Terkini!

Maher Zain Kembali Dengan Album Ketiga 'ONE'

Pada 6 Jun 2016 bersamaan dengan 1 Ramadhan 1437H,Awakening Records yang beroperasi di London telah mengumumkan pelancaran album penuh ketiga Maher Zain. Album ini diberikan judul 'ONE'. Pelancaran album ini adalah serentak di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Album ini diterbitkan dalam pelbagai bentuk seperti album fizikal (cakera padat), serta muat turun digital di Itunes dan Amazon, 'streaming' di Spotify dan Deezer.

Nama Maher Zain bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Beliau pernah dianugerahkan dengan Anugerah Platinum bagi jualan album terlaris di Malaysia untuk album sulungnya, Thank You Allah, yang terjual hampir 300,000 unit. Album keduanya, Forgive Me pula mencatat jualan sehingga 100,00 unit.

Setelah hampir 4 tahun tanpa album penuh, kini beliau tampil dengan album ketiganya, 'ONE', yang dijangka bakal mendapat anugerah platinum juga seperti dua albumnya sebelum ini.

Album ONE memuatkan lagu-lagu yang berkonsep variasi dan universal, sekali gus menunjukkan kekuatan dan kematangan vokalnya. Memuatkan 15 buah lagu.

Antara lagu yang dijangka hits ialah The Power yang menampilkan Amakhono We Sintu dari Afrika Selatan, Medina dan I'm Alive yang berentak Hindi serta menampilkan artis terkenal Pakistan, Atif Salam.

Selain itu, album ini turut menampilkan artis Turki iaitu Mustafa Ceceli dalam lagu The Way of Love dan artis Morocco bernama Issam Kamal dalam lagu Good Day.

DUA TAHUN MERANTAU CARI ILHAM

Proses pembikinan album ini memakan masa selama 2 tahun. Proses rakaman dilakukan di pelbagai negara seperti Sweden, United Kingdom, India, Turki, Mesir, Morocco dan Afrika Selatan. Klip video The Power turut dirakamkan dengan latar belakang safari di Afrika Selatan.

"Saya sangat gembira dan bersyukur kerana album ketiga ini berjaya dilancarkan. Ia merupakan penantian yang agak lama. Walau bagaimanapun, saya harap ia berbaloi. Banyak perkara yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini dan saya bersyukur dapat mengadakan persembahan di seluruh dunia dan bertemu ramai orang yang hebat serta tempat-tempat yang menarik.

"Di situlah saya mendapat ilham dan inspirasi bagi menghasilkan lagu-lagu yang terkandung dalam album One in," kata Maher Zain.

Menurut Bara Kheriqi, Pengarah Awakening Records merangkap penerbit album ini, judul 'ONE' dipilih kerana apa yang memotivasikan kita semua dalam hasil kerja ialah atas SATU kepercayaan kepada SATU Tuhan, SATU Dunia dan Kesatuan dalam kemanusiaan.

Album ini diterbitkan dalam 3 versi berbeza untuk pasaran dunia iaitu bahasa Arab, Turki dan versi antarabangsa berbahasa Inggeris. Bagi pasaran Malaysia, album ini diedarkan dalam versi bahasa Inggeris.

Selain pasaran digital, album ini boleh didapati dalam bentuk cakera padat dengan harga RM27.90 di bawah edaran Inteam Records. - WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda