TERKINI!

Isu Anti Vaksin: Jangan Dihina Imam Muda Ammar

Kecoh baru-baru ini mengenai isu anti-vaksin.Isu ini tercetus selepas berlakunya kematian seorang kanak-kanak akibat sikap ibu bapanya yang enggan memberi vaksin kepada anaknya.

Isu ini menjadi lebih panas apabila salah seorang selebriti menaikkan status secara sinis mengenai isu tersebut dalam laman sosial. Tindakan salah seorang finalis Imam Muda musim kedua, Ammar Wan Harun, dikritik hebat oleh para netizen.

Dalam status itu, Ammar menyelar tindakan sesetengah pihak yang menghebohkan isu kematian seorang kanak-kanak yang didakwa tidak diberikan vaksin.

"Tak tahu pula malaikat maut tak cabut nyawa budak yang diberikan vaksin," 
Difahamkan status Ammar bukanlah berniat untuk menyatakan pendiriannya yang anti-vaksin. Beliau cuma ingin menyatakan bahawa di sebalik tidak diberikan vaksin, jika ajal kanak-kanak tersebut pada ketika itu maka sebagai manusia kita kena akur.

Namun, cara tulisannya yang sinis menyebabkan ramai pihak salah faham. Dan tindakan Ammar juga turut ada silapnya apabila tidak menggunakan bahasa yang mudah difahami memandangkan beliau merupakan selebriti yang dikenali umum.

Status itu turut mendapat kritikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab terutamanya daripada seseorang yang memegang gelaran yang dihormati.

Kritikan demi kritikan, malah ada yan memberi cacian kepadanya menyebabkan Imam Muda Ammar memohon maaf secara terbuka dalam laman Facebooknya, sebelum laman tersebut dinyahaktifkan.

KENYATAAN PERMOHONAN MAAF IM AMMAR

Berikut ialah permohonan maaf secara terbuka oleh Imam Muda Ammar.

Sekali lagi saya ingin memohon maaf di atas status sebelum ini yang mengundang kemarahan ramai. Saya telah pun memohon maaf secara terbuka namun saya merasakan permohonan maaf saja tidak cukup. Saya merasakan perlunya penjelasan dibuat bagi menjernihkan ketelanjuran dan silap faham yang berlaku.

1. Saya memohon maaf kepada semua.

2. Status tentang vaksin yang agak kasar itu sepatutnya tidak ditulis. Sebenarnya ia adalah tindakan daripada statement seseorang di Facebook yang terlalu menyalahkan ibu bapa yang melarang anak mereka daripada divaksin. Sehingga tulisan itu seolah-olah melebih-lebihkan kuasa vaksin daripada kuasa Allah swt. Di sini ada beberapa penjelasan:

a) Tulisan sindiran itu timbul daripada perasaan marah kerana tulisan seseorang yang saya baca di Facebook yang mana tulisan itu seolah-olah menafikan kuasa Allah swt. Vaksin adalah asbab dan perantara tetapi segalanya berlaku dengan izin Allah swt. Apakah saya tidak merasa marah apabila seseorang itu mengatakan ada sesuatu yang lebih hebat daripada kuasa dan takdir Allah swt? Tetapi tidaklah kita perlu meninggalkan asbab dan perantara, kapal ingin berlayar perlukan air. Jadi, adakah saya anti vaksin?

 b) Saya berpandangan terbuka dalam masalah vaksin kerana mendapati ramai yang menggalakkan penggunaan vaksin seperti doktor hospital dan ramai juga yang tidak mahu langsung menggunakan vaksin seperti Pengamal Perubatan Alternatif sebahagiannya. Sejak isu ini viral, ramai rakan-rakan menghantar mesej kepada saya secara personal yang menyatakan sokongan mereka kepada saya. Bagi saya pula, saya bukanlah anti vaksin. Demi Allah, saya membiarkan anak saya diberikan suntikan vaksin selepas kelahiran.

Kalau saya anti vaksin, mana mungkin saya membiarkan anak saya disuntik vaksin? Dan saya menyarankan kepada ibu bapa agar berbincang dengan para doktor dan pakar yang terbaik untuk anak mereka kerana mereka lebih arif. Tambahan pula, Fatwa telah mengharuskan dan menggalakkan vaksin. Mana mungkin saya lebih arif dari doktor dan mufti? Mungkin ada yang mempersoalkan post saya sebelum ini (agak lama dahulu) di Instagram yang mana saya telah memuat naik gambar yang dipetik daripada buku tulisan Jerry D. Gray dalam buku bertajuk Trust No One. Penulis telah menulis lebih daripada 50 muka surat berkaitan bahayanya vaksin.

Post itu bertujuan ingin mendapatkan respon masyarakat tentang perkara yang ditulis serta jawapan daripada dakwaan penulis akan bahayanya vaksin. Tambahan pula, ramai saudara mara saya yang turut menjadi rakan Facebook dan Instagram adalah di kalangan doktor. Ianya seperti mana anda share status saya sebelum ini bukannya bertujuan untuk setuju dengan status saya tetapi share tanda tidak setuju dan supaya saya dihentam. Post itu bertujuan mendapatkan respon daripada pakar yang terdapat dalam Facebook dan Instagram saya. Jika benar dakwaan Jerry D. Gray itu yang mengatakan vaksin adalah berbahaya, maka seharusnya kerajaan Malaysia menyekat kemasukkan buku-buku tulisan beliau kerana menimbullkan kekeliruan. Jadi tulis itu sebenarnya disebabkan rasa marah saya kerana seseorang Muslim menafikan kuasa Allah swt. Bukannya kerana anti vaksin. Apabila menulis dalam keadaan marah, maka tulisan saya menjadi agak keterlaluan dan jauh dari maksudnya yang sebenar. Jadi untuk kesekian kalinya saya meminta maaf. Saya sedar yang tulisan itu tidaklah maksud sebenar yang dimaksudkan tetapi sebaliknya.

3. Saya bukanlah doktor atau mufti. Rujuklah pada pakar perubatan anda.
4. Atas nasihat anda, saya telah buang gelaran Imam Muda. Jadi jangan libatkan Imam Muda yang lain. Saya hanyalah hamba berdosa.
5. Setiap manusia sering melakukan kesilapan. Jadi maafkan saya.
6. Saya bukan anti vaksin tetapi saya anti ucapan yang menafikan kuasa Allah.
7. Mungkin saya perlu menghadiri kelas bahasa agar lebih tepat kepada maksud yang disampaikan.
8. Anda boleh PM saya jika perlu kita berbincang dengan harmoni.
 9. Maaf sekali lagi.

BUANG GELARAN IMAM MUDA

Sementara itu, dalam Whatssapp Imam Muda pula, Ammar turut memohon maaf kepada rakan-rakannya yang lain.
Kenyataan IM Ammar dalam Whatssapp

Dan difahamkan juga, Ammar turut mengumumkan 'perletakan jawatan' Imam Muda dengan membuang gelaran tersebut dari namanya. Hal ini bagi mengelak gelaran dari program realiti 'Imam Muda' tersebut menerima pandangan negatif daripada masyarakat.-WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda