TERKINI!

#MYINTIFADA & Demimu Ardhussyam: Gabungan Artis Dalam Dua Album


Selain fokus kepada nasyid kontemporari, para penasyid tidak lupa akan tanggungjawab mereka kepada isu kemanusiaan dan perjuangan.

Menerusi dua buah projek album berbeza, barisan artis nasyid telah bergabung tenaga dan suara demi menyahut seruan kempen kemanusiaan.

#MYINTIFADA Gabung Penasyid Malaysia Dan Antarabangsa

Setelah kejayaan menerbitkan album Satu Perjuangan pada Disember 2015, Risalah Harmoni Sdn Bhd (RHSB), tampil lagi dengan produk terbaru iaitu #MYINTIFADA.

Apa yang menarik tentang album ini ialah gabungan penasyid yang bukan saja dari Malaysia malah dari negara-negara lain seperti Indonesia, Lubnan, serta Arab Saudi.

Barisan artis dari Malaysia yang terlibat ialah Mua'dz, Zeyad, Anas Tahir & Alkautsar, Saff One, Zim Ezuan & Nocturnal Voice, Shoutul Muallimin, Bonai, Feel One, Muslih, Head One, Najhan, dan Fedaa'. Manakala barisan artis dari luar negara pula ialah Shoutul Harokah dan Arruhul Jadid dari Indonesia serta Wa3edband dari Lubnan.

Album ini turut menampilkan Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Nor dalam narasi Laungan Intifada dan Muhammad Bin Abdullah Syeikh (Arab Saudi) dalam bacaan ayat al-Quran al-Isra' (78-84).
Kulit album #MYINTIFADA
Kredit: Risalah Harmoni
Semua lagu dalam album #MYINTIFADA berkonsepkan nasyid haraki (perjuangan) dengan memfokuskan kepada isu di Palestin. Terdapat 17 buah trek dalam lagu ini iaitu 15 buah lagu, sebuah nurasi dan satu trek bacaan ayat al-Quran.

Sedikit review tentang album #MYINTIFADA, dari segi kulit album memang terbaik! Design kulit album ini nyata memberi gambaran yang jelas tentang konsep album ini. Bagi aspek pemilihan lagu-lagu dalam album ini, secara jujurnya susunan muzik dalam album ini menepati citarasa nasyid haraki.
Barisan artis yang terlibat
#MYINTIFADA berjaya pecahkan tembok nasyid yang membosankan. Bila dengar album ini, memang jiwa terbangkit untuk hayati erti perjuangan. Keterlibatan penasyid haraki seperti Wa3edband (Lubnan), Shoutul Harokah (Indonesia) dan Arruhul Jadid (Indonesia) turut menambah perisa untuk album ini.

Secara peribadi, lagu-lagu yang menjadi pilihan Wartakopi ialah Palestina Milik Kita (Shoutul Harokah), Al-Aqsa (Mu'adz), Suara Intifadah (Zeyad), Ini Kisah Mereka (Anas Tahir feat Alkautsar), Bersamamu Palestin (Saff One),  Hekayet Nafeer (Wa3edband), Armada (Head One), Mujahid Palestin (Najhan), dan Hari Berjuang (Arruhul Jadid).

Sebahagian hasil pembelian album #MYINTIFADA ini akan dimasukkan ke Tabung MyCare (Humanitarian Care Malaysia Berhad) yang turut bertindak sebagai penerbit untuk projek ini.

Syabas buat Mohd Qhalid (Saff One) dan Mohd Hussaini Khairuddin selaku pengarah projek ini.

DEMIMU ARDHUSSYAM PROJEK TERBARU MAPIM

Dalam pada masa yang sama, Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut mengambil langkah menerbitkan projek album Demimu Ardhussyam.Projek ini dibuat secara usahasama bersama Munif Hijjaz Production serta edarannya oleh Inteam Records.

Konsep album ini sama seperti #MYINTIFADA iaitu nasyid haraki. Demimu Ardhusyyam memfokuskan isu-isu di tanah Syam (Palestin, Syria, Jordan dan Lebanon). Gabungan artis yang terlibat dalam ini ialah Hijjaz, Abu Ubaidah, Abu Mali & Tariff, Ali Terarosa, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, serta gabungan artis-artis dakwah Malaysia yang lain.

Demimu Ardhussyam merupakan kesinambungan projek Keranamu Baitulmaqdis (Hijjaz) yang pernah terbit pada tahun 2013. Trek dalam album ini diselang-selikan dengan narasi-narasi. Lagu yang menjadi pilihan dalam album ini ialah Allahu Allah (Abu Malik & Tariff), Muhammad Kekasihku (Ali Terarosa), Ya Syam (Hijjaz), Ya Syababal Islam (Hijjaz) dan La Tahzan (Heliza dan Hazwani Helmi).

Lagu paling mantap sudah pasti Tanah Ini Milik Kami yang menggabungkan ramai artis-artis Malaysia. Antara mereka yang terlibat dalam lagu ini ialah Nash, Ramli Sarip, Nazrey Johani, Adik Shahamah, Saujana, Hijjaz, NowSeeHeart, UNIC, Inteam, Ustaz Amal, Rabbani, Muadz, Mestica, Altimet, Heliza Helmi, Zaf, The Muhibbains, Salima (AF), Ali Din, Taleeb Mizad, Ainan Tasneem, Far East, Hufaz, Safiya, Firdaus AF, Man Kidal, Along & Ujang Exists, Kelly dan Wan Saleh.

Gabungan yang ramai ini mengingatkan balik memori projek Keranamu Kosovo suatu masa dahulu. Lagu yang membawa mesej pembebasan Palestin ini wajib diketengahkan dalam media massa!

Album #MYINTIFADA dan Demimu Ardhussyam memang berbaloi bagi yang memilikinya. Album #MYINTIFADA boleh didapati melalui pengedar Risalah Harmoni manakala album Demimu Ardhussyam boleh didapati melalui MAPIM serta kedai-kedai terpilih. - WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda