Terkini

Post Top Ad

Your Ad Spot

06 September 2019

Tribute to Azhan Atan: Bintang Nasyid dan Kemanusiaan


Pada tahun 2008, stesen televisyen (TV) TV9 merupakan stesen televisyen pertama yang berani mengetengahkan irama nasyid dalam rancangan realiti TV apabila menganjurkan Akademi Nasyid (AN).

Rancangan realiti TV tersebut hadir ketika kehangatan Akademi Fantasia (AF) melanda tanah air. Malah, Akademi Nasyid merupakan realiti tv kedua berbentuk Islam selepas kejayaan Akademi Al-Quran (AQ) yang juga merupakan terbitan TV9.

Johan Akademi Nasyid 2008 ialah Allahyarham Azhan Atan. Nama beliau ketika itu bersinar dek kelunakan suara yang ada pada dirinya walaupun beliau merupakan insan kelebihan upaya (OKU).

Kekuatan vokalnya menyebabkan Allahyarham berjaya muncul sebagai Johan manakala Aiman di tempat kedua dan kumpulan Division tempat ketiga. Selepas berakhirnya Akademi Nasyid Musim Pertama, rancangan ini berkubur tanpa nisan. Stesen TV9 pun ibarat hidup segan mati tak mahu dalam menyajikan rancangan-rancangan terkini.

SEMPAT TERBITKAN DUA BUAH ALBUM

Album yang sempat dirakam Allahyarham.

Bakat yang ada dalam diri Allahyarham menarik perhatian Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB). HRSB memberi peluang kepada Allahyarham untuk menerbitkan album pertamanya, Ku Milik Mu pada tahun 2009.

Album tersebut mengandungi sepuluh buah lagu. Antara lagu popular yang terdapat dalam album ini ialah Ku Milikmu, Disebalik Bayangmu, Sinar Pasti Ada, Kemanisan Dunia dan Kerikil Jalanan.

Selepas kelahiran album sulung ini, aktiviti Azhan Atan seolah kurang mendapat liputan media massa. Sedangkan Allahyarham amat aktif terutama dalam aktiviti kemasyarakatan.

Salah satu gambar Allahyarham semasa berkhidmat sebagai Unit AMAL

Allahyarham aktif sebagai sukarelawan Majlis Perudingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau juga merupakan ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Selain terlibat secara solo, Allahyarham pernah terlibat sebagai artis jemputan dalam album pertama kumpulan nasyid Ar-Rasy berjudul Dikir Hijrah 1.

Pada tahun 2011, syarikat Rebana Emas Entertainment menerbitkan album kedua Azhan Atan berjudul Fikrah. Antara lagu yang terdapat dalam album ini ialah Ya Rasulullah, Ya Badrotim, Pengorbanan Ayah Ibu, Marhaban Feat. Mu'adz Anak Dan Kehidupan, Doa Dalam Irama serta Ramadhan.

Namun kehadiran album kedua ini sedikit tenggelam. Malah, Allahyarham juga turut sibuk dengan aktiviti kemanusiaan yang menyebabkan aktiviti seni kurang diberi tumpuan oleh beliau.

Minat Allahyarham dalam bidang nyanyian menyebabkan beliau sering menghiburkan masyarakat di kawasan bencana semasa beliau berkhidmat.

Pada tahun 2013, tahap kesihatan Azhan Atan kian berkurangan. Masalah penglihatan yang beliau hadapi semakin serius dan memerlukan pembedahan.

Pada tahun 2017, kelunakan suara Azhan Atan hilang dari dunia ini. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 10 April 2017 akibat strok serta komplikasi kesihatan yang lain. Beliau meninggal dunia semasa berusia 44 tahun.

Menurut Metro Ahad pada 2 Ogos 2015, Allahyarham sempat menyertai lebih 100 misi di dalam dan luar negara sejak tahun 1994 semata-mata menunaikan tanggungjawabnya sebagai Muslim.

Allahyarham dikebumikan di Kampung Sepakat Jaya, Pekan Nenas, Pontian, Johor.

1 comment:

Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Post Top Ad



Your Ad Spot

Pages