. Kalau tidak silap tajuknya ialah “Di Manakah Silapnya”. Nasyid-nasyid yang mereka dendangkan dengan penuh makna itu banyak menyumbang kepada pembinaan fikrah dan diri. Sehingga ia seakan-akan menjadikan pendengar lebih tua dari usia sebenar. Lagu Wasiat Sayyid Qutb yang asal sebelum dirakamkan semula di dalam album keempat mereka “Islam Penyelesaian” sangat menyentuh hati.

Begitu juga dengan lagu Di Manakah Silapnya yang menceritakan tentang perpecahan menjadi punca kejatuhan Ummah sangat berkesan kepada diri. Selepas album pertama itu, muncul pula album kedua edisi terhad yang diterbitkan sebanyak 500 unit sahaja jika saya tidak tersilap. Iaitu kaset sempena Hari Raya Aidilfitri. Di antara lagu yang sangat saya kenangkan adalah “Anak Kecil di Palestin” yang turut saya dan penyanyi utamanya persembahkan di hadapan Sultan Perak di Dewan DBI, Ipoh sempena pertandingan Nasyid Peringkat Negeri Perak pada tahun 1992. Semua orang terpegun dengan mesej tajam yang disampaikan bilamana nasyid kami anti klimaks.

Orang lain sibuk mendendangkan nasyid goyang kepala dengan baju-baju yang menyilaukan mata, tiba-tiba dendangan nasyid rintihan seorang anak kecil di Palestin yang meratapi kematian ibunya di pagi Aidilfitri oleh kekejaman regim Yahudi. Begitulah seterusnya terbit album Kepimpinan Ulama, Islam Penyelesaian, Fajar Lebaran dan Belenggu Fatamorgana yang bila mendengar isi kandungannya, seakan-akan mendengar berita al-Jazirah! Ada nasyid tentang Bosnia, Tragedi Natrah, Masjid Babri, Kashmir, Afghanistan dan segala krisis umat Islam disentuh.

Akhirnya nasyid Membangun Bersama Islam dan Islam Penyelesaian menjadi konklusi kepada semua tragedi tersebut. Begitu juga dengan nasyid Ideologi dendangan Dr Jamnul Azhar yang menyebabkan ramai ternganga. Nasyid itu dengan penuh sarcastic menyindir golongan sekular yang sangsi dengan Islam, dan lebih selesa dengan teori Niccolo Machiavelli.

UNITED KINGDOM TIDAK KETINGGALAN

Usrah al-Wadi di Mesir juga menghasilkan anak buahnya iaitu Usrah as-Soff yang pada album pertama dan keduanya banyak menyumbang kepada kategori nasyid pejuang. Pada masa yang sama juga, Sinaran Azhar oleh sahabat-sahabat Alami sempat menghasilkan beberapa buah album. Manakala di United Kingdom pula, rakan seperjuangan tidak ketinggalan menghasilkan beberapa album dan kumpulan yang kemudiannya dikenali sebagai Suara Tajdid itu telah mementaskan pentomin Salehuddin al-Ayyubi yang tidak akan saya lupakan.

Album dengan cover Hitam Putih mereka, turut memuatkan sajak tentang insiden di Masjid ar-Rahman semasa kedatangan kumpulan kriket Yahudi ke Malaysia suatu ketika dahulu. Nama-nama seperti Razi, Ziad, Zamri, Najmi dan Azri adalah penghibur kita pada masa itu dari UK. Zaman itu kita kaya dengan nasyid yang memberi tenaga kepada pejuang agama, dan menjadi peluru tajam kepada yang menentang arus kebangkitan Islam.


ikuti juga: 

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda