Terkini!

Peluang STAR dan PBDS-Baru Promosi Parti

Lambang STAR dan PBDS Baru
[PRK N03 Tanjung Datu 2017] Harapan untuk melihat Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding berkecai apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan berlakunya pertandingan tga penjuru di Pilihanraya Kecil N03 Tanjung Datu, Sarawak.

Pada penamaan calon bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N03 Tanjung Datu, Sarawak pada 4 Februari 2017, empat calon hadir menghantar borang pencalonan masing-masing namun hanya tiga sahaja yang layak bertanding.

Parti yang menguasai DUN tersebut, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) meletakkan Jamilah Anu sebagai calon atas tiket Barisan Nasional (BN) manakala dua parti pembangkang tempatan Sarawak turut meletakkan calon masing-masing.

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS-Baru) meletakkan Rapelson Richard Hamit manakala Sarawak State Reform Party (STAR) meletakkan Johnny Bob Aput sebagai calon parti masing-masing.

Seorang calon Bebas, Asbor Abdullah turut menghantar borang pencalonan namun ditolak.

Walaupun BN menghadapi pertandingan dalam PRK kali ini, namun peluang BN tidaklah malap. Kehadiran STAR dan PBDS Baru dilihat tidak memberi saingan langsung buat BN berikutan kekuatan serta populariti mantan penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang juga Ketua Menteri Sarawak Kelima.

Malah tindakan STAR dan PBDS Baru meletakkan calon dilihat sekadar untuk memperkenalkan serta memberi promosi percuma buat parti kecil tersebut. Dalam PRN-11 pada tahun 2016, STAR dan PBDS Baru gagal meraih sokongan rakyat Sarawak malah hampir semua calon mereka hilang deposit di setiap kerusi yang ditandingi.

Justeru apabila parti-parti pembangkang besar iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Democratic Action Party (DAP) mengumumkan untuk tidak bertanding, peluang ini digunakan oleh parti-parti tempatan untuk memperkenalkan diri dengan lebih mudah.

Sudah pasti media dari seluruh negara akan memberi fokus untuk mendapatkan berita mengenai PRK ini. Media juga sudah pasti akan mencari calon-calon lawan BN bagi mendapatkan perkembangan kempen serta manifesto yang akan dibentangkan oleh mereka.

Kekalahan yang bakal diterima oleh calon-calon lawan BN sememangnya diketahui umum. STAR dan PBDS Baru itu sendiri tahu akan hakikat tersebut. Apatah lagi berlawan di kerusi tokoh Sarawak yang cukup disegani kawan dan lawan.

Dalam PRN-11 pada 2016, Allahyarham Adenan Satem berjaya 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

Jika PKR yang merupakan parti nasional serta mempunyai dana yang besar turut tewas di tangan BN, apatah lagi dua parti kecil yang tidak mempunyai kekuatan dana dan jentera.

Namun dalam konsep demokrasi, kehadiran STAR dan PBDS Baru perlu diraikan. Walaupun ujian besar menanti buat dua parti ini, namun peluang PRK ini seharusnya digunakan mereka untuk menyebarkan matlamat perjuangan mereka. Inilah peluang untuk memberitahu rakyat Sarawak bahawa parti pembangkan tempatan Sarawak turut memperjuangkan hak-hak mereka seperti mana parti-parti pembangkang tempatan Sabah.

Untuk rekod, STAR ditubuhkan pada 9 Oktober 1996  oleh bekas menteri kabinet BN Sarawak, mendiang Dr. Patau Rubis. Parti ini turut melebarkan sayap ke Sabah pada tahun 2012 dan menerima sokongan dari segelintir rakyat Sabah. Pada hujung tahun 2016, STAR Sabah mengumumkan pemisahan dari STAR manakala STAR Sarawak cuba menjenamakan semula parti mereka menjadi Sarawak Reform Pary (Reform) namun ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

PBDS Baru pula diluluskan pendaftaran pada tahun 2013. PBDS Baru dikatakan meneruskan perjuangan PBDS asal yang dibubarkan dahulu. Namun kehadiran PBDS Baru dilihat tidak memberi impak besar kepada politik Sarawak.

Pengundian PRK ini akan berlangsung pada 18 Februari 2017. - WARTAKOPI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda