Terkini!

PRU14: Pembangkang Perlu Lampu Ajaib

Senario politik Malaysia sentiasa bergegar terutama selepas tahun 2015. Krisis dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS) berakhir dengan munculnya Parti Amanah Negara pada tahun 2016, diikuti dengan siri-siri kemunculan parti-parti baru yang lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Warisan Sabah (WARISAN), serta Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT), senario politik Malaysia sentiasa dilihat penuh warna-warni.

Politik pembangkang dilihat terlalu banyak kejutan jika dibandingkan dengan politik di pihak Barisan Nasional (BN). Langkah PAS yang tidak berada dalam Pakatan Harapan (HARAPAN), sebuah pakatan politik nasional yang terbesar,serta keputusan PAS memutuskan hubungan politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), menyebabkan suasana politik menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) sukar diramal.

Suara tidak puas hati terhadap kepimpinan BN tidak dinafikan di beberapa kawasan. Namun ia belum cukup untuk menyatakan BN sudah terancam. Kelemahan BN turut diikuti oleh kelemahan pembangkang.

 Di peringkat Sarawak, BN sudah pasti akan menang. Suara-suara pembangkang di Sarawak seperti sepi selepas kerajaan Sarawak mengalami peralihan kuasa daripada Tun Pehin Seri Taib Mahmud kepada Allahyarham Adenan Satem, seterusnya kepada Dato Abang Johari Tun Openg. Walaupun di Sarawak, PAS kurang memberi sengatan namun strategi BN Sarawak tidak dapat dinafikan mampu menundukkan HARAPAN, serta parti-parti pembangkang tempatan Sarawak seperti State Reform Party (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, pengaruh BN memang berkurang di beberapa negeri seperti Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang. Kewujudan PPBM antara faktor utama berkurangnya pengaruh BN di kawasan-kawasan Melayu. Namun tiada kesepakatan bersama antara HARAPAN,yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan PPBM, untuk bersama PAS menyebabkan faktor sokongan Melayu kepada pembangkang, seperti tiada kesan buat BN.

PAS kini bersama Gagasan Sejahtera
Pecahan undi antara HARAPAN, PAS dan BN sememangnya memberi kesan kepada BN. Walaupun PAS menyatakan mereka mempunyai pakatan politik Gagasan Sejahtera (GAGASAN) bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA), namun jenama GAGASAN nyata tidak dikenali. Para pengundi tidak kenal siapa IKATAN dan BERJASA. Malah dua parti itu seolah tiada jentera akar umbi. Belum lagi ditambah kemelut kepimpinan BERJASA yang tidak jelas siapa ketuanya.

Pakatan pembangkang Sabah
Di peringkat Sabah, suara perubahan memang kedengaran di beberapa kawasan. Namun sekali lagi, suara itu akan hilang dek kerana perpecahan pembangkang. Kemunculan pakatan politik Gagasan Sabah / United Sabah Alliance (USA) yang dianggotai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Sabah Progressive Party (SAPP) dan HARAPAN RAKYAT tidak cukup untuk memberi pukulan maut buat BN Sabah.

Belum apa-apa lagi, Parti Cinta Sabah (PCS) sudah bercerai dengan USA. PCS sudah umum untuk bertanding sendiri. Belum lagi tindakan WARISAN yang tidak sertai mana-mana pakatan politik.

Senario Sabah akan menjadi pertembuhngan HARAPAN-USA-WARISAN-PCS-PAS menentang BN. Dan pemenangnya sudah pasti BN! BN akan tumbang paling tidak dibeberapa buah negeri dan wilayah atau kawasan dengan syarat ia memerlukan kesanggupan besar semua parti pembangkang di seluruh Malaysia. Ego perlu dibuang, matlamat perlu diselarikan. Perbezaan perlu dirai.

 Jika PAKATAN HARAPAN (PKR,DAP,AMANAH,PPBM), GAGASAN SEJAHTERA (PAS, IKATAN,BERJASA), GABUNGAN SABAH (SAPP,STAR,PPRS, HARAPAN RAKYAT) serta WARISAN dan PCS,dan tidak dilupakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) boleh disatukan dalam satu pakatan politik,banyak masalah boleh diselesaikan. Malah hasrat pembangkang untuk bertanding satu lambang selesai dengan mudah.

Namun bila pembangkang mampu disatukan di bawah satu logo? Semuanya memerlukan lampu ajaib! -WARTAKOPI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda