![]() |
| Album: Renungan Ramadhan & Syawal Artis: Qathrunnada Bintang: 4/5 Bintang |
Setelah menerbitkan album Inilah Jalan Kita pada Disember 2018, Qathrunnada terus berkarya kepada masyarakat.
Kali ini bersempena bulan Ramadhan, Qathrunnada tampil dengan album terbaru mereka, Renungan Ramadhan & Syawal. Album ini merupakan terbitan terbaru Qathrunnada Entertainment manakala edarannya oleh AFT Marketing.
Dalam album Renungan Ramadhan & Syawal ini, Qathrunnada terus mengekalkan konsep yang sama iaitu lagu lama yang diberi nafas baru. Semua lagu dalam album ini merupakan nyanyian asal oleh kumpulan NadaMurni, kumpulan nasyid yang cukup terkenal pada tahun 1980-an hingga 1990-an.
Menariknya, tatkala album fizikal tak menjadi keutamaan para artis namun Qathrunnada terus menerbitkan album mereka dalam dua bentuk, fizikal dan digital.
Renungan Ramadhan & Syawal mengandungi sepuluh buah lagu (lima buah lagu kisah Ramadhan dan lima buah lagu kisah Syawal). Sepuluh lagu tersebut ialah Ahlan Wa Sahlan Ramadhan, Hikmah Ramadhan, Ramadhan Bulan Rahmat, Hormatilah Ramadhan, Takbir, Gema Takbir, Marilah Berhari Raya, Renungan Di Hari Raya, Keharmonian Di Hari Raya, dan Raya Hanya Disana.
NAFAS BARU YANG MANTAP!
Album Renungan Ramadhan & Syawal ini diterbitkan oleh penerbit Abu Rawahah. Dalam coretan di laman Facebook Qathrunnada, mereka menyatakan penerbitan album secara fizikal dibuat bagi memenuhi permintaan para peminat.
"Alhamdulillh kami dapat usaha untuk menerbitkan juga (album ini). Pada asalnya kami hanya ingin masukkan di medium streaming (digital),tetapi di atas permintaan sahabat-sahabat (maka) kita terbit juga album berbentuk fizikal," ujara mereka.
Susunan muzik album ini tak mengecewakan. Bunyi alat perkusi, dicampur dengan muzik moden menjadikan lagu ini lebih segar. Boleh dikatakan ini adalah yang sebenarnya nasyid!
Rakaman yang dijalankan di AFT Studio turut tak mengecewakan. Walaupun studio ini tak setanding studio artis-artis terkenal lain namun kualiti audio tetap dijaga.
Cuma dari aspek kulit album kurang menarik perhatian. Jika dapat, untuk album akan datang, design kulit album biarlah lebih ceria kerana itu merupakan gambaran awal terhadap sesuatu karya.
Vokal Qathrunnada sememangnya kena dengan genre nasyid. Dan sekali lagi, rakaman semula semua lagu ini mengubat kerinduan terhadap karya seni NadaMurni suatu ketika dulu. Nafas baru kali ini memang segar!
Album Renungan Ramadhan & Syawal boleh didapati secara fizikal melalui Facebook Qathrunnada. Bagi pasaran digital, album ini terdapat di platform Spotify, Joox,dan iTune. - WARTAKOPI



No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.