TERKINI!

Kenapa Nasyid? [Bahagian 6]

oleh:Mzfaizal.org

PANDUAN MEMILIH LAGU SEBAGAI NASYID

Dalam memilih pandangan ulama bagi menetapkan batas-batas minimum keharusan muzik, lagu dan nyanyian dalam Islam, dasar-dasar berikut dijadikan asas.

  • Mengiktiraf bahawa ini adalah persoalan yang dikhilafkan ulama.
  • Memilih pandangan ulama yang muktabar dari segi kemampuan ijtihadnya dan kekuatan tsiqah (kredibiliti) di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah walaupun pandangan itu bukan pandangan yang dipegang majoriti ulama atau bukan pandangan yang popular.
  • Mengambil kira sasaran utama projek ini ialah masyarakat awam secara umum tanpa kira agama dan bangsa.
  • Membezakan antara persoalan mubah, wara’ dan afdal.
  • Asal hukum bagi segala perkara yang bukan berkaitan dengan ibadat khusus dan akidah adalah halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya.
  • Sebagaimana niat yang baik tidak menghalalkan cara, cara yang baik juga perlu diikuti dengan niat yang betul dan ikhlas.
  • Hiburan adalah harus dalam Islam. Ini didasarkan pada hadis Ai syah yang mendengar nyanyian dua gadis di rumah Rasulullah saw; perbuatan para sahabat yang bernasyid semasa mengorek parit pertahanan Madinah dan perbuatan Rasulullah yang membawa Aisyah melihat tarian hamba Habsyi.
  • Hiburan hendaklah dijadikan sebagai alat bukan matlamat. Hiburan adalah alat untuk mendidik, merehatkan diri, membina silaturahim dan lain-lain yang harus dan dianjurkan Islam. Ini adalah kerana matlamat hidup manusia ialah untuk mengabdi kepada Ilahi saja dan bukan untuk mempertuhankan hiburan.
  • Muzik, lagu dan nyanyian adalah harus dalam Islam, namun tertakluk juga kepada dasar-dasar hiburan yang dinyatakan di atas.

BATAS MINIMUM

Berdasarkan perkara di atas, dicadangkan dasar dan batas minimum berikut bagi menentukan muzik dan lagu ‘halal’ bagi masyarakat awam.

  • Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan Allah swt atau menjurus kepada yang haram seperti memuja wanita, mendedah aurat, menggalakkan pergaulan bebas, mengandungi kekata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan, mempropagandakan kepercayaan agama lain, memuja dadah dan arak, mengandungi khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta, menghina amalan Islam dan memfitnah orang.
  • Hiburan dipersembahkan dengan menepati adab-adab yang telah ditetapkan Islam.
  • Hiburan hendaklah tidak menyebabkan pengabaian sesuatu yang lebih penting berdasarkan prinsip penentuan keutamaan dalam Islam seperti berhibur hingga terlupa bersolat dan terlalu tenggelam mendengar muzik sehingga tidak membaca Al-Quran.
  • Hiburan bukanlah alternatif kepada amalan ibadat khusus tetapi pendorong padanya.
  • Hiburan hendaklah menjauhi daripada unsur menyerupai penganut agama lain atau golongan yang berakhlak rendah. Contohnya adalah berambut panjang. Walaupun tiada dalil khusus melarang orang lelaki berambut panjang, oleh kerana ia telah menjadi simbol kepada budaya tertentu yang tidak disukai Islam, maka ia perlu ditinggalkan.
  • Semua alat muzik adalah harus kecuali ia digunakan untuk sesuatu yang haram atau menjurus pada yang haram atau sebab-sebab sampingan lain yang diharamkan. Ini berdasarkan pada pandangan Ibn Hazm yang berpendapat bahawa dalil-dalil mengenai pengharaman alat-alat bertali dan tiupan adalah lemah.
  • Tertakluk pada dasar-dasar hiburan, nyanyian oleh wanita adalah harus. Ini berdasarkan pada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat.
  • Penyanyi wanita hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok secara mengghairahkan.
  • Hukum nyanyian dan lagu juga berkaitan dengan konteks ia disampaikan. Lagu bertemakan cinta, jika dinyanyikan untuk memuja wanita dan berkhayal, membawa kepada haram tetapi jika ia dinyanyikan untuk isteri atau suami bagi mengeratkan lagi kasih sayang, maka ia dibenarkan. Ini termasuk di bawah kaedah Al-Umur Bi Maqasidiha (hukum bagi sesuatu perkara berdasarkan niat dan tujuan).
  • Begitu juga lagu yang bersifat abstrak atau kiasan, keharusannya bergantung pada bagaimana ia ditafsirkan. Sekiranya pentafsirannya menjurus pada haram maka ia menjadi haram dan sebaliknya.

KESIMPULAN

Apa yang dinyatakan bukanlah satu fatwa tetapi bukan juga satu perkara baru. Semuanya telah dihuraikan ulama besar sejak dulu lagi.Pelaksanaan strategi ini sebenarnya akan mengundang kritikan dan kontroversi. Melaksanakannya sebenarnya menuntut keberanian dan kecekalan.

Mungkin dalam memulakannya kita akan tersilap. Namun kita harus berani menghadapi risiko atau langkah kita dalam bidang ini tidak akan ke mana. Manusia yang melakukan kesilapan tidak tercela. Ia hanya tercela jika tidak mengakui dan kembali kepada kesilapannya. Cara mudah untuk tidak melakukan kesilapan adalah dengan tidak melakukan apa-apa. Namun apa pula jawapan kita kepada masalah hiburan dan keperluan naluri manusia dalam hal ini?

ikuti juga: 

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda