TERKINI!

Salam Buat Kekasih Dari Heliza & Salima

Keterlibatan dalam bidang aktivisme, pengacaraan dan dakwah bukan satu halangan bagi dua orang selebriti Islami, Heliza Helmi dan Salima Habibi, untuk menghasilkan produk terbaru dalam bidang nyanyian.

Semua sedia maklum bahawa bakat kedua-dua selebriti ini pada awalnya digilap melalui program realiti TV Akademi Fantasia. Salima Habibi merupakan peserta Akademi Fantasia 4 manakala Heliza Helmi merupakan peserta Akademi Fantasia 5.

Penghijrahan kedua-duanya ke arah medan Islami menyebabkan penglibatan dalam bidang nyanyian sepi seketika. Namun atas minat mendalam, mereka bergandingan menerbitkan album duo, Salam Buat Kekasih.

Album ini merupakan album bertemakan cinta kepada Rasulullah. Keserasian Heliza dan Salima bukan sahaja dalam bidang aktivisme tetapi turut diserlahkan dalam paduan suara album ini.

Waktu pertama kali dengar alunan lagu-lagu berbentuk qasidah dalam album ini, minda terbayang akan kumpulan nasyid Huda yang pernah popular dulu. Yup, ini baru betul-betul irama nasyid! Bukanlah nak menafikan album-album lain, tapi rasanya susah kita nak cari album nasyid yang bergenre nasyid sebenar.
Heliza dan Salima seperti adik beradik. Ihsan: Facebook Heliza dan Salima

Salam Buat Kekasih dimulakan dengan track Bacaan Ayat Al-Quran (at-Taubah ayat 128). Alunan bacaan al-Quran ini cukup baik. Malah sekali dengar, suara Salima mirip dengan suara Sharifah Khasif, qariah terkenal. Tajwidnya yang betul serta bacaan yang lantang amat sesuai untuk dijadikan pembukaan bagi album ini.

Track album diteruskan dengan lagu Assalamualaik, Naseem Habbat, Salam Buat Kekasih, Ya Rabbi Solli dan Ya Rabbi Solli (minus one).

Tiga buah lagu iaitu Assalamualaik, Naseem Habbat dan Ya Rabbi Solli menyerlahkan kemampuan Salima dan Heliza mengalunkan qasidah dengan baik. Sekali dengar, macam taranum pun ada. Mungkin pengaruh rancangan Soutul Quran yang disertai Salima mempengaruhi gaya suara beliau. Kelancaran berbahasa Arab juga menjadikan Salam Buat Kekasih antara album yang best!

Manakala track Salam Buat Kekasih lebih berbentuk warkah (surat) diiringi muzik latar. Track ini lebih memfokuskan tazkirah untuk perhatian kaum Hawa tentang bagaimana cara mencintai Rasulullah. Satu usaha yang baik. Jarang mana-mana album Islami menyelitkan tazkirah macam ini khusus untuk wanita. 

Heliza Chocolate
Tidak pasti album ini diterbitkan atas label mana. Mungkin atas label Heliza Helmi Production (HHP). Selain itu, Heliza turut giat mempromosi Heliza Chocolate dan Heliza Helmi Hijab bertemakan mujahidah.

Dalam bidang aktivisme, Salima dan Heliza turut aktif melalui badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia Society dalam menyumbang bakti kemanusiaan sama ada dalam mahupun luar negara seperti Syria dan Palestin.

Bagi mereka yang ingin dapatkan album Salam Buat Kekasih, boleh hubungi Heliza Helmi Production di laman Facebook. Syabas buat Heliza dan Salima! Memang terbaik!-STUDIOKINI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda