TERKINI!

SAKSAMA: BERJAYA DITUBUHKAN ATAU TIDAK?


Gabungan Rakyat Saksama (SAKSAMA) merupakan satu lagi pakatan politik yang bakal memeriahkan pentas politik Malaysia. Jika sebelum ini persaingan dilihat antara blok Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta Blok Ketiga PAS-IKATAN, kehadiran SAKSAMA dijangka menambah lagi pilihan buat rakyat.

 Dalam politik Malaysia, hanya blok BN sahaja yang berjaya didaftarkan sebagai pakatan politik yang sah. Pendaftaran ini membolehkan komponen-komponen BN menggunakan satu lambang dalam pilihan raya.

BACA JUGA: GABUNGAN RAKYAT REALITI ATAU FANTASI?

Di Malaysia, syarat untuk membolehkan pendaftaran dan penggunaan satu lambang blok politik antaranya ialah sesebuah blok politik perlu mempunyai sekurang-kurangnya tujuh komponen parti. BN mempunyai 14 parti komponen, manakala PH mempunyai tiga iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Blok Ketiga PAS-IKATAN pula hanya terdiri daripada parti PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

 Idea penubuhan SAKSAMA telah mula dicetuskan oleh Presiden Malaysian United People’s Party (MUPP) yang berpangkalan di Sabah, Philip Among sejak Mei 2016.

Dalam siri perbincangan awal, tujuh parti menghantar wakilnya iaitu MUPP, Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDS Baharu), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan),Parti Kebangsaan Sabah (PKS), People’s Alternative Party (PAP) dan State Reform Party – Sarawak (STAR-SARAWAK).

Nama asal yang dicadangkan ialah Gabungan Rakyat atau Rakyat Bersatu. Pada 11 Julai 2016, Presiden Sarawak Reform Party (REFORM), Lina Soo menyatakan SAKSAMA akan mengadakan majlis menanda tangani perjanjian persefahaman (MOU) penubuhannya pada 1 Ogos 2016 di Kuching, Sarawak. REFORM merupakan nama baru bagi STAR SARAWAK setelah STAR SARAWAK memutuskan untuk berpisah dengan STAR yang turut mempunyai cawangannya di Sabah. Kata Lina Soo,

SAKSAMA masih kekal terdiri daripada tujuh komponen asal. Antara syarat yang dinyatakan dalam MOU nanti ialah parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia (Malaya), Sabah dan Sarawak tidak boleh membuka cawangan melangkaui wilayah asal parti-parti tersebut.

BELUM TUBUH PAP DAN REFORM SUDAH SELISIH FAHAM

Syarat ini secara kasarnya memberi gambaran bahawa mana-mana komponen SAKSAMA perlu menjaga wilayah masing-masing. Secara mudah, SAKSAMA tidak mencerminkan identity nasional dalam merapatkan lagi jurang tiga wilayah utama dalam Malaysia.

Lantaran daripada pengumuman Lina Soo, People’s Alternative Party (PAP) memberi jawapan balas yang agak keras. Presiden PAP, Zulkifli Mohd Noor menyatakan, PAP tidak mahu terheret dalam isu pendaftaran SAKSAMA.

"Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) PAP tak pernah bersidang, berbincang tentang kemasukan PAP dalam Gabungan Rakyat (Saksama), dan pendirian kita adalah kita berdiri sendiri, kita tak ada kena mengena dengan Gabungan Rakyat. Tolong jangan libatkan kita dalam rancangan masa depan anda. Jangan gunakan PAP untuk memenuhkan kouta tujuh parti bagi mendapatkan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Kita tak benarkan parti diperalatkan," katanya yang dipetik dari Antarapos.

Selain itu, syarat menghalang mana-mana komponen melebarkan sayap ke wilayah lain turut dibidas PAP.

"Apa ni? Parti PAP adalah parti nasional yang diluluskan oleh ROS dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia. Maka PAP akan ambil bahagian di satu Malaysia, mengapa pula PAP nak ikat kaki tak boleh tanding di sana atau parti itu tak boleh tanding sini. Ini sangat buruk untuk negara," katanya sambil menambah, PAP tidak akan bergabung dengan Saksama atau mana-mana pakatan lain kerana mempunyai acuan tersendiri.

Perang mulut PAP-REFORM ini turut dibidas oleh Presiden REFORM, Lina Soo yang menyatakan PAP ada menghantar wakil dalam siri perbincangan SAKSAMA.

"Itu sesuatu yang mengejutkan bagi saya kerana kita telah adakan siri perbincangan. Kita adakan tiga siri perjumpaan, dan langkah seterusnya adalah untuk menandatangani perjanjian persefahaman. Tujuh parti yang disenaraikan adalah parti yang pernah mengadakan perbincangan dengan kami," ujar Lina Soo.

Untuk rekod, PAP memang terlibat dalam siri perbincangan penubuhan SAKSAMA. Ia disahkan oleh Setiausaha Agung PAP, David Dass. Namun David menegaskan ia hanyalah majlis pendengaran taklimat sahaja dan bukan majlis 'memeterai perjanjian' untuk menyertai gabungan berkenaan. Sambil menafikan kenyataan Lina Soo, ujar David, buat masa ini PAP masih belum memberi sebarang kata putus mengenai penyertaan mereka dalam Saksama.

Tiga pemimpin PAP (kiri) hadir ketika pengumuman Gagasan Rakyat pada Jun 2016

Tindakan PAP ini tidak boleh dinafikan akan memberi kesan ke arah penubuhan dan pendaftaran SAKSAMA. Jika PAP betul-betul menarik diri, adakah syarat tujuh komponen dapat dipenuhi SAKSAMA? Kita tunggu dan lihat 1 Ogos 2016 nanti.-WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda