TERKINI!

Hafiz Hamidun Henti Rakam Album Penuh

hafiz hamidun
Sumber gambar: Harian Metro
Berikutan penjualan album yang makin merosot, ramai artis tampil menerbitkan album single berbanding album penuh. Malah, situasi ini dilihat lebih selamat dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

Menurut laporan yang dipetik dari Mstar, Hafiz Hamidun menyatakan adalah lebih baik baginya untuk memberi tumpuan terhadap penghasilan album single sahaja berbanding album penuh berikutan lanskap dunia hiburan masa kini.

"Sebelum ini hendak menjual 20,000 unit album dalam satu bulan adalah mudah tetapi sekarang sangat susah.Perkara ini terjadi kerana corak pembelian pengguna sudah berubah dan sebab itu saya tidak mahu lagi menghasilkan album penuh dan akan memberi tumpuan kepada penghasilan single sahaja," katanya.

Walau bagaimanapun, Hafiz Hamidun telah membuat keputusan untuk menerbitkan album penuh terakhirnya pada pertengahan tahun 2017.

Menurutnya dalam Mstar, album tersebut sudah siap dan dirakamkan di Turkey dengan menelan kos sebanyak AS$50,000 (RM230,000). Album tersebut sedang dalam proses adunan terakhir.

Untuk rekod, Hafiz Hamidun telah menghasilkan tujuh buah album solo iaitu Hafiz Hamidun (2007), Syukran (2009), Zikir Terapi Diri (2011), Sirah Teragung Muhammad SAW (2012), Zikir Terapi Diri 2 (2013), Zikir Terapi Diri 3 (2014) dan I Love Rasulullah (2015).

HAFIZ HAMIDUN LANCAR SINGLE YANG DINANTI DAN KURTA HAJE

Dalam perkembangan yang sama, Hafiz Hamidun turut melancarkan single terbarunya Yang Dinanti.

Yang Dinanti telah dicipta pada tahun 2009 manakala rakaman muziknya dibuat pada tahun 2012 Akhirnya pada tahun 2016 barulah Hafiz mula menyiapkan lagu ini.

Hafiz telah menggunakan khidmat pemuzik dari Amerika Syarikat dan Indonesia manakala adunan akhir dijalankan di Australia.

Lagu ini dicipta bersempena dengan hari kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Single ini diterbitkan oleh syarikat miliknya sendiri iaitu Arteffects International dan diedarkan oleh Sony Music Malaysia.

Selain itu, Hafi Hamidun turut melancarkan koleksi kurta jenama Haje. Haje menampilkan 4 rekaan pilihan dengan 60 variasi warna keseluruhan. Kurta Haje ini boleh dibeli secara atas talian di laman web rasmi Haje.


UNIC REUNION PADA TAHUN 2017

Dalam perkembangan lain, kumpulan nasyid UNIC akan mengadakan konsert reunion kumpulan tersebut pada tahun 2017 sempena usia 15 tahun penubuhan UNIC.

Dipetik dari Harian Metro, Hafiz Hamidun menyatakan beliau akan turut serta bersama dalam konsert reunion kumpulan yang pernah disertainya tersebut. Malah semua bekas ahli UNIC akan turut bergabung bersama UNIC pada konsert itu nanti.

Konsert itu akan ditaja oleh Arteffects International milik Hafiz Hamidun.-WARTAKOPI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda