Terkini!

Perpuakan PAS Era Abdul Hadi Awang: Satu Pandangan


Bukan menjadi rahsia lagi bahawa perpecahan yang berlaku dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) semasa pemilihan parti dalam Muktamar 2015 berpunca daripada pertembungan yang hebat antara dua kelompok besar dalam PAS.

Ramai yang melihat pertembungan itu melibatkan kumpulan pro-ulama dan pro-profesional. Hasilnya, kumpulan yang dikatakan pro-profesional mengalami kekalahan teruk dalam pemilihan parti tersebut dalam Muktamar 2015. Dan akhirnya melahirkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tatkala persoalan timbul mengenai apakah perkara sebenar yang terjadi dalam PAS sebelum lahirnya AMANAH, buku Perpuakan PAS Era Abdul Hadi Awang (2002-Jun 2015) pun muncul.

Isi kandungan buku ini merupakan hasil kajian yang dijalankan penulisnya, Syahidulamri Khairuddin. Kajian ini merupakan kajian ilmiah olehnya untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam buku ini diceritakan mengenai perpuakan PAS bermula dari era penubuhan parti tersebut iaitu semasa kepimpinan Ahmad Fuad, diikuti era Dr. Burhanuddin al-Helmi, era Asri Muda, era Yusuf Rawa, era Fadzil Noor sehinggalah era Abdul Hadi Awang. Sekali imbas pada judul serta muka depan buku, sudah pasti tanggapan awal menyatakan buku ini diterbitkan oleh kelompok AMANAH.

Ya, mungkin itu betul. Namun dalam mengkaji sesuatu isu secara ilmiah, pembaca perlu membuang sifat kepartian yang tinggi.

ISINYA ADA NAMUN BELUM CUKUP MASAK

Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara rasmi memegang saf pimpinan PAS bermula dari tahun 2002 lagi. Dan sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Presiden PAS, sememangnya ada pro dan kontranya.

Dalam buku tersebut, penulisnya telah membahagikan dua puak besar dalam PAS iaitu konservatif dan neo-konservatif. Konservatif dikatakan ditujukan untuk kumpulan pro-ulama manakala neo-konservatif ditujukan untuk kumpulan profesional.

Segala isi kajian penulis buku tersebut ada betulnya mengenai segala isu yang terjadi dalam PAS sebelum perpecahan yang melahirkan AMANAH. Namun penulis tidak pula menyebut isu-isu luar dari PAS yang turut mengakibatkan berlakunya perpecahan dalam PAS.

Misalnya, isu pelaksanaan Pilihanraya Tempatan oleh DAP serta Langkah Kajang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Penulis langsung tidak menyebut tindakan DAP dan PKR itu menyebabkan PAS turut tampil tegas untuk menyatakan prinsip parti mengenai undang-undang syariah.

Kedua, perpecahan Pakatan Rakyat dikatakan berpunca dari PAS. Penulis seharusnya melihat kembali mengenai isu DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS namun tidak dengan PAS. Malah DAP jugalah yang mengisytiharkan Pakatan Rakyat terbubar.

Mengenai isu senarai nama ketika Muktamar 2015 berlangsung, seharusnya diimbas kembali juga campur tangan pihak luar supaya perwakilan Muktamar memilih kumpulan neokonservatif terutama dari pihak DAP.

Selain itu, penulis seharusnya mengkaji mengenai kebocoran intipati minit mesyuarat PAS Pusat sekitar era kemuncak perpecahan (2014-2015) serta kewujudan laman-laman page Facebook seperti Elharaki.

Walau bagaimanapun, buku ini sedikit sebanyak telah memberikan penjelasan mengenai perpecahan PAS yang selama in menjadi tanda tanya. Walaupun isinya tidak kuat, namun kajian penulis berjaya menjadikan buku ini sebagai antara rujukan ilmiah mengenai parti PAS.

Jika ada semakan terhadapi isi kandungannya, diharapkan penulis terus mengkaji lebih mendalam mengenai pertembungan dalam PAS termasuk kewujudan kumpulan IRC. Penulis juga seharusnya tidak meletakkan kesalahan mutlak terhadap TG Haji Hadi atas apa yang berlaku.- WARTAKOPI.

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda