TERKINI!

Saya Tetap Qariah- Sharifah Khasif


Namanya mula terukir apabila menyertai program realiti TV Akademi al-Quran (AQ) musim ketiga dan memenangi tempat kedua. Malah beliau juga turut dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa pada tahun 2009. Kejayaan-kejayaan tersebut menyebabkan namanya terus terukir sebagai qariah di persada perdana.Insan yang dimaksudkan ialah Sharifah Khasif Fadzilah Binti Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya.

Karier beliau terus bersinar apabila pelbagai ruang rezeki masuk apabila ditawarkan untuk menjadi pengacara tv, program pertama yang dikendalikannya ialah Indahnya Kalam Suci. Sejurus selepas itu, rezekinya sebagai pengacara semakin melimpah apabila diberi kepercayaan mengendalikan program Akademi Quran, Kalamullah, Qari Junior, Tilawah Interaktif Al Quran dan Tadbir Ringgit. Kesemua program tersebut bercorak Islamik yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Bakat dan minat beliau dalam pengajian al-Quran semakin terserlah apabila beliau akhirnya mendapat ‘sanad’ iaitu pengiktirafan kefasihan bacaan Al Quran daripada Sheikh Mesir dan Yemen.

Ketika namanya melonjak naik dalam bidang qariah, Sharifah Khasif membuat satu kejutan apabila beliau muncul dalam bidang seni suara dengan terbitnya album sulung, Al-Husna. Kemunculan album tersebut menambahkan lagi koleksi penerbitan album oleh selebriti-selebriti realiti TV bercorak Islamik selepas terbitnya album Imam Muda Asyraf.

Menurut Sharifah Khasif, beliau sememangnya meminati bidang nyanyian sejak kecil. Namun minat tersebut dididik oleh ayahnya untuk disalurkan melalui bacaan al-Quran.

"Saya memang meminati dunia nyanyian. Sejak kecil lagi saya sudah menyanyi. Cuma kelebihan itu ayah saya terapkan di dalam bacaan al-Quran.Bukan soal mahu menjadi penyanyi menyebabkan saya muncul dengan album ini. Bagi saya penghayatan melalui lagu ini sangat penting buat umat Islam di dalam mengenali keindahan Islam itu sendiri," ujar beliau di dalam Utusan Malaysia (9 Julai 2013).

Masih menganggap dirinya sebagai seorang qariah,pemegang ijazah kewangan daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini menaruh harapan yang tinggi terhadap album Al Husna kerana baginya ia amat bermakna dan tidak ternilai harganya. Sepanjang bergelar qariah tersohor negara, penghasilan album ini adalah menjadi impiannya sekian lama.

Mengenai album Al Husna, ia merupakan produk pertama yang diterbitkan melauli syarikatnya sendiri iaitu Sharifahkhasif Production Sdn Bhd. Album ini mengambil masa selama 4 bulan bagi proses rakaman di studio Harem, milik Yasin Sulaiman. Selain itu, Yasin turut memainkan peranan sebagai penerbit album tersebut.

 “Yasin memainkan peranannya sebagai komposer agar lagu – lagu yang terdapat didalam album ini mampu memenuhi citarasa pendengar.”

Terdapat enam buah lagu dimuatkan di dalam album "Al Husna" antaranya "Asmaul Husna", "Ya Imam Arrusli", "Law Kana Bainana", "Mawlay Ya Salli", "Tholama Asyku Gharomi" dan "Sollu Ala Khairil Anam.

Album ini diedarkan oleh Warner Music (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Arteffects International dengan harga RM29.90.

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda