TERKINI!

Adakah AMANAH Mampu Saingi PAS?


Pilihanraya Kecil bagi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar merupakan medan tempur penting bagi semua blok pembangkang dan kerajaan untuk mengukur sejauh mana populariti yang masih tinggal sebelum pilihanraya umum ke-14 menjelma.

Bagi Barisan Nasional (BN), kekuatan parti tersebut di Semenanjung Malaysia akan diukur selepas BN Sarawak berjaya meraih kemenangan besar dalam pilihanraya negeri Sarawak pada Mei 2016 yang lalu.

Sudah pasti populariti UMNO selaku tunjang utama BN di Semenanjung Malaysia akan diukur selepas kemelut melanda parti tersebut ekoran 'pembersihan' pimpinan-pimpinan yang tidak sebulu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Andai undi UMNO-BN merosot di kedua-dua kerusi, maka signal kecemasan menjadi isyarat untuk Datuk Seri Najib Abdul Razak terutama di Selangor. Namun jika BN menang dengan majoriti yang besar di kedua-dua kerusi Parlimen tersebut, maka ia merupakan signal hijau untuk BN menghadapi PRU14 nanti.

Bagi Pakatan Harapan (HARAPAN), tindakan meletakkan calon dari Parti Amanah Negara (AMANAH) sudah pasti akan dinilai oleh masyarakat umum. AMANAH yang merupakan serpihan Parti Islam SeMalaysia (PAS), sudah pasti akan buat sebaik mungkin untuk menang di kedua-dua PRK ini.

Begitu juga dengan PAS. PRK ini merupakan medan sulung untuk mengukur penerimaan rakyat terhadap PAS selepas PAS tidak lagi bersama blok PKR-DAP. 

Pertembungan PAS-AMANAH ini akan dinilai sebagai ujian meraih populariti kedua-dua parti tersebut di Semenanjung Malaysia. Sebelum ini PAS-AMANAH telah bertembung di lima kerusi DUN semasa PRN Sarawak. 

Dalam PRN tersebut, 9 daripada 13 calon AMANAH hilang deposit manakala di pihak PAS, 7 daripada 11 calon hilang deposit. Bagi lima kerusi yang AMANAH-PAS bertembung pula, undi calon PAS mengatasi undi calon AMANAH.


Dari lima kerusi tersebut, undi PAS jauh lebih besar berbanding AMANAH. Kecuali di DUN Sadong Jaya, PAS berjaya meraih lebih dari 1000 undi di lima buah kerusi yang bertembung dengan AMANAH.

PARLIMEN KUALA KANGSAR & SUNGAI BESAR TAK SAMA PRN SARAWAK

Walaupun undi PAS lebih hebat berbanding AMANAH di Sarawak, namun itu bukan kayu ukur untuk menyatakan PAS akan dapat undi lebih dari AMANAH. 

Tindakan AMANAH yang berani masuk ke gelanggang pilihanraya sebenarnya harus dipuji dan diberi perhati serius. Walaupun baru berusia kurang dari 1 tahun penubuhan, namun AMANAH dilihat sebagai parti yang mampu berdepan cabaran walaupun jentera partinya masih lemah.

Di Kuala Kangsar, mungkin sukar untuk PAS dan AMANAH menang. Secara kasar, negeri Perak merupakan salah satu negeri yang rakyatnya masih berideologikan Melayu yang kuat. Maka sudah pasti UMNO akan meraih keuntungannya. 

Walaupun kedudukan DUN Perak tidak menyenangkan hati BN kerana majoriti tipis, tapi hampir 90% kerusi BN di Perak adalah dikuasai UMNO. Manakala di pihak pembangkang, wakil bukan Melayu dari DAP dan PKR yang menjadi majoriti.

Justeru Kuala Kangsar sudah pasti akan dikuasai UMNO dengan mudah melainkan ada lampur ajaib yang mampu menukar senarionya nanti. 

Namun berbeza di Parlimen Sungai Besar. Walaupun UMNO menang tipis sebanyak 399 undi semasa PRU13, namun untuk PRK kali ini mungkin UMNO akan menang dengan majoriti bertambah.

Senario PRU13 sudah berlalu. Pertelingkahan PAS dan AMANAH memberi bonus buat UMNO untuk mara. Walau bagaimanapun, UMNO tidak boleh ambil mudah cabaran AMANAH kerana AMANAH merupakan komponen HARAPAN.

DAP dan PKR sudah pasti akan membantu calon HARAPAN untuk meraih sokongan sebaik mungkin. Walaupun Selangor masih ditadbir secara bersama antara PAS, DAP dan PKR, namun ia tak akan menghalang PKR dan DAP untuk membantu AMANAH.

Selepas Timbalan Presiden PKR, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan jentera PKR akan membantu AMANAH sebagai calon HARAPAN, maka secara tak langsung jentera kerajaan negeri turut digunakan. Ia akan memberi kelebihan buat AMANAH.

Bagi PAS pula, kekuatan akar umbi PAS di Sungai Besar memberi bonus untuk parti itu bergerak. Jentera PAS yang kuat dari seluruh negara sudah tentu dikerahkan sebaik mungkin. 

Dari mata kasar, keputusan logikal yang dapat dibuat sudah pasti dua kerusi ini akan dimenangi UMNO. Undi kedua tertinggi adalah PAS dan ketiga AMANAH. Namun itu bukan isyarat baik untuk UMNO.

Apa yang pasti, PRK ini bukan keputusan siapa menang menjadi ukuran tapi siapa yang dapat undi yang banyak, akan dinilai rakyat. Dan ia merupakan signal awal untuk menilai penerimaan rakyat tentang kewujudan AMANAH dalam politik Malaysia.

Jika UMNO menang bergaya dalam PRK ini, kemungkinan peluang untuk Parlimen dibubarkan sebelum 2018 akan berlaku. Jika AMANAH (HARAPAN) menang, ia satu petanda baik untuk blok HARAPAN menyusun strategi memenangi PRU14. Dan jika PAS menang, ia satu petanda baik buat PAS bahawa perjuangan dalam blok ketiga lebih baik berbanding dalam blok HARAPAN. - WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda