TERKINI!

Hijjaz Terbit Album Tema Perjuangan Palestin

Rasanya untuk mencari album nasyid yang berkonsepkan perjuangan amat sukar sekarang ini. Paling tidak, album-album yang dipasarkan sekarang, banyak terdiri daripada album berkonsepkan zikir terapi, selawat, qasidah dan motivasi umum.

Hijjaz berpakaian pejuang untuk video lagu Pejuang Qassam.
 Kredit: Facebook Hijjaz
Namun, pengalaman berada di Palestin (Gaza) serta melihat sendiri penderitaan dan keperitan hidup rakyat di sana,memberi inspirasi kepada kumpulan nasyid Hijjaz untuk menerbitkan album yang ditujukan kepada rakyat Palestin khususnya dan umat Islam secara amnya.

Menurut Berita Harian, Munif Ahmad, salah seorang anggota Hijjaz merangkap penerbit album, lawatan ke Mesir dan Palestin awal tahun 2012 menimbulkan kesedaran anggota Hijjaz terhadap kesengsaraan rakyat Palestin yang ditindas tentera zionis.

“Ketika di Palestin, timbul idea melakukan sesuatu membantu penduduk Palestin dengan cara kami sendiri. Sebagai artis rakaman, apa lagi yang mampu kami lakukan selain menggunakan sedikit pengaruh dan peminat untuk menerbitkan album bagi membantu rakyat tertindas", kata Munif.

Album yang dimaksudkan ialah album Keranamu Baitulmaqdis. Album ini merupakan album terbitan bersama antara Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB) dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Hasil jualan album Keranamu Baitulmaqdis akan disalurkan secara 100% kepada Tabung Gaza MAPIM.

ALBUM SAMA TAPI JUDUL BERBEZA

Selain menerbitkan album Keranamu Baitulmaqdis, HRSB turut akan menerbitkan album ini dalam versi mereka tersendiri.
kulit album Keranamu Baitulmaqdis (versi MAPIM) dan Demi Islam & Perjuangan (versi HRSB)
Bagi versi terbitan HRSB, album tersebut akan ditukar kulit dan judul album serta dimasukkan sebagai album siri Pelita Hidup IV. Selain itu, album Keranamu Baitulmaqdis terbitan bersama MAPIM akan memuatkan 3 buah lagu dari artis Gaza (Palestin) iaitu Firqatul Wa'ad namun 3 buah lagu tersebut tidak akan dimuatkan dalam album Demi Islam & Perjuangan (Pelita Hidup IV) terbitan HRSB.

Lebih menarik, kedua-dua album ini menyaksikan penglibatan penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus yang turut menyumbangkan lirik berjudul Anak Gaza. Penglibatan UAI tersebut menambahkan lagi seri album tersebut.

Selain Anak Gaza, lagu-lagu yang terdapat dalam kedua-dua album ini ialah Bersatu Kita Teguh, Doa (Qunut Nazilah), Islam Agama Dagang, Wahai Kaum Muslimin, Wahai Muslimin Wahai Muslimat, Inilah Jalan Kita, Masyarakat Islam, Berjuang & Bekorban dan Pejuang Al-Qassam. Tiga lagu bonus bagi album Keranamu Baitulmaqdis ialah lagu nyanyia Firqatul Wa'ad.

ULASAN SECARA UMUM

Setelah mendengar lagu-lagu dalam album tersebut, Studiokini boleh katakan album seperti ini amat dinantikan. Mengapa? Ketandusan lagu berbentuk perjuangan dan jihad dalam genre nasyid adalah faktor utama Studiokini beranggapan sedemikian. Berikut adalah ulasan umum Studiokini terhadap lagu-lagu dalam album ini.

1. Bersatu Kita Teguh : Lirik lagu ini ditulis oleh Tuan Haji Ismail Ahmad, Pengarah Urusan HPA Industries manakala lagunya dicipta oleh Putra Aiman (Munif). Lagu ini ibarat peniup semangat dalam pembukaan album ini. Rentaknya yang rancak menaikkan lagi 'roh' pendengar untuk terus mendengar album ini. Mesej utama lagu ialah seruan untuk bersatu dalam berjuang menegakkan Islam.

2. Anak Gaza: Nukilan istimewa dari Ustaz Azhar Idrus ini mempunyai mesej yang jelas akan keperitan anak-anak kecil Gaza. Melodinya yang menyentuh jiwa memudahkan pendengar untuk menghayati lagu ini dengan lebih mendalam. Bagi Studiokini, lagu ini amat menyentuh hati. Tahniah UAI dan Isman Nadim atas penghasilan lagu ini.

3. Islam Agama Dagang: Sebuah lagu lama nyanyian asal dari NadaMurni. Diberi nafas baru oleh Hijjaz dengan rentak yang baru. Satu karya yang memang menyengat hati dalam memberi kesedaran kepada ummah untuk membela Islam.

4. Wahai Kaum Muslimin: Satu lagi lagu lama diberi nafas baru oleh Hijjaz. Nyanyian asal ialah dari kumpulan The Zikr. Liriknya berkisarkan seruan kepada Muslimin untuk bangkit berjuang menegakkan Islam dan mengharungi segala cabarannya. Ternyata karya-karya era Pergerakan al-Arqam masih mempunyai roh tersendiri hingga kini.

5. Wahai Muslimin Wahai Muslimat: Lagu ini merupakan satu lagu lama. Tidak pasti nyanyian asal daripada artis mana. Rentak terbaru sedikit berentak klasik, ala-ala irama kreatif pun ada. Mesej lebih kurang seperti lagu Wahai Kaum Muslimin.

6. Inilah Jalan Kita: Lagi lagu lama nyanyian asal NadaMurni. Lagu ini pernah dibawa rentak rock oleh kumpulan Al Farabi Band dalam album Radiasi 1400. Bagi Hijjaz, rentaknya masih segar dan rancak. Mesej cukup bermakna, mengisahkan jalan yang perlu dilalui seorang pejuang Islam.

7. Masyarakat Islam: Juga lagu asal dari NadaMurni. Pernah diberi nafas baru oleh Mawaddah suatu ketika dahulu. Rentak bagi versi Hijjaz bagi penulis adalah nasyid kontemporari. Tidak terlalu menyengat, tidak pula membosankan.

8. Berjuang dan Berkorban: Lagu ini ditujukan buat pemuda untuk bangkit berjuang. Rentak kompang menarik perhatian Studiokini untuk terus mendengar lagu ini. Bukan mudah nak cari lagu nasyid memainkan kompang zaman sekarang.

9. Pejuang Qassam: Lagu paling nombor satu di hati Studiokini.Lagu ini pada asalnya dinyanyikan untuk tema Briged al-Qassam yang menjadi nadi utama pertahanan di Gaza. Lagu ini pernah popular ketika Briged Izzudin al-Qassam menang dalam perang menentang rejim Israel. Hijjaz berjaya membawa lagu ini dengan baik. Terjemahan lagu yang dibuat serta kekuatan vokal Hijjaz memang menaikkan semangat bila mendengar lagu ini.

Lagu-lagu bonus nyanyian Firqatul Wa'ad juga sangat best walaupun dinyanyikan dalam bahasa Arab. Moga ada terjemahan untuk ketiga-tiga lagu ini.

Kepada peminat nasyid, jadikan album ini sebagai album utama untuk dimiliki. Moga akan ada lagi album Islami berbentuk perjuangan.-WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda