Terkini!

Surat Cinta Kesinambungan 'Jiwang' Inteam

Suatu masa dahulu ketika awal kemunculan, kumpulan Inteam cukup sinonim dengan lagu-lagu nasyid berkisarkan cinta. Ketika itu, realiti muzik Malaysia cukup terkenal dengan kemunculan band-band 'tangkap leleh' seperti New Boyz, Q-Face, Screen, dan lain-lain lagi.

Kehadiran Inteam dengan album pertama, Kasih Kekasih, merupakan percubaan awal ketika itu untuk menyelitkan lagu-lagu percintaan Islami sebagai alternatif kepada muda-mudi. Hasilnya, album Kasih Kekasih mendapat sambutan hangat.

Setelah 15 tahun ditubuhkan, Inteam tampil lagi dengan lagu jiwang berjudul Surat Cinta. Lagu ini merupakan single terbaru Inteam sempena dengan ulang tahun penubuhan kumpulan tersebut.

HISYAM KEMBALI BERSAMA INTEAM

Tatkala pertama kali mendengar Surat Cinta, akal pasti akan anggap ia merupakan sebuah lagu jiwang karat. Tapi apabila mendengar sambil membaca bait-bait lirik, Surat Cinta adalah satu lagu yang mempunyai 2 makna tersembunyi.

Sudah pasti makna utama lagu ini ialah ditujukan untuk Sang Pencipta. Lagu ini lebih berkisarkan kepada ayat-ayat al-Quran yang diibaratkan surat cinta Allah kepada hamba-Nya. 

Manakala makna kedua kalau didengar tanpa membaca liriknya, sudah pasti berkisarkan kisah kekeluargaan suami isteri.

Menariknya, lagu Surat Cinta ini merupakan penampilan secara rasmi Hisyam Ahmad, kembali bersama Inteam. Hisyam merupakan ahli asal Inteam pada awal penubuhan kumpulan tersebut. Dia pernah menubuhkan kumpulan De Hearty setelah berundur dari Inteam.

Sebelum ini, Hisyam pernah berkolaborasi bersama Inteam dalam album Nur Insani pada tahun 2007. Pada tahun 2009 dan 2013, Hisyam dan seorang lagi bekas ahli Inteam, Suhaimi Saad, berkolaborasi bersama Inteam untuk album Allahu Rabbi serta Iman & Aman. 

Difahamkan Surat Cinta juga dihasilkan bersempena dengan kebersamaan Hisyam, sekali gus membangkitkan nostalgia lagu-lagu hit Inteam bersamanya sebelum ini.
Pelancaran Surat Cinta oleh Dr Asyraf Wajdi.
Kredit gambar: Munsyeed [Dot] Com

Surat Cinta telah dirasmikan oleh Dr. Asyraf Wajdi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Menara Kuala Lumpur pada 23 November 2015. Turut dilancarkan adalah produk minyak wangi Miracle Oil keluaran Inteam Marketing.

Single Surat Cinta dimuatkan dalam album kompilasi mereka, Miracle Hits. Album ini memuatkan 15 buah lagu dari album pertama mereka, Kasih Kekasih hingga album Iman & Aman. Album ini bersempena dengan 15 tahun penubuhan Inteam. Dapatkan album ini di kedai-kedai muzik atau secara online di Inteam Mobile.- WTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda