Terkini!

Pasca PRK P044: PRM Jangan Ulangi Kesilapan AKIM (KITA)

Keputusan Pilihanraya Kecil P044 Permatang Pauh 2015 sudah diumumkan dan pemegang amanah kali ini masih berpihak kepada Pakatan Rakyat (PR) melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR). Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 8841 undi mengalahkan UMNO-BN, calon Bebas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Penyertaan PRM dalam PRK kali ini mengingatkan kembali akan penyertaan parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dalam PRK Permatang Pauh 2008.

Seperti wujud kesamaan, penyertaan PRM kali ini dianggap mewakili kuasa ketiga sama seperti AKIM sewaktu tahun 2008 yang lalu. Yang membezakannya hanyalah ideologi. AKIM sebelum diambil alih Zaid Ibrahim, merupakan parti Islam. AKIM menjadi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) setelah diambil alih Zaid Ibrahim dan menjadi parti liberal.

PRM pula merupakan demokrasi sosial dan berhaluan kiri. Mereka lebih hampir kepada sosialis. Jika AKIM dahulu tampil tanpa sebarang gabungan politik, PRM pula merupakan anggota Gabungan Kiri Malaysia (GKM) yang dianggotai Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta NGO-NGO kiri misalnya Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan aktivis-aktivis masyarakat.

Walaupun PRM dikatakan mempunyai rakan-rakan Gabungan Kiri, namun sehingga hari pengundian 7 Mei 2015 lalu, PRM dilihat bersendirian. Tidak kelihatan dengan jelas bantuan daripada rakan-rakan PSM serta aktivis sosialis yang lain dalam kempen-kempen mereka.

KUASA KETIGA BELUM BERSEDIA?

Timbul persoalan, adakah mereka yang dianggap kuasa ketiga benar-benar serius untuk memberikan rakyat satu pilihan baru selain Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) atau sekadar hangat-hangat tahi  ayam.

Seharusnya mereka telah menggunakan platform PRK lalu sebagai medan untuk membuka mata rakyat tentang kewujudan mereka. Ya, mungkin sukar untuk menang tetapi sekurang-kurangnya mendapat undi yang lebih banyak.

Agak memalukan buat PRM yang sekadar memperoleh 101 undi sedangkan PRM mempunyai rakan-rakan yang lain. Walhal pada PRK P044 tahun 2008, AKIM yang tidak mempunyai sebarang rakan parti politik, mampu meraih 92 undi. Apatah lagi, usia AKIM hanya bermula pada tahun 1995 tanpa sebarang kemenangan pilihanraya manakala PRM bermula pada tahun 1955 dan pernah memenangi kerusi Parlimen dan Majlis Kerajaan Tempatan suatu ketika dahulu.

Ya, tidak dinafikan bahawa PRM yang sekarang tidak seperti dahulu. PRM suatu ketika dahulu mempunyai tokoh hebat seperti Ahmad Boestamam namun kini PRM dilihat tiada insan sehebat beliau. Malah struktur PRM yang dilihat lemah, menyebabkan jentera parti tidak dapat dibina dalam kapasiti yang besar.

Ditambah lagi dengan pengumuman calon yang sedikit akhir iaitu pada 20 April 2015, lima hari sebelum penamaan calon pada 25 April 2015. Sudahlah lewat, ditambah lagi dengan kenyataan Pengerusi PRM Pulau Pinang, Datuk Gary Nair yang menafikan calon PRM, Azman Shah Othman sebagai calon PRM dan anggap Azman sebagai pelawak. Kenyataan balas dari pimpinan pusat PRM mengenai status Azman Shah Othman pada 28 April 2015 dilihat sedikit lewat sedangkan PR dan BN sudah memulakan kempen.

PRM JANGAN ULANGI NASIB PARTI AKIM

Walau apapun kritikan diberikan, keputusan PRK sudah diketahui. PRM seharusnya menjadikan Permatang Pauh sebagai permulaan untuk terus berjuang membentuk blok ketiga. Malah, rakan sealiran PRM, Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga harus memikirkan bagaimana untuk kedua-dua parti bergandingan melalui Gerakan Kiri Malaysia (GKM).

Adalah molek jika nama Gerakan Kiri dimurnikan lagi, kerana perkataan 'kiri' seolah mereka ini adalah golongan yang ganas. Apa yang pasti, diharapkan PRM tidak ulangi kesilapan parti AKIM (KITA).

AKIM telah menjadikan Permatang Pauh medan permulaan memperkenalkan semula parti mereka kepada umum. Sehinggalah mereka benar-benar terkenal apabila AKIM bertukar menjadi KITA. Namun momentum KITA tidak lama, malah sikap Ketua KITA, Zaid Ibrahim, yang seolah tiada pendirian menyebabkan KITA sunyi dan terus sunyi.

Itu yang perlu PRM beri perhatian. Teruskan menjuarai isu-isu rakyat. Moga PRM kembali gemilang seperti dahulu. -STUDIOKINI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda