Terkini!

[REPOST] Amalan Sunat Hari Raya Aidilfitri



Dalam menyambut hari raya  'Idul Fitri,kita mestilah menyambutnya dengan gembira dan penuh semangat sebagai tanda kemenangan selepas berpuasa di bulan Ramadhan. Malah Rasulullah sendiri menyeru seluruh umat Islam termasuk wanita untuk keluar meraikan hari raya.

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya, maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam menyambut hari raya 'Idil Fitri, pelbagai amalan sunat boleh dilaksanakan bermula pada malam 1 Syawal. Antara amalan sunat yang boleh dilakukan pada hari raya 'Idil Fitri ialah:

Menghidupkan Malam Raya

“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat amalan. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).(ehsan: blog Tazkirah)

Bertakbir Pada Hari Raya

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir. "(Riwayat Tabrani)

Dari Anas r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Hiasilah kedua-dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis."(Riwayat Abu Nu'aim)

Takbir raya bermula pada malam akhir Ramadhan iaitu sebaik sahaja masuk waktu Maghrib kerana kalendar Islam dikira pada waktu Maghrib.

Makan Sebelum Pergi Menunaikan Solat 'idil Fitri.

Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi saw keluar untuk solat 'idil fitri selepas makan terlebih dahulu dan tidak makan pada 'ldil adha sehingga beliau kembali dari solat hari raya. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

Mandi Sunat Sebelum Solat Hari Raya

Sunat mandi sebelum mengerjakan sembahyang hari raya sebagaimana disunatkan mandi sebelum sembahyang Jumaat. Ini kerana hari tersebut berkumpul ramai orang untuk mendirikan sembahyang.

Turut disunatkan untuk berharum-haruman, menghilangkan bulu-buluan, memotong kuku dan menghilangkan bau-bauan pada badan dan pakaian. Dalam hal memotong kuku dan menghilangkan bulu-buluan ini tidak disunatkan bagi mereka yang hendak melakukan ibadat korban melainkan setelah menyembelih binatang korbannya.

Lafaz niat mandi sunat 'idil Fitri ialah:

NAWAITUL GHUSLA LI I’DIL FITRI / I’DIL ADHA /SUNNATALLILAHI TAA’LA
“Sahaja aku mandi sunat hari raya fitrah/ hari raya adha (korban) kerana Allah S.W.T. Taa’la”.

Sunat Memakai Pakaian Cantik

Umat Islam disunatkan memakai pakaian yang terbaik.Pakaian yang terbaik tidak semestinya pakaian baru.Afdhal memakai pakaian berwarna putih. Jika seseorang itu terdapat dua pakaian yang sama terbaik dan eloknya, maka yang putihlah diutamakan. Jika pakaian yang terbaik itu bukan berwarna putih, maka pakaian tersebut lebih afdhal daripada pakaian yang putih. Sunat juga memakai serban.

Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya.

Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi saw apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di hari raya mengikuti satu jalan kemudian balik mengikuti jalan yang lain.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Solat Hari Raya 'Idul Fitri

Menunaikan solat sunat 'Idul Fitri secara berjemaah. Lafaz niat:


Sahaja aku solat sunat 'idul fitri dua rakaat,mengikut imam kerana Allah Taala.

Sambutlah Syawal dengan syariat Islam. Dalam gembira,batas pergaulan wajib dijaga agar segala amalan di bulan Ramadhan dipraktikkan di bulan-bulan yang lain.

SALAM 'IDUL FITRI DARI STUDIOKINI MEDIA
MAAF ZAHIR & BATIN

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda