Terkini!

HARAPAN Tekad Jadi Entiti Yang Sah

Logo rasmi Pakatan Harapan (HARAPAN)

Pakatan Harapan (HARAPAN) giat membuktikan entiti tersebut sebagai entiti politik yang sah di sisi perundangan. Langkah memperkenalkan logo serta struktur rasmi gabungan tersebut pada 14 Julai 2017 diteruskan lagi dengan usaha mendaftarkan HARAPAN sebagai gabungan politik yang sah.

Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Tian Chua, draf terakhir perlembagaan rasmi HARAPAN akan dihantar kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa terdekat bagi mendaftarkan HARAPAN sebagai entiti yang sah.

Sebelum ini, barisan kepimpinan, logo dan perlembagaan HARAPAN telah menjadi tiga halangan utama dalam usaha gabungan itu untuk mendaftar dan bertanding di bawah satu simbol dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Gabungan itu mengumumkan barisan kepimpinan dan logonya pada 14 Julai dan ini bermaka tinggal satu halangan untuk diselesaikan sebelum ia mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada ROS.
Barisan kepimpinan HARAPAN
HARAPAN ditubuhkan pada 22 September 2015 selepas berlaku perpecahan ketara dalam kalangan parti-parti pembangkang utama negara. Kemelut dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang teguh dengan prinsipnya menyebabkan wujudnya parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kemelut ini menyebabkan gabungan Pakatan Rakyat diisytiharkan terkubur oleh Democratic Action Party (DAP). KEADILAN, AMANAH dan DAP akhirnya menubuhkan HARAPAN.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai HARAPAN pada 14 Mac 2017. Penyertaan PPBM turut disertai dengan beberapa cadangan antaranya ialah bertanding menggunakan satu logo, mendaftarkan HARAPAN sebagai entiti yang sah serta mewujudkan barisan kepimpinan HARAPAN.


0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda