TERKINI!

Saff One Keluar Dari Bertapa


Bertahan dalam sesebuah kumpulan dan berada dalam industri muzik Malaysia yang tidak menentu bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi bagi sesebuah kumpulan yang memperjuangan genre nasyid.

Namun bagi Saff One, perjuangan memartabatkan genre nasyid di Malaysia ibarat menjadi antara fokus dalam kerjaya mereka.

Kali terakhir mereka menerbitkan album adalah pada tahun 2005 melalui album kompilasi Sandaran Cinta terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Setelah lebih dari 10 tahun tidak lahirkan album, Saff One akhirnya tampil semula dengan album terbaru mereka, Zikir, Doa dan Nasyid. Album ini merupakan kemunculan semula secara total dari Saff One dalam menyemarakkan lagi genre nasyid.

Sebelum ini, Saff One sudah tampil menerusi dua buah single iaitu Cita Perjuangan dan Bersamamu Palestin. Kedua-dua lagu ini terkandung dalam album Satu Perjuangan dan #MYINTIFADA. Album-album tersebut merupakan terbitan Risalah Harmoni Sdn Bhd.

ZIKIR, DOA DAN NASYID TIDAK MENGECEWAKAN

Kulit album Saff One
Menyentuh mengenai album Zikir Doa dan Nasyid,ia memuatkan himpunan zikir yang diselang-selikan dengan doa dan nyanyian nasyid.

Boleh dikatakan album ini dihasilkan dengan membuat persediaan dan penelitian yang rapi. Malah rentak muzik yang dibawa sememangnya alunan nasyid yang sebenar.

Dari aspek kualiti rakaman, Saff One telah berjaya menjadikan album terbaru mereka ini bukan sekadar album tangkap muat. Walaupun tidak bernaung di bawah label yang besar, tapi soal kualiti memang dititik beratkan.

Album ini mengandungi 13 trek iaitu Al-Quran 1, Doa Taubat, Syukur Dalam Redha (feat Ust Nik Azizan), Astaghfirullaha Innallah Kana Tauwaba, Hasbunallah Wa Ni'mal Wakil, Doa Keluarga Bahagia, Al-Quran 2, Subhanallah, Glory Be to Allah, Astaghfirullah (feat Ust Nik Azizan, Subhanallah Wabihamdi, dan Al-Quran 3.

Trek yang menjadi taruhan utama dalam album ini ialah Syukur Dalam Redha. Menerusi lagu ini, Saff One telah berduet bersama Ustaz Nik Azizan, seorang pendakwah terkenal. Lagu ini nyata menyentuh kalbu jika dihayati dengan teliti.Lagu ini hasil karya dari komposer Irwan Hisham.

Secara keseluruhannya, album ini sedikit pun mengubah identiti asal Saff One sejak mereka berada dalam dunia muzik Malaysia. Untuk pengetahuan semua, sebelum bergelar Saff One, kumpulan ini pernah dikenali menerusi nama Nahwan Nur dan Mustika.

Bersama Nahwan Nur, mereka sempat menerbitkan 5 buah album iaitu  Amanat, Monolog, Persada Nurani, Di Kala Hati Bercahaya dan Terlerai Kabus di Terbit Fajar. Manakala ketika bergelar Mustika, mereka sempat merakamkan sebuah album berjudul Keagungan terbitan Pelangi Zaman.

Album Zikir Doa dan Nasyid ini merupakan terbitan sulung dari Saff One Production (Management) manakala Inteam Records telah bertindak sebagai pengedar. Album ini boleh didapati secara terus melalui Facebook Saff One atau melalui Inteam Mobile atau di kedai-kedai terpilih.

Album ini turut dijual melalui saluran digital itune, Deezer dan Spotify. - WARTAKOPI. [Sumber gambar: Facebook Saff One].

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda