TERKINI!

Majlis Usrah Munsyid (MUM)


Pengenalan
Majlis tazkirah yang menghimpunkan penasyid-penasyid dan penggiat-penggiat nasyid tanahair pernah dianjurkan sebelum ini oleh kumpulan nasyid Rabbani yang sewaktu itu diterajui oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Allahyarham dilihat sebagai tokoh yang sangat memperjuangkan kesatuan dikalangan penggiat industri ini dan mampu menggerakkan penasyid-penasyid untuk menghadiri majlis tersebut yang dilihat sangat positif impaknya dalam mengeratkan hubungan silaturrahmi dikalangan penasyid-penasyid dan penggiat-penggiat industri ini.

Sehubungan dengan itu, adalah sangat bermakna sekiranya usaha Allahyarham ini dapat kita teruskan bagi menjamin survival industri nasyid melalui kaedah usrah atau majlis tazkirah yang dapat mempertemukan individu-individu di dalam industri ini bagi menambah ilmu, memantapkan keimanan, mengeratkan ukhwah sambil bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran.

Definisi

MAJLIS – Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud: jawatankuasa, badan, lembaga, panel, senat, junta, panitia, jemeleh.
Perkataan ini juga bersinonim dengan; upacara, acara, istiadat, keramaian, jamuan, parti, kenduri, pertemuan, perkumpulan, perhimpunan.

USRAH – Bermaksud; perkumpulan yg melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk agama, yang diambil daripada perkataan Arab bermaksud; keluarga.

MUNSYID – Penasyid diambil daripada perkataan Arab.

Singkatan yang dicadangkan bagi MAJLIS USRAH MUNSYID ialah MURSYID

MURSYID - Perkataan mursyid berasal dari bahasa arab, dari kata irsyada, iaitu memberi tunjuk-ajar. Dalam erti kata lain, mursyid bererti, seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk-ajar terutamanya dalam bidang kerohanian, dalam istilah para sufi.

Mursyid secara istilahnya (menurut kaum sufi), merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t., dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah.

Jadi, dapatlah disimpulkan di sini bahawa definisi Majlis Usrah Munsyid (MURSYID) ialah satu Jawatankuasa bagi acara, pertemuan, perkumpulan dan perhimpunan bagi membincangkan tentang sesuatu tajuk atau isu agama dikalangan para penasyid dengan tujuan menjadikan para Munsyid ini dapat menyampaikan sesuatu tarbiyyah dan membimbing diri sendiri serta para pendengar atau penyokong mereka ke arah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

MAJLIS USRAH MUNSYID pada asasnya merupakan sebuah jawatankuasa melibatkan penasyid-penasyid Malaysia samada solo atau berkumpulan, baru atau lama, yang sudah menerbitkan album secara komersial ataupun tidak. Namun, untuk lebih realistik, sasaran penyertaannya lebih fokus kepada penasyid komersial disebabkan jumlah kumpulan nasyid yang sangat ramai seantero Malaysia.

Majlis Usrah Munsyid menghormati kewujudan badan-badan atau persatuan penasyid dan penggiat industri Nasyid seperti PIN dan MUNSYID dan mengalu-alukan sokongan dan penyertaan mereka juga. Majlis Usrah Munsyid juga bukan bertujuan menjadi sebuah persatuan atau kelab, tetapi sekadar jawatankuasa sukarela bagi menggerakkan majlis tazkirah atau majlis usrah bulanan dikalangan penasyid dan penggiat industri nasyid.

Jawatankuasa

Majlis Usrah Munsyid (MURSYID) belum mempunyai jawatankuasa yang dipilih atau sukarela namun telah mencadangkan struktur jawatankuasa seperti berikut serta cadangan nama-nama calon yang sesuai:

1. PANEL PENASIHAT: Cadangan; Ustaz Sohibul, Ustaz Pahrol Md Juoi, Hj. Mubbin, Farihin Abdul Fattah, Hj. Waharp dan yang seangkatan dengannya.

2. PENCERAMAH/MOTIVATOR: Ustaz Zul Ramly, Ustaz Ghazali Ibrahim, Ustaz Hasrizal, Ustaz Zahazan dan seumpamanya.

3. KETUA NAQIB: Ustaz Amaluddin

4. NAQIB-NAQIB: Ustaz Munif, Ustaz Asri Ubaidillah, Ustaz Che Amran, Ustaz Nabil, Ustaz Erwan, Ustaz Zamri Zainal Abidin dan seumpamanya.

5. JAWATANKUASA KERJA: Meliputi tugas-tugas berkaitan: Tempat/Lokasi, Pengisian, Katering, Dana/kewangan, Jadual, Promosi/hebahan, dan yang berkaitan.

6. PESERTA dikalangan penasyid dan penggiat nasyid.

Gerak kerja
Secara asasnya, diperingkat awal mana-mana kumpulan nasyid, penasyid solo atau syarikat berkaitan penerbitan nasyid yang sukarela ingin menjadi hos atau penganjur usrah atau masjlis tazkirah akan disusun mengikut jadual setiap hari Rabu, minggu ketiga atau keempat setiap bulan. Sekiranya penyertaan menggalakkan, kekerapan akan ditambah kepada 2 kali dalam sebulan. Sekiranya masih ramai yang ingin menjadi hos, gabungan dua kumpulan nasyid atau penggiat nasyid akan menganjurkan satu-satu majlis usrah.

Pada peringkat awal, segala kos berkaitan makanan dan lokasi akan ditanggung oleh hos atau penganjur atau mana-mana pihak yang sudi menaja. Seterusnya, dana akan dikumpul pada setiap masjlis usrah yang diadakan bagi menanggung kos majlis-majlis usrah seterusnya.
Adalah digalakkan pada peringkat awal ini penganjur atau hos adalah daripada kumpulan-kumpulan nasyid tanahair yang sudah lama bertapak dalam industri ini seperti Rabbani, Raihan dan Hijjaz.
Lokasi Usrah atau majlis tazkirah boleh dibuat di mana-mana tempat yang sesuai seperti di Masjid, dewan serbaguna, taman, pejabat, rumah atau di mana-mana yang selesa dan boleh menampung jumlah kehadiran serta mengikut kreativiti penganjur.

Pengisian atau tajuk usrah akan ditentukan oleh jawatankuasa bahagian pengisian dan boleh juga dicadangkan penganjur mengikut kesesuaian isu semasa yang berlaku. Turut dimuatkan dalam agenda majlis ini ialah solat berjemaah, solat hajat, majlis doa selamat atau tahlil arwah atas permintaan penganjur.

Cadangan agenda lengkap Majlis Usrah Munsyid adalah seperti berikut:

6.45 p.m – Ketibaan para jemaah
7.15 p.m – Solat Maghrib berjemaah
7.45 p.m – Doa Selamat/Tahlil arwah
8.30 p.m – Solat Isya’ berjemaah
9.00 p.m – Majlis Usrah Munsyid atau Majlis Tazkirah
10.00 p.m – Makan
11.00 p.m – Bersurai

Semua cadangan di atas adalah terbuka pada perubahan dan cadangan-cadangan lain yang lebih baik atau idea-idea baru yang relevan.

Adalah diharapkan semua pihak yang berkaitan dapat menghulurkan sokongan dan kerjasama bagi menjayakan apa yang kita rancang ini. Semoga ada sedikit sebanyak kebaikan dari Majlis Usrah Munsyid ini yang dapat kita kongsikan bersama. Semoga Allah mempermudahkan urusan ini dan membuka jalan bagi melaksanakannya. Amin Ya rabbal alamin.

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda