Terkini!

GLP: Mesej Melalui Lagu Puisi

Suatu masa dahulu, lagu puisi sangat sinonim dengan Allahyarham Zubir Ali bersama kumpulannya, Harmoni. Malah tema lagu puisi pernah popular apabila kumpulan Kopratasa di persada seni dan mendapat sambutan orang ramai. Penerimaan orang ramai membuktikan lagu puisi mempunyai tempat yang tersendiri.

Bagi generasi baru, sukar untuk mencari artis-artis yang secara total menggunakan konsep lagu puisi dalam seni persembahan mereka. Namun bagi kumpulan GLP, jika usaha mengangkat kembali lagu puisi tidak dimulakan sekarang, siapa lagi yang akan mengangkatnya.

Vokalis GLP, Hijas dan Ilya. sumber: FB GLP
GLP membawa maksud Grup Lagu Puisi. Kumpulan ini ditubuhkan pada April 2011 hasil idea daripada Profesor Dr. Irwan Abu Bakar, seorang pensyarah Universiti Malaya merangkap pengasas eSastera2U. Laman eSastera2U merupakan laman web yang mengumpulkan pelbagai nukilan puisi serta memasarkan produk-produk puisi melalui internet.

Kumpulan GLP terdiri daripada dua orang vokalis yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri. Mereka ialah Wan Nur Ilyani Wan Abu Bakar (Ilya Kablam) dan Mohd Hijasri Hassim (Hijas) serta dibantu oleh dua pemuzik iaitu Ahmad Nazif Che Abdul Rahman (Nazif - keyboard) dan Mohd Khairi Azuandi Azahari (Azuan Dy - gitar).

Atas galakan dan dorongan daripada pihak eSastera, GLP memulakan langkah awal sekitar tahun 2013 dengan menerbitkan beberapa buah single terlebih dahulu. Single-single tersebut ialah Perada Cinta, Pengharap Cinta dan Suluh Sinar. Kemunculan single-single tersebut turut diikuti dengan penghasilan klip-klip video yang berkualiti. Langkah ini membantu memperkenalkan nama GLP dalam arena industri.

PERADA CINTA: ALBUM PUISI YANG SEGAR

Mereka meneruskan usaha mengangkat lagu puisi dengan langkah berani menerbitkan album sulung mereka berjudul Perada Cinta. Album ini diterbitkan oleh eSastera Records dan diedarkan oleh Insictech Musicland Sdn Bhd.

Usaha memiliki album ini nyata tidak menghampakan. Dengan muzik yang pelbagai, album ini memberi keunikan tersendiri serta sentiasa segar apabila mendengarnya. Album Perada Cinta dimulakan dengan meletakkan lagu Cinta Bukan Milikmu sebagai lagu pertama dalam susunan album. Lagu duet bersama RJ ini menampilkan gabungan rap dan dan kontemporari. Pemilihan lagu ini nyata sesuai sebagai pembukaan album kerana muziknya yang rancak tersebut.

Album ini diteruskan dengan lagu-lagu lain iaitu Perada Cinta, Terus Berlari, Melegakan Hakikat, Pengharap Cinta, Doa Untuk Gaza, Suluh Sinar, Seorang Itu, Janji Rabu, Pelita Tak Padam-Padam dan Tanpa Cinta.

Bagi lagu Doa Untuk Gaza, GLP tidak ketinggalan dalam mengetengahkan isu kemanusiaan yang melanda umat Islam di sana.Lagu ini digubah oleh Umarul (Iklim) dan liriknya ditulis oleh Zainal Rashid Ahmad. Lagu ini mengisahkan perjuangan rakyat Palestin yang terus berjuang menuntut hak kemerdekaan mereka.

Album Perada Cinta diterbitkan oleh barisan penerbit seperti Bakri Ismail, Umarul Iklim, Awang BPR dan Jamu. Sentuhan kulit album pula dihasilkan oleh pereka grafik eSastera iaitu Wan Akmal Afiq. Reka bentuk kulit album tersebut yang berwarna kuning keemasan adalah sesuai dengan definisi Perada Cinta itu sendiri iaitu cinta yang diperbuat daripada emas.

Cuma dari segi warna tulisan pada buku lirik, lebih elok jika warna hitam diterangkan lagi bagi membolehkan pendengar membaca lirik dengan lebih jelas.

Secara keseluruhan, album Perada Cinta merupakan produk sulung GLP yang sangat baik. Satu permulaan yang baik. Kepada yang berminat untuk membeli album ini, boleh berbuat demikian melalui laman web GLP sendiri [klik sini] dengan harga RM21 sahaja. Terbitan eSastera Records dan edaran oleh Insitech Musicland.-STUDIOKINI

Facebook rasmi GLP: GLP Official



0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda