Terkini!

Sifarkan Khurafat Safar!

Bila datang bulan Safar, kita tak terlepas dari membicarakan tentang sejarah & kepercayaan karut masyarakat Islam, khususnya kaum Melayu, terhadap bulan ini. Walaupun terlalu banyak penjelasan diberi, tapi tak dinafikan masih ada yang percaya bulan Safar adalah bulan yang tidak baik.

Ada yang menganggap Safar adalah bulan malang, bulan yang sial, dan tidak baik. Kepercayaan karut ini bukan saja terjadi dalam masyarakat Melayu, tetapi turut berlaku dalam masyarakat Arab Jahiliah lagi.

PENGERTIAN SAFAR

Bulan Safar merupakan bulan kedua dalam kalendar Hijrah bagi umat Islam. Safar dari segi bahasa bermaksud kosong dan dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti bulan di mana orang-orang Arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang setelah bebas dari bulan-bulan haram yang diharamkan berperang.

Setelah kedatangan Islam, Rasullullah mengekalkan nama bulan ini dengan nama bulan Safar sehinggalah ke hari ini. Berdasarkan sejarah, terdapat 2 peristiwa besar berlaku pada bulan ini iaitu:

1.Persidangan Darul-Nadwah 
Persidangan ini dianjurkan oleh pihak Musyrikin Jahiliah dari pelbagai kabilah di Mekah. Persidangan yang dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad, dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah SAW.

Keputusan dari persidangan ini ialah Rasulullah SAW dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah SAW. Tindakan ini akan menyebabkan keluarga Rasullullah SAW dari kabilah Bani Abdul Manaf tidak akan mampu untuk membalas dendam terhadap semua kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu.

Rancangan Musyrikin Mekah gagal apabila Allah memerintahkan Rasullullah saw keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada waktu malam di akhir bulan Safar dan pendapat yang lebih masyhur mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada bulan Rabi'ul Awwal setelah 13 tahun berdakwah di Mekah.

2.Rasullullah Mula Sakit 
Pada akhir bulan ini sekembalinya Rasullullah dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Rasullullah saw), Baginda mula ditimpa sakit. Baginda wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. Rasullullah mula merasai sakit yang berat sewaktu Baginda di rumah isterinya Saidatina Maimunah r.a. Baginda telah memanggil semua isteri Baginda untuk meminta izin agar Baginda dibenarkan tinggal di rumah Saidatina Aisyah r.a dan wafat di rumah Saidatina Aisyah r.a.

Selain itu, terdapat juga beberapa siri peperangan berlaku dalam bulan Safar seperti Peperangan Al-Abwa (tahun kedua Hijrah), Peperangan Zi-Amin (tahun ketiga Hijrah) dan Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.

KEPERCAYAAN ARAB JAHILIAH TENTANG SAFAR

Amalan khurafat dalam bulan Safar telah bermula sejak zaman Arab jahiliyah. Mereka menganggap bulan ini adalah bulan sial dan bala. Kepercayaan khurafat ini telah menyebabkan berlakunya masalah tahyul dan khurafat yang dilakukan oleh mereka dengan harapan kononnya dapat menangkis bala dan sial dalam bulan ini. Malah ada antara amal tahyul mereka ini sampai ke sesetengah golongan masyarakat Melayu kita.


Berikutan kepercayaan mereka yang menganggap Safar sebagai bulan bala,masyarakat Arab tidak akan melakukan upacara perkahwinan pada bulan Safar dan begitu juga pada bulan Syawal. Bagi mereka, sesuatu akan menimpa rumah tangga pengantin sekiranya berkahwin pada bulan ini.

Dan kepercayaan inilah yang masih wujud dalam sesetengah masyarakat Melayu. Mereka khuatir jika dilakukan jua pada bulan Safar, pasangan pengantin tersebut akan sukar untuk mendapat zuriat dan perkahwinan itu tidak akan kekal lama.

Kepercayaan ini dikenali sebagai tathayyur (ramalan buruk terhadap sesuatu) yang membawa maksud menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa terhadap kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah S.W.T. tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.

Kepercayaan tathayyur ini boleh membawa kita kepada syirik. Antara hadis yang menyatakannya ialah:


KHURAFAT SAFAR: MASYARAKAT MELAYU

Bagi masyarakat Melayu, tak dinafikan masih wujud amalan khurafat terhadap bulan Safar. Antaranya ialah:

1. Pesta Mandi Safar
sumber gambar: Abu Nuha Corner
Masyarakat Melayu dulu terutamanya yang tinggal berhampiran sungai atau pantai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan bersuka ria dengan kepercayaan perbuatan berkenaan menghapuskan dosa dan menolak bala. Upacara ini selalunya dilalukan pada hari Rabu minggu terakhir bulan Safar. Mereka berarak menuju ke destinasi terpilih diiringi dengan alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Amalan mandi Safar boleh dianggap sebagai warisan budaya Hindu dalam masyarakat Melayu.

Jampi tertentu akan dibaca atau mereka akan menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya.

Menurut Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry,orang-orang awam biasa menulis ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas, misalnya ayat:

 "Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam! " (al-Saaffaat (37) : 79) pada hari Rabu terakhir bulan Safar, kemudian meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya dan untuk mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa hal ini akan menghilangkan nasib buruk. Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang. – Rujuk al-Sunnan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqahbi al-Adzkaar wa al-Shalawaat karya Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah-Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 149

2.Solat Sunat Safar
Solat sunat Safar empat rakaat kononnya disunatkan pada hari Rabu terakhir bulan Safar. Waktu mengerjakannya adalah setelah terbit matahari dan sebelum masukya waktu Zuhur. Pada setiap rakaat hendaklah dibaca surah al-Fatihah sekali, surah al-Kautsar tujuh belas kali, al-Ikhlas lima kali, Surah al-Falaq dan al-Naas sekali dengan dikerjakan dengan hanya satu tahiyat. Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa seperti berikut:

" Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan, saudaranya, ayah, ibu dan keturunnanya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad, keluarga dan seluruh sahabatnya."

Tiada dalil sahih menunjukkan solat sunat serta bacaan doa tersebut disunatkan. Tambahan pula dalam doa tersebut terdapat lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak dengan menjadikan Hassan (r.a), Hussain (r.a), Ali (r.a), Fathimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa. Allah S.W.T.

3. Majlis Perkahwinan
Masih terdapat masyarakat Islam terutama orang-orang tua tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dan keramaian dalam bulan Safar. Bagi mereka,kedua-dua pengantin tidak bahagia dan akan susah atau tidak mendapat zuriat dan mempercayai jodoh pasangan pengantin tersebut tidak akan berkekalan jika dilakukan pada bulan Safar.

4. Nasib Malang
Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Bagi masyarakat Bajau di Sabah pula, mereka mempercayai bayi yang lahir pada bulan Safar tidak bernasib baik. Lantaran itu, untuk mengelak sebarang kecelakaan ke atas bayi tersebut, pada masa menyambut Maulud Nabi, bayi itu akan dibawa ke masjid untuk ditimbang. Simboliknya ialah untuk meminta pertimbangan daripada Allah agar tidak memburukkan nasib bayi tersebut.

5. Korban
Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjurkan untuk mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.

Itu hanyalah sedikit sebanyak amalan khurafat bulan Safar yang telah dan sedang berlaku. Jangan sesekali membuat perkara syirik terhadap Allah. Firman Allah:



“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman 31: 13)

Safar bukan bulan kesialan. Tiada dalil langsung menyatakan bahawa Safar sebagai bulan sial. Rasulullah SAW bersabda:

Bagi mereka yang telah terlibat dengan kepercayaan tathayyur, berdoalah kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa lalu.

Disusun oleh: Studiokini Media
Rujukan:
1. Info Safar 2.Amalan Bidaah Bulan Safar 3. Kepercayaan Khurafat Safar
4. Risalah Dakwah: Bulan Safar membawa sial?

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda