Terkini!

Parti Cinta Sabah (PCS) Keluar Gabungan Sabah

Parti Cinta Sabah (PCS) mengumumkan menarik diri daripada Gabungan Sabah (Gabungan) atau United Sabah Alliance (USA), iaitu pakatan parti pembangkang tempatan Sabah bagi berdepan pilihan raya akan datang.

Menurut Presidennya, Datuk Wilfred Bumburing, keputusan dibuat Majlis Tertinggi parti berkenaan selepas mendapati parti yang bergabung dalam USA tidak bersatu melakukan perubahan dengan sebahagiannya hanya mahu menjalin kerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“PCS memutuskan kami tidak dapat mencapai kerjasama yang dimaksudkan dengan parti lain kerana tiada perpaduan dalam gabungan ini. Selepas dibincangkan, kami membuat keputusan bahawa langkah terbaik bagi PCS, ahli parti dan rakyat Sabah yang mahu melihat perubahan ialah PCS berdiri sendiri dan dengan itu keluar dari USA,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, Sabah.

Bumburing dan barisan Majlis Tertinggi PCS dalam satu sidang media.
Tindakan PCS ini menyebabkan USA hanya dianggotai oleh 4 buah parti sahaja iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) pimpinan Dr. Jeffery Kitingan, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) pimpinan Datuk Lajim Ukin, Sabah Progressive Party (SAPP) yang diketuai Datuk Yong Teck Lee dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) pimpinan Datu Mohd Arshad Abdul Mualap.

PCS sebelum ini berharap sebuah gabungan parti pembangkang yang hebat dapat dibentuk di negeri ini yang turut disertai Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan Sabah (Harapan) dan parti lain dalam USA.

Katanya, merumitkan lagi keadaan apabila ada pemimpin pembangkang dari luar USA tidak mahu berbincang dengan pemimpin parti dalam USA dan begitu juga sebaliknya.

“Satu-satunya cara untuk menjatuhkan BN di peringkat negeri dan nasional ialah dengan mewujudkan sebuah pakatan pembangkang yang bersatu,” katanya.- BH Online

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda