TERKINI!

Imam Muda Asyraf Terbit Album Untuk Peminat

Kewujudan rancangan Imam Muda (IM) terbitan Astro Oasis bukan sesuatu yang merugikan kepada dunia dakwah di Malaysia. Rancangan tersebut nyata berjaya melahirkan ramai golongan pendakwah millenium yang bukan saja pandai berceramah, namun turut menggunakan medium hiburan sebagai satu cabang dakwah buat masyarakat.

Jika IM Nazrul semakin dikenali dalam dunia lakonan melalui drama Warkah Cinta serta Cinta dan Wahyu, kini tiba giliran IM Asyraf untuk mencuba nasib dalam bidang suara.

Tindakan menerbitkan album nasyid dibuat oleh IM Asyraf bukan kerana minat tapi atas permintaan peminat.

“Saya akui bahawa suara yang saya miliki tidak sehebat arwah Asri Ibrahim, apatah lagi Munif Ahmad daripada Kumpulan Hijjaz , memang saya bukan tandingan mereka. Apa yang saya mampu lakukan adalah untuk berkongsi isi kandungan aura positif yang dimuatkan di dalam album Rahmatan Lil’Alamin,” ujar Asyraf mengenai album sulungnya itu.

Katanya, setiap kali selepas berceramah atau memenuhi program motivasi diseluruh negara, pasti ada peminat yang bertanya bila nak buat album? Hampir 3 tahun mendengar soalan yang sama, saya berbincang dengan penerbit album ini saudara Hafiz Hamidun kerana saya tahu tentang kekurangan yang ada pada saya. Sebagai seorang yang lebih berpengalaman di dalam bidang nasyid, Hafiz banyak mencorak dan memberi tunjuk ajar sehingga terhasilnya album ini.

Album pertama IM Asyraf, Rahmatan Lil'Alamin ini merupakan satu produk terbaru dari Arteffects International yang menampilkan sembilan buah lagu termasuk zikir antaranya Rahmatan Lil’Alamin, Ghuraba, Ummi, Habibatan Kalimatan, Innalillah, Yahdi Man Yasha’, Munajat Thaif, Sohib Al-Ghuraba dan Rahmatan Lil’Alamin versi akustik. Proses rakaman album ini mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan. Lebih istimewa lagu Ummi yang pernah dipopularkan Haddad Alwi memang dirakam khusus buat isterinya Nurhusna Yusoff. Asyraf yang mendirikan rumahtangga pada tahun 2010 telah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Muhammad Aisy Raihan.

IM Asyraf Main Peranan Dalam Pemilihan Lagu

Pemilihan lagu untuk album ini merupakan pilihan yang dibuat oleh IM Asyraf. Kebebasan ini membolehkan dia menjiwai sendiri lagu yang disampaikannya. Susunan muzik pula mendapat sentuhan kreatif daripada komposer Hafiz Hamidun.

“Bercerita tentang konsep album ini saya perlu mencari sesuatu kelainan dan mudah untuk dibawa oleh Asyraf, melodi yang saya ketengahkan lebih mesra pendengar dan susunan muzik juga tidaklah terlalu berat," luah Hafiz Hamidun.
ketika majlis pelancaran album. sumber: FB Arteffects International
Album Rahmatan Lil'Alamin ini telah pun dilancarkan pada 18 Jun 2013 di Hotel Royale Bintang, eCurve, Mutiara Damansara. Album yang diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd dengan kerjasama Neo Record dan Warner Music (M) Sdn. Bhd selaku pengedar dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan. Untuk memenuhi permintaan pasaran, pihak Arteffects perlu menyediakan sebanyak 10 ribu unit cetakan pertama. Album Imam Muda Asyraf “Rahmatan Lil’Alamin” dijual pada harga RM21.90 dalam bentuk CD, Muat Turun Nada Dering dan Digital seperti iTunes dan Amazon. Album ini boleh didapati bermula 24hb Jun 2013 diseluruh outlet muzik dan toko – toko buku agama.

sumber: Facebook Arteffects International
susunan semula: Studiokini Media

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda