Terkini!

Gabungan Rakyat: Realiti Atau Fantasi?

Pada 31 Mei 2016, satu sidang media telah diadakan membabitkan beberapa buah parti pembangkang kecil. Difahamkan sidang media tersebut memfokuskan kepada penubuhan sebuah pakatan politik baru dalam tempoh beberapa bulan lagi.


Pakatan politik tersebut dinamakan sebagai Gabungan Rakyat (GR) atau United People. Menurut Pengerusi Protim GR, Phillip Among, GR akan disertai parti-parti pembangkang kuasa ketiga dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Kami mahu ‘Rakyat Bersatu’ muncul sebagai perikatan formal kedua di Malaysia selepas Barisan Nasional (BN), yang ditubuhkan lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Sesebuah gabungan politik memerlukan sekurang-kurangnya tujuh buah parti politik sebagai komponennya bagi membolehkannya mendaftar atas satu logo.

Dalam pertemuan tersebut, wakil-wakil parti yang hadir ialah Phillip Among, Presiden Malaysian United People's Party (MUPP),Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Santokh Singh, Setiausaha Agung PAP David Dass, Setiausaha Antarabangsa PAP, Balachanthar, Timbalan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Patrick Anek Uren, Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) Jack Giau, Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) Lina Soo dan Presiden Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU) Abdul Banning Mohamad

PAP merupakan parti politik yang berasal dari Semenanjung Malaysia, manakala STAR, SAPU, PBDS dan Perpaduan berpangkalan di Sabah dan Sarawak. MUPP pula merupakan parti yang berasal dari Sabah namun telah melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

GABUNGAN RAKYAT: REALITI ATAU FANTASI?

Jika semua parti yang hadir menyatakan komitmen untuk bergabung, Rakyat Bersatu hanya memerlukan sebuah sahaja lagi parti untuk membolehkan pendaftaran pakatan politik dibuat.

Berdasarkan sidang media tersebut, gabungan ini sudah mempunyai enam buah komponen iaitu MUPP, PAP, Perpaduan, PBDS Baru, STAR dan SAPU.

Namun, persoalan yang timbul ialah adakah pakatan politik ini benar-benar serius?

Suasana politik Malaysia hari ini menyaksikan kekalutan ketara antara semua parti politik yang ada. Jika semasa pilihanraya umum ke-13 hanya wujud dua pakatan politik utama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), namun untuk pilihanraya umum ke-14, suasana sudah berubah.

Terbubarnya PR dan pembentukan Pakatan Harapan (HARAPAN) serta Blok Ketiga PAS-IKATAN menyebabkan suasana politik Malaysia kian berpecah. Hanya BN sahaja dilihat masih kukuh walaupun wujud isu demi isu melibatkan pimpinan negara.

Dalam konteks politik di Sabah dan Sarawak, acapkali tiba pilihanraya sudah pasti suara pakatan politik pembangkang dilaungkan. Tapi hasilnya tak ke mana. Misalnya, sebelum PRU13 berlangsung, sudah wujud pakatan politik membabitkan parti-parti politik di Sabah iaitu United Borneo Alliance (UBA). UBA ketika itu menggabungkan STAR, Sabah Progressive Party (SAPP) serta United Sabah National Organisation Baru (USNO). USNO ketika itu belum diluluskan dan bertanding atas tiket Bebas.

Namun apabila tiba musim pilihanraya, pakatan UBA gagal dalam pembahagian kerusi. Hasilnya, STAR dan SAPP bertembung sesama sendiri di beberapa kerusi. Pakatan Rakyat juga tidak terlepas bertembung sesama sendiri.

Menjelang pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) yang lalu juga, dikhabarkan STAR dan PBDS Baru ingin mewujudkan pakatan politik namun gagal.

Apatah lagi menjelang PRU14. Usaha untuk benar-benar komited seperti atas kertas sahaja. HARAPAN sudah pasti akan bertanding menentang BN, manakala Blok Ketiga PAS-IKATAN sudah pasti menentang BN dan mana-mana calon HARAPAN yang bertanding di kerusi tradisi PAS.Belum lagi ditambah dengan persaingan antara BN, HARAPAN, Blok Ketiga dengan sebuah lagi pakatan politik Sabah, United Sabah Alliance (USA).

Dan jika benar Rakyat Bersatu ditubuhkan, sudah pasti pertandingan lebih dari 3 hingga 4 penjuru akan berlaku.

KUASA KETIGA YANG PERLU BERSATU

Sebelum menyeru rakyat bersatu, adalah lebih baik jika kuasa ketiga yang bersatu terlebih dahulu. Blok-blok politik ketiga perlu bernaung di bawah satu pakatan politik. Justeru, dicadangkan agar keanggotaan Rakyat Bersatu turut melibatkan Blok Ketiga PAS-IKATAN. Walaupun sukar namun dalam politik, semua boleh jadi.

United Sabah Alliance (USA) yang terdiri daripada STAR, SAPP dan Parti Cinta Sabah (PCS) pula perlu bersama dalam komponen Rakyat Bersatu. Jika ini terjadi, Rakyat Bersatu akan terdiri daripada 10 buah parti iaitu MUPP, STAR, SAPP, PBDS, PCS, Perpaduan, SAPU, PAS, IKATAN dan PAP.

Moga usaha mendaftarkan Rakyat Bersatu bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam! - WRTKP

1 komentar:

  1. tiada apa yang boleh diharapkan lagi. PRU14 BN menang selesa

    ReplyDelete

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda