TERKINI!

Sarawak Medan Ujian Sulung AMANAH

Penerimaan rakyat dan kekuatan Parti Amanah Negara (AMANAH) dapat dilihat melalui pungutan jumlah undi yang bakal diterima parti itu dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Kali Ke-11.

Pilihanraya ini merupakan penyertaan sulung parti tersebut dalam arena pilihanraya sejak parti tersebut ditubuhkan pada 16 September 2015 oleh beberapa bekas pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Presiden AMANAH ialah Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS.

Kehadiran AMANAH mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRN Sarawak 2016 ini sememangnya dinantikan. AMANAH berperanan mengambil alih tugas PAS dalam blok pembangkang HARAPAN selepas PAS tidak lagi bekerjasama dengan DAP serta PKR di Sarawak.

Pilihanraya Sarawak 2016 ini menyaksikan AMANAH akan bertanding di 13 buah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng, dan Balingian.

Daripada 13 DUN yang ditandingi AMANAH, parti itu akan bertempur dengan serpihannya, PAS, di DUN Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, dan Beting Maro. Fokus pemerhati politik sudah pasti akan terarah kepada 5 DUN ini terutama Beting Maro bagi melihat parti manakah yang mampu menarik minat pengundi.

Tindakan AMANAH bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi PAS dilihat tidak mampu memberikan impak besar kepada senario politik. Misalnya di DUN Beting Maro, PAS sudah bertapak di DUN tersebut dan telah mempunyai ramai penyokong tersendiri. 

Dalam PRN Ke-10, PAS hanya tewas dengan majoriti 391 undi kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB). Tindakan AMANAH bertanding di Beting Maro dilihat cuba menganggu usaha PAS bagi melahirkan 'anak sulung' mereka di DUN Sarawak.

Populariti AMANAH sedikit meningkat dalam PRN Sarawak ini apabila parti itu mengambil langkah unik dengan mengetengahkan calon OKU di DUN Gedong. 


AMANAH meletakkan aktivis masyarakat, Rapelson Richard Hamit, sebagai calon di DUN Gedong. Tindakan meletakkan calon bukan Islam dan OKU ini dilihat sebagai satu tindakan membuktikan AMANAH adalah parti untuk semua masyarakat dan golongan.

Namun tindakan tersebut belum cukup untuk memperkenalkan AMANAH di Bumi Kenyalang ini. Kehadiran bilangan peserta yang mengiringi calon-calon AMANAH semasa penamaan calon sudah cukup menggambarkan bahawa parti ini perlu bekerja semaksima mungkin jika mahu menang.

AMANAH juga perlu berusaha untuk mengikis tanggapan bahawa parti ini dipergunakan oleh DAP bagi memecah undi blok pembangkang yang lain di 13 kerusi DUN yang ditandingi. Dalam kes DUN Beting Maro, tindakan AMANAH untuk tidak menurunkan Abang Ahmad Kerdee sebagai calon dilihat sebagai tindakan kurang bijak.

Untuk rekod, Abang Ahmad Kerdee merupakan bekas calon PAS di Beting Maro ketika PRN Ke-10.

Populariti Abang Ahmad Kerdee di Beting Maro sepatutnya digunakan AMANAH bagi memberikan saingan sengit kepada PBB dan PAS. Namun langkah menurunkan calon lain di DUN tersebut jelas menggambarkan AMANAH tidak serius untuk menawa DUN tersebut.

Ketiadaan jentera parti yang kuat juga menjadikan gerak kerja AMANAH sedikit ke belakang. Walaupun AMANAH merupakan komponen HARAPAN bersama PKR dan DAP, namun dua buah parti tersebut seperti tidak memfokuskan bantuan jentera kepada AMANAH.

Ketiadaan calon-calon yang popular juga akan memberikan impak negatif kepada AMANAH. Maka, pilihanraya DUN ini bakal menjadi medan bagi mengukur kesediaan AMANAH bagi menghadapi siri-siri pilihanraya akan datang atau terus lenyap ditelan parti-parti utama yang lain. - WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda