TERKINI!

Langkah Aremean Telah Bermula

Menerbitkan album antara cita-cita yang ada buat mereka yang terlibat dalam dunia seni hiburan. Bagi kumpulan nasyid Aremean, langkah awal dalam memperkenalkan diri dalam dunia seni hiburan Islam bermula sejak zaman bangku sekolah lagi.

Ditubuhkan pada 2004, kumpulan ini memulakan langkah mereka dengan menyertai pertandingan nasyid peringkat sekolah, daerah dan juga negeri. Kemudian, mereka meneruskan langkah mereka dengan melakukan persembahan-persembahan di majlis-majlis rasmi serta kenduri kahwin dan lain-lain lagi.

Selepas yakin dengan kemampuan yang ada, Aremean membuat keputusan untuk merakamkan single pertama mereka, Duhai Isteri. Single ini merupakan salah sebuah lagu yang terkandung dalam album Himpunan Bakat Nasyid Edisi Pertama, sebuah projek album di bawah syarikat rakaman Jaringan Masry Enterprise (JME). Penerbitan single ini pada tahun 2012 membolehkan nama Aremean diperkenalkan dengan lebih jauh dalam dunia hiburan dakwah ini.

Langkah Aremean tidak terhenti disitu sahaja. Kumpulan nasyid yang terdiri daripada 3 orang anggota ini iaitu Hizami, Taufiq dan Hazim meneruskan perjuangan mereka untuk menerbitkan album sulung.

Sesuai dengan judul album sulung, Langkah Bermula, Aremean menjadikan album ini sebagai satu permulaan baru dalam usaha mereka aktif berdakwah melalui hiburan nasyid. Berpegang pada moto 'memupuk rasa cintakan Tuhan', kumpulan ini menganggap platform nasyid merupakan platform terbaik dalam menyampaikan mesej-mesej ketuhanan dan positif yang mampu membina sahsiah diri serta mendekatkan diri kepada Allah.

ALBUM LANGKAH BERMULA

Album Langkah Bermula diterbitkan dan diedarkan sendiri oleh mereka serta komposer Din (As-Salam) melalui Aremean Records serta mendapat kerjasama daripada Ilham Cipta Productions, syarikat milik Din (As-Salam), seorang penerbit dan komposer yang terkenal di utara Semenanjung Malaysia.

Album ini mengandungi 5 buah lagu yang dirakamkan di ICP Studio milik Din As-Salam. Konsep album ini ialah nasyid kontemporari.

1. Ku Pohon Keampunan : Lagu ini ditulis oleh Rizal dan lagu dicipta oleh Din As-Salam. Lagu ini lebih berkisarkan kepada keinsafan seorang hamba dalam mencari cinta Allah. Rentak lagu sedikit slow dan sesuai didengar tatkala seseorang itu berasa kosong dan sunyi.

2. Duhai Isteri : Lirik dan lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Qifual. Lagu ini ibarat satu penghargaan buat seorang isteri. Rentak lagu ini slow dan sesuai dihayati oleh seorang isteri sebagai satu apresiasi dari kaum Adam buat mereka. Mungkin boleh jadi sebuah lagu yang romantik.

3. Dunia Kini: Juga dicipta sepenuhnya oleh Qifual. Lagu lebih berkisarkan kepada gejala buang bayi yang menyebabkan si anak tak berdosa menanggung derita. Lagu ini turut menceritakan gejala zina yang berleluasa di Malaysia pada hari ini. Rentak lagu masil mengekalkan slow ala-ala balada.

4. Rasul Ibarat Bulan Purnama: Sebuah lagu lama yang pernah dinyanyikan oleh The Zikr dan NadaMurni. Rentak ala tradisional dan Arab ini adalah satu kelainan berbanding 3 buah lagu terawal yang terdapat dalam album ini. Lagu ini ibarat mengimbau kembali kepada kegemilangan nasyid zaman gerakan al-Arqam.

5. Maal Hijrah : Lagu ini juga satu lagu lama. Rentak lagu ini ibarat rancak dan balada. Mengisahkan tentang peristiwa Maal Hijrah. Boleh dikatakan lagu ini adalah satu rentak nasyid kontemporari.

Secara keseluruhan, album ini satu permulaan yang baik buat Aremean. Cuma kumpulan ini boleh pelbagaikan lagu rentak lagu dengan menggunakan alat muzik yang lebih pelbagai. Kekuatan vokal sudah baik dan boleh dimantapkan lagi. 

Kepada peminat nasyid, dapatkan album ini dipasaran sekarang dengan harga RM19.90. Hubungi Aremean Records bagi urusan pembelian.- STUDIOKINI

Sumber Gambar di FB : Aremean Group

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda