Terkini!

PASTI: Sejarah dan Perkembangan

Insitusi pendidikan merupakan komponen penting dalam pembangunan sesebuah negara. Pendidikan pra-sekolah pula merupakan permulaan penting kepada pembangunan awal manusia bermula dari usia kanak-kanak.

Dalam suasana di Malaysia, pendidikan pra-sekolah bukan satu benda yang baru. Dari sudut pendidikan pra-sekolah berkonsepkan Islam, banyak gerakan-gerakan Islam di Malaysia sudah mewujudkan institusi pra-sekolah tersendiri.

Bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), usaha membangunkan pendidikan pra-sekolah Islam telah bermula seawal era 1970-an dan 1980-an lagi.

PENUBUHAN AWAL PRA-SEKOLAH ISLAM

Penubuhan tadika-tadika Islam ini bermula apabila berlaku persefahaman di antara Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat. ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendokong ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis PAS sehinggalah Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS telah meninggalkan ABIM.

PAS dan ABIM telah membahagikan peranan pendidikan ini kepada ABIM. Seawal tahun 1980 telah lahirnya pusat-pusat pendidikan prasekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988. Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat prasekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda Pas negeri masing-masing.

Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Haji Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk diperingkat pusat diketuai oleh Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini.

Pada 29-30 Mei 1988, rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan sistematik, satu seminar prasekolah telah diadakan di Masjid Rusila, Terengganu anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Harun Taib dan Abdul Halim Arshad.

Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Noh Ahmad. Semua pengarah-Pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat.

PENYUSUNAN SEMULA ORGANISASI PASTI

Pada 14 Januari 1990, PASTI menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo PASTI dan pertandingan ini dimenangi oleh Raja Abdul Aziz Raja Azlan dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Logo rasmi PASTI tersebut mula digunapakai secara rasmi semenjak 21 Julai 1991. Bagi mengukuhkan lagi organisasi PASTI, mulai 16 Januari 1993, semua PASTI diarahkan supaya berdaftar dengan PASTI Pusat bagi mengelakkan tekanan kerajaan yang mahu prasekolah didaftarkan dengan kerajaan, dan Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengesahkan struktur baru organisasi penyelarasan PASTI semua peringkat pada 26 Januari 1994. Menjelang bulan September 1999 Ketua Pengarah PASTI Pusat telah mengarahkan setiap Dewan Pemuda PAS Kawasan menubuhkan PASTI baru di kawasan masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengadakan bengkel penyelarasan PASTI di peringkat pusat pada 10 Disember 1989 diikuti oleh penyelarasan secara rasmi mulai 14 Januari 1991. Kemudian, satu Konvensyen Pendidikan Prasekolah telah diadakan di Kota Bharu pada 15-16 November 1991untuk membentuk landasan pergerakan PASTI, diikuti oleh Bengkel Kurikulum dan Latihan Perguruan PASTI di Terengganu pada 9 September 1992 serta Bengkel Kurikulum dan Pembinaan Modul PASTI di Selangor pada 25-27 Oktober 1992.

Selain penysunan kurikulum dan pengurusan pada Januari 1994, PASTI telah merancang untuk mewujudkan penyelarasan organisasi dan pentadbiran, kurikulum, latihan, buku teks, hari persekolahan, pakaian seragam dan keperluan elaun guru dan sebagainya. Pada 12 Ogos 1995, pihak pengurusan PASTI telah mengadakan satu taklimat khas penggunaan buku PASTI kepada semua pengurus-pngurus untuk penyelarasan semula buku teks PASTI.

PASTI BERKEMBANG DARI SEMASA KE SEMASA

Kejayaan PASTI diterima oleh masyarakat Melayu juga berkaitan dengan komitmen para guru yang gigih mengajar walaupun dengan elaun yang relatif kecil. Usaha untuk memperkasakan bidang keguruan juga dilihat sebagai strategi penting untuk terus meningkatkan perkhidmatan PASTI kepada masyarakat. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan pihak PASTI untuk mewujudkan sebuah badan khas perguruan PASTI yang akhirnya telah mencetuskan pula kepada Majlis Guru PASTI pada 17 Julai 1994.

Pihak PASTI juga telah memberikan latihan keguruan kepada guru-guru PASTI bagi memperkayakan ilmu dan membina kemahiran mengajar, antara kursus yang diselaraskan oleh PASTI pusat ialah kursus asas perguruan PASTI, kursus persijilan perguruan PASTI dan kursus perguruan Dalam Perkhidmatan PASTI telah diadakan. Guru-guru PASTI menerima latihan dalaman menerusi sektor latihan iaitu peringkat sijil, bengkel, seminar dan latihan luaran seperti mengikuti Diploma Pendidikan awal kanak-kanak anjuran Universiti Utara Malaysia.

Pada 30 November sehingga 1 Disember 1996, Majlis Konvokesyen Guru PASTI telah diadakan kali pertama di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar Kuala Lumpur. Manakala mulai tahun 2000, Kursus Guru Pakar PASTI mula diperkenalkan bagi terus memantapkan elemen keguruan dalam pendidikan PASTI. PASTI juga menggalakkan penyertaan ibu bapa dan penjaga dalam merancakkan lagi program pengoperasian pendidikan prasekolah di mana setiap PASTI telah digalakkan untuk ditubuhkan Jamaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) mulai tahun 2002.

Kewujudan PASTI menjadi nukleus kepada kesedaran dan sokongan terhadap PAS dan terus mendapat sokongan masyarakat. PASTI terus berkembang walaupun mendapat halangan yang kuat daripada Akta Pendidikan 1995 (Akta 550), ini dibuktikan dengan jumlah bilangan kelas PASTI di seluruh negara terus meningkat. Contohnya pada tahun 1994 kewujudan PASTI sebanyak 744 cawangan, meningkat kepada 855 cawangan pada tahun 1996 dan sehingga tahun 2004 pelajar PASTI di seluruh negara ialah seramai 55,480 orang. - WRTKP

rujukan:
[1] Sejarah PASTI
[2] PASTI: Tiga Dekad Yang Berjasa Untuk Ummah
[3] PASTI: Mendepani Cabaran Mengurus Perubahan

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda