TERKINI!

Al-Farabi Band bakal cetus kejutan

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
sumber: Berita Harian


KAGUM dengan seorang ilmuwan Islam dan muzik yang terkenal, Abu Nasr Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaz Al Farabi, sekumpulan anak muda dalam bidang muzik mengunakan nama Al-Farabi Band sebagai mengabadikan nama ahli falsafah yang berasal dari Turki itu. Bukan sekadar kekaguman dengan ketinggian ilmu Al Farabi yang juga pencipta alat bertali termasuklah gambus, malah mereka turut mengkaji komentator filsalat Yunani yang ulung sekitar 900 Masihi itu.

Al-Farabi Band bakal mencetuskan fenomena baru dalam dunia persada muzik tanah air apabila mereka tampil dengan imej berserban dan Islamik tetapi memperjuangkan muzik rock tetapi bertemakan lagu berunsur ketuhanan dan kemanusiaan. Muzik mereka berpaksikan perjuangan Scorpions, Metallica, Led Zeppeelin dan pemain gitar lagenda, Joe Satriani tetapi lagu mereka sarat dengan mesej keagamaan. Al-Farabi Band mahu dikenali dengan kumpulan `white metal', bukan `black metal'.

Dianggotai oleh Mohd Nazri Alias, 37, selaku vokalis dan pemain gitar 1, Fazrina Ghazali, 36, (gitar 2), Ahmad Nasie Mohd Nawawi, 24, (vokalis), Mohd Shuhaimi Elias, 23, (dram), Abdul Razaque Samuel Fakhr Dzukifli, 20, (keyboard 1), Mohd Akmaluddin Mat Zawawi, 21, (keyboard 2) dan Mohd Nizam Alias, 42, (bass), mereka bekerja satu bumbung di syarikat multimedia, To Create Sdn Bhd, melainkan Mohd Nizam, seorang jurutera syarikat swasta lain.
Cukup mengagumkan apabila satu-satunya bunga dalam Al-Farabi Band, Fazrina atau Rina, berimej tudung litup tetapi mahir bermain gitar. Rina adalah isteri kepada ketua kumpulannya, Mohd Nazri.
Mohd Nazri berkata, awalnya mereka bermain muzik hanya suka-suka. Mereka merakamkan aktiviti yang dilakukan dan menyiarkannya di internet. Tanpa disangka, muzik yang dihasilkan mendapat perhatian ramai pelayar internet.

"Kami suka-suka mencipta lagu Never Turn Back, muziknya hanya dilakukan dengan gitar instrumental, tetapi tidak menyangka ia mempunyai peminat. Mereka juga sukakan imej kami, gaya Islamik dan berserban dan bertudung tetapi memperjuangkan muzik rock. Sebenarnya gaya berserban itu disebabkan nama Al Farabi dan mengikut imej ilmuwan dan ahli falsafah terkenal itu.

"Selepas itu, kami muncul pula dengan lagu Evolusi. Ia adalah lagu lama yang dipopularkan sebuah kumpulan nasyid kira-kira 30 tahun lalu. Kami sendiri tidak pasti nama kumpulannya, tetapi lagu Evolusi sudah biasa didengar, kami ubah dan beri nafas baru dalam genre muzik hard rock.

"apa yang membuatkan kami terkejut apabila beberapa stesen radio termasuklah MuzikFM mula memutarkan lagu Evolusi sekali gus meniupkan semangat kami mahu menghasilkan sebuah album. Selepas hampir tiga bulan bekerja, akhirnya terlaksana impian menghasilkan album yang memuatkan tujuh lagu. Kami teruja apabila nasyid.com menawarkan Al-Farabi Band menghasilkan album penuh yang memuatkan tujuh lagu.

"Selain lagu Never Turn Back dan Evolusi, album ini juga memuatkan lagu Sunnah Berjuang, Amanat, Search The Truth, Apa Sebenarnya dan My Loving Child. Lagu Sunnah Berjuang adalah lagu tribute buat ikon nasyid, Allahyarham Asri Rabbani. Salah seorang anggota kumpulan iaitu Ahmad Nasie adalah anak saudara arwah," katanya.

Dapat undangan ke Jerman
Ahmad Nasie berkata, sebenarnya dalam keluarga, hanya dirinya dan arwah Asri mempunyai bakat dalam dunia nyanyian. Ketika arwah masih ada, dirinya banyak bertukar idea dan menghasilkan lagu bersamanya.

"Saya rapat dengan arwah, beliau banyak memberikan buah fikiran dan bertukar idea dengan saya mengenai muzik dan perjuangan. Saya hanya berharap dapat menyambung perjuangannya. Arwah banyak meninggalkan lagu-lagu yang kami cipta bersama ketika masih ada hayatnya. Lagu Sunnah Berjuang adalah tribute buatnya.

"Bukan mahu menumpang populariti arwah tetapi hanya saya yang ada untuk menyambung perjuangan arwah dalam bidang seni. Saya tidak malu mengatakan saya mahu jadi sehebat arwah suatu ketika nanti biarpun saya belajar dan bekerja dalam bidang lain," kata bekas graduan Diploma Perakaunan, UiTM Sarawak itu.

Pemain bass, Mohd Nizam berkata, belumpun hijau dalam selok belok dunia seni, mereka diundang untuk mengadakan persembahan di Universal Hall, Berlin, Jerman sempena program Kebudayaan Malaysia-Indonesia-Jerman pada 22 Februari ini.

"Kami tidak menyangka kemunculan Al-Farabi Band di internet mendapat perhatian pihak luar sehingga mengundang kami mengadakan persembahan selama satu setengah jam di Universal Hall, Berlin. Kami bertolak esok (Isnin) dan akan berada selama 10 hari di Jerman. Insya-Allah, kami tidak akan menghampakan harapan orang Malaysia, kami berusaha menampilkan persembahan hebat sekali gus menaikkan nama dan memperkenalkan Malaysia di mata masyarakat dunia," katanya.

Al-Farabi Band turut memiliki studio rakaman sendiri, Studio Al-Farabi di Shah Alam, Selangor.

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda