TERKINI!

Hudud:Penerangan Ringkas Buat Semua

Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al-Quran.

"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata."

(surah al-Ahzab:ayat 36)

Seruan pelaksanaan hudud bukan hanya untuk ditatapi dan dibaca saja tetapi diberi penegasan oleh Allah di dalam al-Quran melalui firmanNya dalam surah al-Maidah ayat 49 yang bermaksud:

"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."

KENAPA PERLU LAKSANAKAN HUDUD?

Pelaksanaan hukum hudud adalah berpaksikan kepada prinsip perundangan Islam iaitu untuk memelihara:

a] Agama : melalui undang - undang murtad
b] Nyawa : melalui undang - undang qisas
c] Aqal : melalui undang - undang arak dan minuman yang memabukan
d] Keturunan : melalui undang - undang zina
e] Harta benda : melalui undang - undang curi dan rompak.

JENIS-JENIS HUKUMAN HUDUD

Hukuman hudud hanya melibatkan 6 atau 7 kesalahan sahaja dan semua kesalahan tersebut di dalam Islam merupakan DOSA-DOSA BESAR. Setiap kesalahan tersebut mengandungi dalil hukuman yang jelas.

Berdasarkan artikel yang pernah dikeluarkan oleh Ustaz Nasarudin Tantawi, beliau telah membuat ringkasan dari Kitab Mugni al Muhtaj karya Alimul Allamah Syeikh al Khatib asy Syarbaini rhm. dan Kitab Perlaksanaan Hukuman Hudud karya Sohibus Samahah Tuan Hj Said bin Hj Ibrahim mantan Mufti Negeri Sabah mengenai jenis-jenis hukuman hudud iaitu:

1. ZINA: iaitu persetubuhan tanpa nikah yang sah menurut syariat Islam dan hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak 100 kali. Draf undang - undang mengenainya telah termaktub di dalam surah an Nuur ayat 2 yang bermaksud:

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."

2. QAZAF: iaitu tuduhan zina ke atas orang yang baik tanpa membawa 4 orang saksi lelaki yang adil. Hukuman bagi kesalahan qazaf ialah sebat sebanyak 80 kali sebatan. Dalilnya, rujuk surah an-Nuur ayat 4 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik"

3. MINUM ARAK (syarbul khamr): minum arak atau apa sahaja yang memabukkan sama ada dalam jumlah sedikit atau banyak serta mabuk ataupun tidak. Hukuman kesalahan ini ialah sebatan tak lebih dari 80 kali dan tak kurang dari 40 kali. Hukuman ini berasaskan dalil dari hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah

"Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan Saidina Abu Bakar rha telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan dan Saidina Umar al Khattab rha telah menyebat sebanyak 80 kali sebatan. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw dan inilah yang lebih aku sukai."

4. MENCURI: mengambil atau memindah secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat menghilangkan harta tersebut dari jagaan tuannya. Hukumannya apabila sabit kes ialah potong tangan pencuri tersebut. Nasnya di dalam surah al Maaidah ayat 38 yang bermaksud:

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) sistem cegah dan kawah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

5. MURTAD: iaitu keluar dari agama Islam atau membatalkan aqidahnya melalui perbuatan, perkataan atau iktiqad [keyakinan]. Hukumannya apabila sabit kes dan ia enggan kembali kepada Islam dalam tempoh yang ditetapkan oleh syara' adalah bunuh. Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas rha bermaksud:

Sesiapa yang menukar / meninggalkan agamanya maka bunuhlah ia

6. HIRABAH: merompak samada secara individu atau secara berkumpulan dengan senjata untuk tujuan merampas harta atau membunuh atau menakut - nakutkan atau mengugut dengan kekerasan. Ada 4 jenis hukuman iaitu:
  • Hukuman mati : apabila perompak membunuh orang yang dirompak tanpa mengambil harta orang yang dirompaknya.
  • Hukaman mati di kayu palang apabila perompak telah membunuh dan mengambil harta orang dirompaknya.
  • Hukuman potong tangan kanan dan kaki kiri apabila perompak hanya mengambil harta orang yang dirompak tanpa membunuh dan mencederakan orang yang dirompaknya. 
  • Hukuman buang negeri apabila perompak hanya menakut - nakut orang sahaja seumpama di kawasan laluan awam.
Dalil hukuman dinyatakan dalam al-Quran melalui surah al-Maidah ayat 33-34 yang bermaksud:

"Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."

 "Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

7. BUGHAH: segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] yang adil dan menjalankan hukum syariat Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah. Mereka tidak dianggap keluar dari ajaran Islam [ murtad ] tetapi mereka diperangi dengan kaedah dan syarat tertentu. Firman Allah swt di dalam surah al Hujurat ayat 9

 "Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama yang tidak memasukkan hukum Bughah di dalam kategori hukuman Hudud kerana mempunyai perbahasan dan pendekatan hukum yang tersendiri serta tidak ditetapkan secara terperinci di dalam al Quran bentuk dan jumlah hukuman yang dikenakan ke atas bughah.

Penerangan ini hanyalah ringkasan semata-mata bagi memberi penjelasan mengenai hukuman hudud yang seolah-olah menjadi fobia dalam kalangan masyarakat kita.

Dan artikel ini adalah ringkasan dari artikel asal yang telah dikeluarkan oleh Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi. Penerangan hudud adalah tanggungjawab semua orang Islam tanpa mengira ideologi politik, jemaah atau bangsa.


tulisan asal: Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi
ringkasan: admin Studiokini

sumber: rujuk sini

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda