Terkini!

Solehah: Lagenda Terawal Era Nasyid Kontemporari

[RETRO] Bukan mudah untuk kita melihat penglibatan kaum Hawa (Perempuan) dalam genre nasyid. Paling kurang pun, kebanyakan artis-artis nasyid kaum Hawa muncul dengan sebuah album, kemudian menyepi tanpa sebarang album.

Ketika era 1970-1980an dahulu, kaum Hawa telah membuktikan mereka telah memonopoli album-album nasyid di Malaysia. Nama-nama seperti kumpulan al-Mizan, Al Jawaher dan Hidayah bukan asing dalam genre nasyid ketika itu.

Setelah kemunculan gerakan al-Arqam pada era 1980-1990an, genre nasyid dimonopoli kaum lelaki.

Ketika Raihan mencetuskan fenomena nasyid pada tahun 1997, satu-satunya kumpulan nasyid wanita yang muncul ialah Solehah.

Solehah pada awal kemunculan mereka. Sumber: Utusan Media
Solehah ditubuhkan pada bulan Ogos 1997. Pada awal kemunculan, usia ahli-ahli kumpulan ini antara 13 hingga 14 tahun. Usia remaja ketika itu menjadikan penampilan Solehah diterima oleh masyarakat terutama golongan remaja.

Pada awal penubuhan, Solehah terdiri daripada 4 orang ahli iaitu Bienda, Najiha, Maisara dan Fiza. Album sulung mereka ialah 25 Nabi terbitan dan edaran PolyGram Records.Album ini telah mencatatkan jualan lebih 20,000 unit. Lagu yang terkenal dalam album ini ialah Islam Agamaku.

Solehah tampil dengan album kedua pada tahun 1998 iaitu Nikmat Allah. Dalam album kedua ini,Solehah dianggotai Bienda, Fiza, Wan Ilani dan Shereen. Lagu popular dalam album kedua mereka ialah Iman, Nikmat Allah dan Bersucilah.

Solehah 1999-2001
Seiring dengan muzik moden, pada tahun 1999 menerusi naungan Indie Works, Solehah tampil dengan album Alaf Baru 2000. Ketika itu, Solehah dianggotai Bienda, Wan, Farah dan Shida. Album kali ini memaparkan imej Solehah sebagai kumpulan nasyid remaja ketika itu.

Album pertama hingga keempat.
Barisan anggota Solehah ini terus kekal pada tahun 2001 apabila mereka terus tampil dengan album koleksi mereka, Koleksi Terbaik Solehah. Album ini mengandungi lagu-lagu daripada album 25 Nabi, Nikmat Allah dan Alaf Baru 2000. Album ini turut memuatkan beberapa buah lagu baru iaitu Sabarlah Kasih, Rukun Islam Dan Rukun Iman dan Sembahyang.

Jodoh kumpulan Solehah tidak lama. Semua ahli Solehah akhirnya membawa haluan baru. Tiga anggotanya iaitu Farah, Wan dan Shida keluar Solehah dan menubuhkan kumpulan Wirdani manakala Bienda tampil dengan album solo.

NAFAS BARU YANG TIDAK LAMA

Solehah bermula tahun 2005
Pada tahun 2005, Solehah cuba diberi nafas baru. Kali ini Solehah dianggotai 4 ahli baru iaitu Farah, Masz, Akmar dan Shima di bawah naungan Satu Karya Music. Mereka tampil dengan album kelima iaitu Inti. Konsep album kali ini ialah world music.

Album kelima Solehah
Namun setelah berundurnya Bienda dari Solehah, kumpulan ini dilihat sukar untuk terus bernafas. Album Inti hakikatnya adalah album terbaik buat Solehah berbanding album-album lain. Namun kurangnya publisiti media menyebabkan kehadiran album ini tidak disedari.

Nama Solehah akhirnya hilang begitu sahaja. Sumbangan Solehah dalam industri nasyid hakikatnya tak boleh dinafikan. Mereka hadir ketika nasyid kontemporari mula berkembang pada awal 1997, sebaris dengan Raihan. Mereka tetap menjadi antara lagenda nasyid di Malaysia. - WARTAKOPI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda