Nama kumpulan Far East dikenali masyarakat terutama melalui lagu Menanti Di Barzakh suatu ketika dahulu. Malah, kekuatan Far East sudah terserlah melalui album-album mereka sebelum ini. Cuma nama Darwish saja yang kurang dikenali.
Darwish merupakan sebuah kumpulan nasyid yang telah ditubuhkan pada tahun 2012 di Kolej Matrikulasi Johor. Dianggotai dua anak muda, Amin dan Faiz. Pada tahun 2018, Darwish pernah tampil dengan lagu Hati Merindui terbitan Paradise Production.
SIAPA SAFIYYAH?
Safiyyah binti Abdul Mutalib merupakan srikandi Islam pertama yang menghunus senjata di medan juang. Safiyyah binti Abdul Mutalib adalah dari suku Quraisy dan bersaudara dengan Hamzah bin Abdul Mutalib.
Ibu Safiyyah adalah Halah binti Wahab, termasuk dalam kalangan keturunan bangsawan yang disegani di Mekah. Manakala ayahnya, Abdul Mutalib merupakan pembesar di tanah Jazirah Arab waktu itu, yang juga bapa saudara kepada Rasulullah s.a.w.
Antara kebolehan yang ada pada diri beliau ialah cekap melibas pedang dan menunggang kuda. Selain itu, Safiyyah juga gemar membaca dan tergolong dalam kalangan wanita yang fasih lisannya.
Antara peperangan yang disertai Safiyyah ialah Perang Uhud, Khandaq dan Khaibar. Bahkan, Safiyyah juga merupakan wanita pertama yang berjaya membunuh orang musyrik. Semasa menyertai Perang Khandaq, beliau mendapati seorang Yahudi menyusup masuk ke dalam benteng khemah para isteri Nabi dan golongan wanita lain. Tanpa berlengah, Safiyyah meluru keluar dan memukul kepala Yahudi itu hingga dia mati di situ juga.
Kecekalan dan ketabahan Safiyyah teruji ketika kehilangan saudara kandungnya, Hamzah bin Abdul Mutalib dalam Perang Uhud. Ketika Rasulullah s.a.w melihat Safiyyah mendekati jasad Hamzah, Baginda pun menyuruh az-Zubair, anak Safiyyah, untuk memintas ibunya dari tempat itu.
Diriwayatkan dari Ibnu Ishaq: Telah diceritakan kepada ku bahawa Safiyyah binti Abdul Muttalib datang untuk mencari adiknya, Saidina Hamzah. Rasulullah S.A.W. telah berkata kepada anaknya Al-Zubayr “Pergilah kamu kepada ibu mu, dan bawa dia pulang supaya dia tidak perlu melihat apa yang berlaku kepada adiknya.” . Al-Zubayr menemui ibunya, lalu berkata “Ibuku, Rasulullah S.A.W mahu engkau berpatah-balik.” Ibunya membalas “Kenapa? Aku sudah mendengar tubuh adikku sudah dilapah. Demi Allah, itu adalah perkara kecil dan aku menerima sepenuhnya apa yang berlaku. Aku harus menerima ketentuan Allah dan bersabar dengan-Nya”.
Al-Zubayr kembali semula kepada Rasulullah S.A.W untuk menyampaikan kata-kata ibunya. Lalu Rasulullah S.A.W membenarkannya datang. Safiyyah datang untuk melihat tubuh Saidina Hamzah lalu berdoa memohon keampunan untuknya. Selepas itu, Rasulullah S.A.W terus mengarahkan pengebumian Saidina Hamzah R.A.
SAFIYYAH: MESEJ YANG BERJAYA DISAMPAIKAN
Dalam lagu Safiyyah, Darwish berjaya membawa kisah perjuangan Safiyyah dengan baik. Bait lirik nukilan Ustaz Pahrol Md Juoi dan lagu ciptaan Frizdan menjadikan lagu ini penuh penghayatan.Lagu ini lebih mengisahkan keberanian Safiyyah di medan Perang Uhud.
Setelah mendengar lagu ini, ya Darwish dan Far East berjaya membawanya dengan begitu mantap! Mesej yang jelas ditambah dengan kekuatan vokal kedua-dua artis nasyid ini menjadikan Safiyyah setanding dengan lagu-lagu sirah yang popular seperti Sumayyah nyanyian Hijjaz.
Lagu terbitan FMC Music ini dilancarkan di laman Youtube pada 16 Mei 2019 dan telah mencatatkan bilangan lebih daripada 80,000 tontonan. - WARTAKOPI



No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.