TERKINI!

Pertubuhan IKRAM Lahirkan Album

Nasyid haraki merupakan genre nasyid lain dari yang lain. Rata-rata penasyid yang membawa genre ini, mempunyai hubung kait dengan jemaah-jemaah Islam utama.

Bagi Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), setelah hampir 6 tahun ditubuhkan sejak tahun 2009, maju setapak lagi dengan menerbitkan album Satu Perjuangan.

Album Satu Perjuangan ini boleh dikatakan album sepenuhnya milik pertubuhan tersebut. Dengan berkonsepkan nasyid haraki, IKRAM turut menampilkan lagu-lagu rasmi jemaah tersebut melalui album ini.

SATU PERJUANGAN: 5 DALAM 1

Menariknya, album Satu Perjuangan bukan calang-calang album. Album ini menampilkan 5 artis nasyid dalam satu album, dan semua lagu dalam album ini adalah berkonsepkan perjuangan.

Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini ialah IKRAM, Wanita IKRAM Pemacu Islah, Mars IKRAMTeens, Wawasan Wanita IKRAM, Nahnu Ansorullah, Cita Perjuangan, Aku Berbangsa Muslim dan Demi Masa.

Penggunaan dua nama besar dalam dunia nasyid iaitu kumpulan Saff One dan Izzatul Islam (Indonesia) sudah pasti mampu mengetengahkan lagi album ini. 

Kumpulan Saff One telah membawa 4 buah lagu iaitu IKRAM (lagu tema IKRAM),Wawasan Wanita IKRAM, Cita Perjuangan dan Demi Masa. Menerusi album ini, Saff One telah membuktikan bahawa mereka mampu membawakan lagu berkonsepkan perjuangan dengan baik.

Misalnya, lagu Cita Perjuangan. Bila dengar lagu tersebut, seolah-olah ada 'roh' yang menyentuh hati. Kemampuan Saff One membawakan lagu tersebut meletakkan mereka setaraf kumpulan nasyid haraki seperti Soutul Amal dan Fetya. 

Izzatul Islam pula membawakan lagu Mars Ikramteens, lagu tema bagi sayap belia IKRAM, IKRAMTEENS. Nama Izzatul Islam rasanya tak perlu diperkenalkan lagi. Kumpulan ini sudah cukup sinonim dengan lagu-lagu nasyid haraki dari Indonesia.

Selain Saff One dan Izzatul Islam, 3 lagi artis yang terlibat ialah Muharrik, Zeyad dan Fedaa'.

Zeyad merupakan kumpulan nasyid yang diinspirasikan dari kisah seorang general dan juga gabenor Muslim di zaman Umayyah, iaitu Zëyad ibn Sufyan. Beliau berjaya menghalang pemberontakan Parsi semasa pemerintahan Mu'awiyah. Zëyad juga bermaksud tinggi, melambangkan semangat yang tinggi dalam lagu-lagu yang dinyanyikan.

Dalam album Satu Perjuangan, Zeyad menampilkan lagu Nahnu Ansarullah. Lagu ini mengisahkan perjalanan pejuang Islam dalam meneruskan perjuangan.

Fedaa' pula merupakan gabungan mahasiswa dari Irbid, Jordan. Kumpulan ini merupakan projek pertama syarikat Tamayyuz Records, sebuah label milik Kelab IKRAM Jordan. Dalam album ini, Fedaa' membawakan sebuah lagu iaitu Aku Berbangsa Muslim.

1000 UNIT TERJUAL SETELAH DILANCAR

Kumpulan Zeyad ketika pelancaran album Satu Perjuangan.
Sumber: IKRAM Malaysia
Pelancaran album Satu Perjuangan telah diadakan pada Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI) 2015 di IDCC Shah Alam, Selangor. Pelancaran album sulung IKRAM ini telah disempurnakan oleh kumpulan Zeyad. Sebaik sahaja dilancarkan, hampir 1,000 unit telah berjaya dijual.

Album Satu Perjuangan ini telah diterbitkan oleh Risalah Harmoni Sdn Bhd, milik IKRAM.

Logo Risalah Harmoni
Risalah Harmoni Sdn Bhd (RHSB) ditubuhkan pada tahun 2014 dengan fokus utama peringkat permulaan menerbit dan mengedarkan buku-buku IKRAM serta institusi dan agensinya seperti MUSLEH, MyCare (Aqsa Syarif, i4Syria, Rose2Rose, PACE, NICE dan Salam Iraq), Hidayah Centre Foundation, KIMB, IKRAM Health, IKRAM Teens, Raudhatus Sakinah dan sebagainya. Risalah Harmoni juga bertanggungjawab menerbitkan barangan cenderamata IKRAM.

Album Satu Perjuangan boleh didapati secara terus dari laman web Risalah Harmoni dengan harga RM25.  Beli yang original!-STUDIOKINI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda