Terkini!

20 Tahun Brothers Bersabar

Bersabar untuk tempoh yang lama dalam arena muzik bukan satu yang mudah. Apatah lagi nak kekalkan sokongan peminat. Sudah pasti pelbagai gelora perlu dilalui oleh artis tersebut.

Bagi Brothers, gelora demi gelora telah pun ditempuh mereka. Perjalanan seni mereka sudah menjangkau satu tahap usia remaja.

20 tahun, itulah angka usia kumpulan ini.Dan sempena usia 20 tahun kumpulan ini, Brothers merasakan ada sesuatu yang perlu dilakukan mereka buat peminat sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.

BROTHERS: IMBAUAN 20 TAHUN LALU

Brothers bersama Allahyarham Ustaz Sohibul Sabikin
Kumpulan Brothers memulakan langkah seni dakwah mereka ketika masih bergelar pelajar. Ketika itu mereka menggunakan nama Mirwana, sebuah produk nasyid dari sekolah di SMKA Maahad Hamidiah Kajang yang ada pada setiap ambilan pelajar.

Mereka merupakan generasi pertama Mirwana pada tahun 1991.  Kewujudan Mirwana sebaris dengan kumpulan Raihan yang dahulunya dikenali sebagai The Zikr, Nada Murni , Anugerah dan All For Ummah.

Sebaik sahaja tamat belajar, usaha membawa nama Mirwana terhalang dek kerana hak milik nama tersebut ketika itu merupakan hak sekolah. Maka pada tahun 1995, mereka menubuhkan Brothers dengan dianggotai oleh 4 orang ahli, Yasin Sulaiman, Salleh, Shah dan Faiz.

Album pertama mereka ialah We Are (1997) terbitan Matahati dan Ambang Klasik. Lagu popular dalam album tersebut ialah Teman Sejati. Pada tahun 1998, mereka menerbitkan pula album Satu Perjuangan dengan mengetengahkan lagu Hayya Bil Jihad dan Doa Perpisahan. Album kedua ini merupakan permulaan album di bawah produksi mereka sendiri, The Brois Production.

Pada tahun 2000, Yassin telah menarik diri dari Brothers dan meneruskan karier secara solo. Keadaan ini menyebabkan mereka memilih Akbar, bekas anggota Adams, untuk menggantikan tempat Yassin. Kehadiran Akbar membolehkan Brothers tampil dengan album ketiga, Untukmu Teman.

Selepas itu, mereka menyepi tanpa album terbaru sehinggalah tahun 2005, Brothers mengumpulkan semula ahli-ahlinya termasuk Yassin dan menerbitkan album Reunited. Selepas album tersebut, Akbar mengundurkan diri untuk bergerak secara solo. Karier solo Akbar bagaimanapun tak lama apabila beliau membuat keputusan berhenti dari dunia seni atas sebab peribadi.

SABAR: KOMPILASI SERTA 5 BUAH LAGU BARU

Brothers kini berusia 20 tahun
Album Sabar ini merupakan kompilasi terbaik Brothers sepanjang usia 20 tahun mereka. Selain itu, album ini menampilkan 5 buah lagu baru iaitu Sabar, Demi Cinta, Kamaresyah, Tawakallah dan Allahumma.

Kelima-lima lagu ini menampilkan kelainan berbanding lagu-lagu lama Brothers. Lagu Sabar lebih bersifat acapella dan soul, Demi Cinta (soul ala kontemporari), Kamaresyah (world music), Tawakallah (pop) dan Allahumma (ala zikir terapi).

Lagu-lagu lama dalam album ini pula ialah Satu Perjuangan, Lagu Untuk Ibu, Untukmu Teman, Warna-Warna Cinta, Nur Iman, Man Ana, Hayya Bil Jihad, Selamat Berjuang, Doa Perpisahan dan Teman Sejati.

Album Sabar ini diterbitkan oleh Arteffects International dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment. Album ini boleh didapati di semua rangkaian muzik terpilih atau melalui pembelian maya di CD Nasyid.- STUDIOKINI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda