Terkini!

Kenali IS (ISIS) Atau Da'ish

Lanjutan daripada artikel saya bertajuk 'Perbezaan Mujahidin Syria dan FSA'. Memang tidak dinafikan ada yang komen pedas, ada yang positif dan ada yang bertanya sama ada saya IS / ISIS ke tak?

Terlebih dahulu saya tidak menafikan jasa Free Syria Army (FSA) yang menjadi perintis kepada revolusi Syria. Syabas sebab menjadi antara organisasi terawal.


ISIS, IS ATAU DA'ISH?

Terlebih dahulu, kita kenali dulu siapa IS atau singkatan Arabnya, Da'ish. Islamic State (IS) atau ad-Dawlah al-Islāmīyah (Da'sh) ditubuhkan pada 13 Oktober 2006 apabila Majlis Syura Negara Islam Iraq bergabung dengan empat lagi kumpulan dan menamakan kumpulan itu sebagai Kumpulan Negara Islam Iraq (ISI) sebagai pengganti Al-Qaeda in Iraq (Tanzim Qaidat al-Jihad fi Bilad al-Rafidayn).

Kumpulan ini bergerak di Iraq dan dipimpin oleh Abu Omar al-Baghdadi (Hamid Dawud Mohamed Khalil al Zawi). Mereka sangat aktif di Iraq dalam memerangi penjajahan Amerika Syarikat. ISI aktif di wilayah minoriti Sunni di Iraq, yang sering kali ditindas oleh majoriti Syiah.

Antara kawasan kubu kuat ISI ialah Al Anbar, Niniveh, Kirkuk, Salah ad Din, Babylon,  Diyala dan Baghdad. Pada asalnya mereka tidak beroperasi di luar daripada negara Iraq.

Apabila ketua ISI, Abu Omar al-Baghdadi, terbunuh dalam serangan tentera Amerika Syarikat, kepimpinan ISI diambil alih oleh Abu Bakr al-Baghdadi sejak tahun 2010.

Ketika revolusi Syria tercetus, Abu Bakr telah menghantar seorang wakilnya,Abu Mohammed al-Golani untuk mewujudkan Nusra Front bagi melawan rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Kewujudan Jabhat al-Nusra di Syria memberi impak yang besar kepada kekuatan mujahidin serta FSA di Syria. Untuk makluman umum, bukan semua anggota FSA beraliran Islamis. Justeru, label mujahidin dan FSA diasingkan.

Jabhat al-Nusra berjaya merekrut anggota yang ramai dan menjadi antara pasukan gerila terkuat di Syria selain daripada Ahrar al-Syam, Jaish Mujahideen, Ajnad al-Sham dan FSA itu sendiri.

Abu Bakr akhirnya membentuk satu pakatan membentuk Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) atau ad-Dawlah al-Islāmīyah fīl-ʻIraq wa ash-Shām Da'ish). Walau bagaimanapun, tindakan Abu Bakr itu dianggap tidak sah kerana melanggar dekri Ayman al-Zawahiri (pengganti Osama Laden) dan Abu Bakr harus kembali ke Iraq. Al-Qaeda sebagai organisasi yang menubuhkan Jabhat al-Nusra di Syria yang ingin membantu rakyat Syria membentuk pasukan gerila, dan selepas itu Abu Bakr harus memfokuskan pasukannya di Iraq.

Dalam temu bual di radio, Abu Bakr berkata, “Saya perlu memilih antara undang-undang ALLAH SWT dan undang-undang Al-Zawahiri, dan saya memilih undang-undang ALLAH SWT.”

Pada Februari 2014, Al-Qaeda mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mempunyai kaitan dengan ISIS. Dan secara rasmi jugalah, Jabhat al-Nusra di Syria tidak ada kaitan bersama ISIS.

ISIS DI IRAQ

Pengaruh ISIS sememangnya tidak dinafikan. Kekuatan yang ada pada pasukan ini menyebabkan mereka ghairah memperjuangkan daulah Islam walaupun terpaksa menentang pasukan-pasukan mujahidin yang lain, yang terlalu memfokuskan pembebasan Syria dan Iraq sahaja.

Sikap ISIS yang ekstremis dengan melakukan pembunuhan kejam dan tanpa pengadilan telah ditentang oleh gerakan pembebasan dan mujahidin Iraq yang lain seawal tahun 2005. Di Al-Anbar, 30 qabilah Sunni menubuhkan Anbar Salvation Council (ASC)  untuk menentang keganasan al-Qaeda Iraq, kumpulan asal ISIS, Ketika itu, kekuatan aQI tidak kuat.

Pada tahun 2012, tindakan Amerika Syarikat mengurangkan tenteranya di Iraq menjadi pendorong kepada kebangkitan semula ISI (selepas menukar nama daripada aQI).

Pada penghujung 2013, penduduk Al Anbar terutama di Ramadi dan Falujjah telah mengadakan protes aman terhadap kerajaan Iraq pimpinan Nuri al-Maliki yang dilihat menyebelahi golongan Syiah dan menganak-tirikan golongan Sunni. Persetujuan akhirnya dicapai untuk Tentera Iraq berundur dari Al Anbar dan menyerahkan kuasa kepada polis tempatan.

Sebaik tentera Iraq berundur, ISIS tiba-tiba muncul mengambil kesempatan untuk menguasai Al-Anbar. Menurut pemimpin ASC Sheikh Hameed al-Hayes, lebih 8000 keluarga terpaksa lari dari Ramadi dan Falujjah akibat serangan ISIS.

Tindakan ISIS/aQI secara terbuka membunuh ulama’ Sunni yang berani mempersoalkan mereka. Antaranya Sheikh Hamza Abbas Al-Issawi, Mufti dan Pengerusi Majlis Ulama Falujjah dibunuh oleh aQI pada tahun 2005. Antara ulama’ lain yang menerima nasib yang sama adalah Sheikh Abdul Aleem al Sa’di Mufti Ramadi, Sheikh Shawkat al-Sa’ab, Sheikh Kamal al-Tikriti dan Sheikh Omar Sa’ed Horan. Seorang lagi ulama’ besar Iraq, Sheikh Mahdi al-Sumaidaie cedera parah dalam percubaan membunuh beliau pada Ogos 2012.

Mufti Besar Sunni Iraq, Sheikh Khaled al-Mulla dalam wawancara al-Mayadeen TV pada 1 Julai 2014, dengan tegas mendakwa aQI atau ISIS telah membunuh lebih 300 ulama’ Sunni.

Di Iraq, ISIS menentang siapa sahaja yang menentangnya, termasuk kumpulan pejuang Islamis, nasionalis, Syiah, kabilah tempatan serta ulama yang menentang mereka. Antara organisasi yang bermusuh dengan ISIS di Iraq Jaish al-Islam fi Iraq (Islamic Army of Iraq), HAMAS of Iraq, Brigade Revolusi 1920, Jamaah Ansar al-Sunnah, Tentera Mujahiddin dan Tentera al Mahdi.

ISIS DI SYRIA

Di Syria, perpecahan ISIS daripada Jabhat Al-Nusra menyebabkan ISIS bergerak sendiri. Gerakan yang ingin menyertai (baiah) kepada mereka mestilah membubarkan pasukan. Sifir mudah, tiada gerakan lain selain ISIS.

Tindakan ini menimbulkan kemarahan kumpulan pejuang di Syria. Percubaan ISIS untuk mengembangkan sayap ke Syria ditentang oleh semua kumpulan pejuang Syria, samada yang berasaskan Islam mahupun sekular.

Pada awal tahun 2014, kumpulan pejuang Syria telah bergabung melawan ISIS menyebabkan ISIS terpaksa berundur ke kubu kuat mereka di ar-Raqqah, utara Syria. Ar-Raqqah merupakan wilayah yang dikawal sepenuhnya oleh ISIS.

ISIS pernah mendakwa mereka telah bergabung dengan Jabat al-Nusra, kumpulan yang mewakili al Qaeda di Syria. Namun dinafikan oleh Jabat an Nusra. Dalam sepucuk surat yang dikeluarkan oleh al Jazerra, pemimpin al Qaeda Ayman al Zahawiri cuba mendamaikan antara 2 kumpulan itu tetapi tidak diendahkan oleh ISIS. Akhirnya pada Februari 2014, Al-Qaeda secara terbuka mengisytiharkan ISIS bukan dari kalangan mereka. Ini berlaku hanya beberapa bulan sebelum ISIS didakwa kononya mempunyai kekuatan yang berjaya menawan Mosul sedangkan ISIS tinggal bersendirian.

Antara pasukan yang ditentang ISIS di Syria ialah Ahrar As-Syam, Jabhat al-Nusra, Ajnad Al-Syam, Jabhat al-Islamiyyah (gabungan 11 pasukan mujahidin),Suqour al-Ezz dan lain-lain lagi yang beraliran Islam. ISIS juga menentang FSA yang berfahaman nasionalis,Yekîneyên Parastina Gel (YPG), unit pasukan Kurdis di Syria.

ISYTIHAR DAULAH ISLAMIAH

Abu Bakr Al-Baghdadi
Pada 3 Januari 2014, ISIS yang menguasai Raqqa di Syria, serta beberapa wilayah lain di Iraq mengisytiharkan sebuah negara Islam di Fallujah, Iraq.

Pada 29 Julai 2014 bersempena 1 Ramadhan 1435, ISIS telah mengisytiharkan berdirinya Khilafah Islam di kawasan yang dikuasai mereka dari timur Syria hingga ke utara Iraq. Namum sebahagian besar kawasan ini adalah padang-pasir dan tidak berpenghuni.

Pemimpin ISIS, Abu Bakar Al-Baghdadi dilantik sebagai `khalifah’ mereka. Mereka juga mengeluarkan fatwa mewajibkan seluruh umat Islam di dunia melafazkan bai’ah (taat setia) kepada mereka.

Pengistiharan khilafah ini juga bererti semua jamaah Islam dan kumpulan mujahiddin hendaklah dibubarkan kerana semua umat Islam mesti berada dibawa satu khilafah. Sebenarnya ini bukan perkara baru di Iraq.

Persatuan Ulama Sedunia (International Union of Muslim Scholars - IUMS) yang dipengerusikan oleh Sheikh Yusuf Qardawi dalam kenyataan pada 4 Julai 2014 menolak pengistiharan tersebut sebagai tidak sah, tidak realistik dan tiada sandaran hukum Islam. IUMS memberi amaran perbuatan ini hanya memberi keuntungan kepada musuh Islam di Iraq dan Syria.

Khilafah Islam berdiri atas dasar persepakatan ummah bukan hanya dengan pengisytiharan golongan tertentu. ISIS juga dikecam kerana cuba merampas kejayan kebangkitan rakyat Iraq dan Syria dengan mendakwa kemenangan milik mereka. Persatuan Ulama’ Iraq (Association of Muslim Scholars in Iraq - AMSI) pula dalam kenyataan No 1003 bertarikh 1 Julai 2014 berkata, dalam keadaan Iraq sekarang, pengumuman seperti itu tidak memberi kebaikkan kepada Iraq dan perpaduan rakyatnya.

Bahkan perbuatan seperti itu boleh dianggap cuba memecah-belahkan Iraq dan kepentingan rakyat. Sheikh Abbas Shuman, seorang ulama al Azhar berkata “Mereka yang bercakap tentang penubuhan Negara Islam itu sebenarnya pengganas. Khilafah Islam tidak ditegakkan secara paksaan. Menakluk sebuah negara dan membunuh separuh penduduknya. Ini bukan Negara Islam. Ini adalah keganasan".

Pengisytiharan itu juga ditolak oleh pelbagai kumpulan mujahidin di Syria. Abu Maria al-Qahtani yang menjadi rujukan Jabat al-Nusra dalam perundangan Islam mencatatkan didalam Twitternya tindakan ISIS adalah “semangat yang keterlaluan” dan “musibah kepada ummah”.

Bahkan golongan salafi seperti gerakan Salafi Lebanon juga menolaknya. Pemimpin gerakan tersebut, Daii Islam al Shahhal berkata “Kami pun mahukan negara Islam, itu adalah asas kefahaman kami. Tetapi Negara Islam mesti tertegak atas beberapa kriteria dan kriteria tersebut belum dipenuhi.”

SIKAP IS/DA'ISH UNTUNGKAN MUSUH

Sikap keterlaluan IS/Da'ish bukan memberi keuntungan kepada seluruh ummat Islam di dunia tetapi lebih menguntungkan musuh-musuh Islam. Ekstremis dan memaksa bukanlah dasar perjuangan bagi gerakan Islam tanpa memberi kefahaman yang jelas. Matlamat tidak menghalalkan cara, tetapi cara menghalalkan matlamat.

Label pengganas terus dicop kepada semua gerakan mujahidin di Syria sehingga ada pihak menganggap, semua mereka yang menentang rejim Syria adalah IS. Secara tak langsung, revolusi Syria makin melalui jalan yang sukar.

Malah sikap IS ini menyebabkan tafsiran jihad dipandang salah oleh ramai pihak. Ada juga yang menganggap usaha menegakkan Daulah Islamiah merupakan tindakan salah dek kerana sikap IS yang ganas.

Ruang penglibatan pasukan antarabangsa bukan Islam dalam memerangi IS menyebabkan masyarakat Islam di wilayah kekuasaan IS hidup susah. Buktinya, langkah tentera Amerika Syarikat dan sekutu untuk campur tangan dalam memerangi IS mengundang penjajahan demi penjajahan.

Lebih malang lagi, IS yang menggunakan panji Islam menyebabkan mereka yang tidak arif menganggap panji Islam tersebut sebagai simbol keganasan. - STUDIOKINI

6 komentar:

  1. Jadi apakah kesimpulannya berkaitan ISIS ini?
    apakah mereka masih gerakan yang berada di jalan yang benar atau sudah terpesong?

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikumwarahmatullah..bukankah gerakan IS ini hendak menegakkan sistem khalifah. Saya percaya ramai umat islam yg mahukan sistem khalifah tetapi masih sygkn sistem taghut ciptaan british ini. Bila ada yg mahu tegakkan tidak pula mahu disokong tetapi memberi beribu alasan. Mungkin takut x dpt buat maksiat lg barangkali. Fikir2kanlah wahai kaum muslimin sekalian. Sampai bila anda mahu berhukum dgn hukum kuffar? Apa anda semua mahu tunggu 'imam mahdi palsu a.k.a dajjal' buat announcement menipu anda sbg penyelamat umat islam? Apa anda semua tidak mengkaji hadis2 nabi tentang dajjal & imam mahdi? Panji2 hitam? Rajin2lah kita semua membaca surah al kahfi. Moga2 Allah beri kita hidayah utk memahaminya insyaAllah.

    ReplyDelete
  3. Assalam...saya hanya ingin komen pasal komen mohd Shafiq diatas, saya juga ingin melihat undang2 Islam didaulatkan, tapi adakah dgn cara IS itu buat? Mengkafirkan dan membunuh sesiapa shj yg tidak sealiran dgn mereka, Ada pertemuan antara mujahideen2 syria sprti JAN, Ahrar AlSham dll bertemu dgn ISIS, dan hasilnya ISIS menjawab ''kami harus bunuh golongan murtad dahulu, sblum mmbunuh kafir(syiah)... Disini saya nampak ada wayang sbnarnya yg buat utk menyembunyikan kejahatan rejim basyar al assad, maaf atas pjg cerita, tetapi tentera panji2 hitam yg dimaksudkn dlm hadis adlh selepas kedatangan dajjal, bkn sebelum, dan ada hadis mngatakan, bahwa sblum kedatangan dajjal, fitnah akn blaku, dan skarang blaku di t.tengah.. Lihat saja, Dajjal akn keluar dari Isfahan, Iran.. lihat saja Iran yg bermain wayang mgenai Islam, Saya rasa ISIS ini wujud sbb byk masalah kacau bilau dlm Al Qaeda sendiri, dan wujudnya ISIS ini org akn fikir mlupakan pnjenayah trbesar Syiah, Yahudi, US... Mendaulatkn Islam bukan dgn cara ini shj, cuba anda fikir, mengapa tiba2 shj ISIS bgerak sndiri dan bpecah dari pkatan mujahideen yg lain tetapi mereka masih kuat dari segi klengkapan,..Kesimpulannya, Khilafah tidak akn berdiri selagi mna yg ingin menegakkan khilafah itu, tidak ikut sperti ajaran Islam, mmbunuh sesiapa shj yg tidak bai'ah kpd khalifah mereka, tidakkah itu dianggap khawarij.. Kajilah Hadis dan Al Qur'an dgn ikut pengajian dari ustaz2, ulamak2 yg muktabar keilmuannya, bkn seorang diri sperti ISIS itu yg buat Daulah dgn tidak ada musyawarah...sekian..Wallahualam..

    ReplyDelete
  4. Ya,sy sokong,kena bljr dari ulamak2,kitab2 muktabar,berguru.sirah nabi,al quran,sbb turun ayat alquran,makna fisabilillah,akhlak nabi,yang paling penting tujuan ALLAH lantik Nabi kita utk apa.,Tidak lain utk menyampaikan risalah tauhid[iman],IA BERDAKWAH,...........ikut macam nabi jee

    ReplyDelete
  5. Mati itu tidak berteman tetapi mati biarlah beriman, orang kafir tidak berselawat untuk kita, memgapa harus tunduk pada tekanan,sia-sia jika tidak mengenal zatnya.

    ReplyDelete
  6. Mati itu tidak berteman tetapi mati biarlah beriman, orang kafir tidak berselawat untuk kita, memgapa harus tunduk pada tekanan,sia-sia jika tidak mengenal zatnya.

    ReplyDelete

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda