Tempoh 20 tahun dalam industri muzik tanah air bukanlah satu tempoh yang singkat. Dalam usia itu, mengekalkan momentum dalam industri ini terutama genre nasyid adalah satu usaha yang mencabar.
Setelah 20 tahun bergiat di dalam industri muzik tanahair, kumpulan nasyid Inteam akhirnya memperkenalkan pelapis mereka yang baru.
Dianggotai empat anak muda iaitu Muhammad Furqan Fawwas Salleh Sani, Matin Muzzamil Mohd Ya’acob, Ahmad Naufal Azrin dan Abdul Basit Zulkipli, kumpulan ini menamakan diri mereka sebagai Zayne.
Mereka merupakan daripada graduan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Al-Quran dan Qiraat serta Usuluddin, pelajar lepasan pengajian Maahad Tahfiz, manakala seorang lagi masih meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Islam Syariah.
Nama Zayne dipilih berdasarkan perkataan Arab bermaksud perhiasan yang indah.
Baru-baru ini, kumpulan ini telah memeterai perjanjian pengurusan artis dan penerbitan lagu bersama Inteam melalui syarikat Inteam Records Sdn Bhd atau dikenali sekarang dengan nama Inteam Digital sebagai artis baru mereka.
"Alhamdulillah, kami bersyukur kerana telah terpilih untuk bekerjasama dan menyebarkan mesej yang baik melalui nasyid di bawah bimbingan abang-abang senior kami Inteam yang telah berpengalaman dalam bidang ini lebih 20 tahun," kata Fawwas yang merupakan ketua kumpulan Zayne.
Ketika ditanya adakah mereka akan dibayangi imej kumpulan Inteam, anak-anak muda ini mempunyai jawapan tersendiri.
"Insya-Allah kami akan membawa identiti kami sendiri, bersesuaian dengan kumpulan sasaran kami iaitu remaja, tambahan pula abang-abang Inteam telah menasihati kami supaya tidak terikut dengan imej dan cara pembawakan mereka, sebaliknya memberi kami kebebasan memilih cara sendiri," kata Naufal.
GIAT RAKAM SINGLE PERTAMA
Kemunculan awal kumpulan Zayne bermula menerusi beberapa lagu projek rakaman semula seperti lagu 'Man Ana' (feat Rahim Inteam), 'Iktiraf' (feat Lah Ahmad) dan beberapa lagu lagi yang diberi nafas baru. Lagu-lagu tersebut telah pun dimuatnaik di rangkaian YouTube Inteam Digital sebelum ini dan mendapat jumlah tontonan yang sangat baik.
"Sebagai artis baru, kami perlu banyak belajar dan memerlukan bimbingan artis-artis yang telah lama dan berpengalaman. Kami akan cuba buat yang terbaik, dan mengharap sokongan padu dari semua," tambah Mateen.
Zayne kini sedang giat merakam single pertama mereka di Studio Inteam di Bandar Sri Damansara.
"Insya-Allah, lagu terbaru sebagai single rasmi pertama kami akan dilancarkan pada Februari nanti dan kami akan mempromosikan lagu tersebut yang berjudul Nur, dan ia akan dimuatnaik di semua platform digital seperti Spotify, Deezer dan rangkaian YouTube Inteam Digital" kata Basit.



No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.