Terkini!

Kontroversi ESQ Leadership

Syarikat ESQ Leadership Center Sdn Bhd terpaksa berhadapan dengan tekanan apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program motivasi syarikat tersebut atas alasan bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Tindakan ini diumumkan melalui fatwa Mufti Wilayah Persekutuan terhadap program yang disertai oleh hampir 65,000 orang termasuk golongan agama,profesional mahupun kakitangan awam.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh menandatangani warta yang mengharamkan program motivasi ESQ mengikut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan 1953), selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Mengikut warta yang dikeluarkan, ia diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahami dan mentafsir nas agama dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama.

Sementara itu, mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mengingatkan umat Islam di negara ini tidak terlalu melulu mengharamkan sesuatu tanpa mencari alternatif dan jalan penyelesaiannya terlebih dahulu.

"Jangan 'Talibanisasikan' (mengikut pendekatan Taliban) negara ini.

"Berhati-hatilah dengan pengharaman sesuatu perkara dan hak-hak rakyat," katanya.

Manakala Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula menyatakan bahawa program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan.

Menurutnya muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Muzakarah (Jawatankuasa) Fatwa Kebangsaan oleh mufti-mufti seluruh Malaysia telah bersidang sebanyak tiga kali bagi membincang secara terperinci program ESQ," katanya.

Dalam masa yang sama, Fathul Bari Mat Jahaya, ahli UMNO yang baru sahaja menyertai parti itu menyatakan, selain meneliti kandungan ESQ, pihak berkuasa perlu melihat pada method penyampaiannya.

"Kedua-dua (kandungan dan method penyampaiannya) kena benar. Sekiranya ESQ bertepatan, kami dokong. Sekiranya salah satu dari menyimpang kami bantah," katanya.

"Hendak mengatakan ESQ benar atau salah secara pasti, wallahu'alam. Tetapi yang diwartakan itu (berdasarkan) kandungannya, bagaimana dengan method?"(sumber Malaysiakini).

ESQ Teruskan Program

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ESQ Leadership, mereka akan meneruskan program syarikat berkenaan seperti biasa sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa ke atas program motivasi tersebut. Pengurus Besar ESQ, Marhani Yusof berkata sehingga kini, lima mufti telah memberikan sokongan bahawa program motivasi tersebut iaitu Mufti Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan. Beliau berkata demikian, pada sidang media di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Pengerusi Panel Syariah ESQ, Datuk Mustafa Abdul Rahman dan Penasihat Agama Istana Johor, Datuk Noh Gadot.

Dalam masa yang sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengkaji kembali program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Jakim akan meneliti dan mendalami modul ESQ terlebih dahulu untuk melihat dengan lebih jelas apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu.
"Kita akan semak semula modul itu kerana mereka (ESQ) ini peniaga, jadi kita tidak mahu menyekat rezeki orang, tetapi kita akan semak, jika benar ada penyelewengan yang berlaku, kita terpaksa ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerlun.


0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda