TERKINI!

Bill Kayong Pejuang Rakyat Yang Kental!

Tragedi pembunuhan aktivis masyarakat Iban, Bill Kayong pada 21 Jun 2016 yang lalu nyata mengejutkan politik Sarawak. Pembunuhan misteri ini menimbulkan persoalan mengenai siapa dalang di sebalik tragedi kejam tersebut. Malah kejadian tersebut berlaku setelah sebulan pilihanraya negeri Sarawak ke-11 berlangsung pada Mei 2016.

Bill Kayong atau nama Islamnya, Mohd Asbi Abdullah, mungkin kurang dikenali dalam arena politik nasional namun bagi Sarawak, beliau merupakan antara aktivis tanah adat (NCR) yang lantang memperjuangkan isu-isu masyarakat Dayak terutama berkaitan tanah NCR.

Bill Kayong bukanlah seorang ahli politik yang mudah menyerah kalah. Menyandang jawatan sebagai Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Miri, beliau sentiasa berpegang pada prinsip perjuangannya untuk bangsa Dayak.

Malah dalam laman Facebooknya, Bill Kayong pernah menyatakan “If Dayak Must Die, Dayak Die Defending NCR Lands” (Jika Dayak Perlu Mati, Dayak Akan Mati Pertahankan Tanah Adatnya).

Allahyarham Bill Kayong Gigih perjuangkan isu tanah NCR.
sumber: Sarawakvoice
Berasal dari Betong, Sarawak. Bill telah menetap di Miri lebih dari dua dekad. Lahir dalam keluarga besar, anak ke-11 daripada 12 adik beradik. Menurut Sarawakvoice, Bill Kayong pernah mengikuti pelajaran di SRK Nanga Ajau, Betong sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Dato Permaisuri, Miri dan menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran di sekolah itu.

Kemudian, beliau kembali ke Betong untuk melanjutkan pelajaran di tempat asalnya itu. Bill bekerja dengan sebuah syarikat swasta selepas memperoleh diploma daripada sebuah kolej swasta di bandar minyak itu.

Dalam arena politik dan aktivis, Bill Kayong merupakan Setiausaha Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang memperjuangkan isu-isu masyarakat Dayak. Minat dalam bidang politik menyebabkannya memilih PKR sebagai wadah politiknya. Belia dilantik sebagai Setiausaha Politik Ahli Parlimen Miri (PKR), Dr. Michael Teo sejak Jun 2013 selepas PKR berjaya memenangi Parlimen Miri dalam Pilihanraya Umum 13.

Pada PRN Ke-11 Mei 2016 lalu, Bill dipilih sebagai calon PKR DUN Bekenu. Namun beliau tewas kepada calon langsung Barisan Nasional, Rosey Yunus yang mendapat undi majoriti 4,789. Bill mendapat 1,220 undi, manakala Rosey meraih 6,009 undi.

Semangat perjuangannya dalam mempertahankan masyarakat Dayak menjadikannya berani menghadapi apa jua risiko. Namun, dek kerana semangatnya, akhirnya nyawa beliau berakhir di hujung senapang patah. Ramai pihak menganggap kematiannya disebabkan oleh pembunuh upahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Junaidi Bujang, hasil bedah siasat mangsa semalam turut menemui dua butir peluru terbenam di dalam luka tembakan pada bahagian kanan lehernya.

“Ia menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian,” jelasnya lagi.

Mereka yang mengenali Bill menyifatkannya sebagai lelaki yang baik hati, tidak punya musuh dan suka senyum. Bill memeluk agama Islam pada 9 Disember 1996.Perkara itu katanya, disahkan oleh isterinya, Hasyikin Hatta, 41 tahun, yang juga beragama Islam sebelum mereka diijabkabulkan. Bill, 43 tahun, keturunan Iban telah memilih Mohd Asbi Abdullah sebagai nama Islamnya, dan rekod tersebut disimpan di Pejabat Agama Miri.

Sehubungan itu, upacara pengebumian Bill akan diuruskan secara Islam dan akan disolatkan di Masjid Ar Rayaan Permyjaya sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Batu 1, Kuala Baram pada 24 Jun 2016.

Bill meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki 19 tahun dan seorang anak perempuan 15 tahun. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh.-WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda