TERKINI!

Kekuatan Vokal Daqmie Luar Biasa

Daqmie, satu nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia. Beliau sudah berkecimpung dalam industri muzik sejak tahun 1991 apabila mula menyertai kumpulan band East sehingga tahun 1996.

Perjuangan muziknya diteruskan bersama kumpulan Barongan pada tahun 2003.

Setelah berundur dari Barongan, Daqmie aktif dalam menghasilkan pelbagai karya termasuk lagu-lagu tema bagi drama mahupun filem tempatan. Antaranya ialah lagu tema bagi drama Adam & Hawa (2012) dan Lagu tema bagi filem 7 Petala Cinta dan 99 Kali Rindu lakonan Aeril Zafril serta isterinya, Wawa Zainal.

Menyentuh mengenai pengalaman Daqmie, beliau telah terlibat dalam dunia hiburan dan pernah menerbitkan beberapa buah album artis lain. Antaranya ialah East, Barongan, Rabbani, Muadz, Mestica, Algebra, Nazrey Johani, Wildan dan ramai lagi.

Daqmie juga pernah terlibat sebagai pengarah muzik bagi beberapa konsert Islami antaranya ialah Malam Sinar Maulidurrasul di Stadium Melawati Shah Alam (2005), Konsert Raihan di Afrika Selatan (2003), Konsert Rabbani di Brunei, Indonesia (2003) dan United Kingdom (2005). Selain itu, Daqmie juga pernah meraih beberapa anugerah pencapaiannya dalam dunia hiburan. Antaranya ialah anugerah Album Nasyid Terbaik AIM15 (album Maulana-Rabbani) dan World Music Festival 2008 di Pulang Pinang.

Setelah sekian lama menantikan ‘anak sulung’ solonya yang pertama, akhirnya Daqmie tampil dengan albumnya, Maulaya. Album ini merupakan produk terbitan syarikat milik Daqmie sendiri,Alam Musiq dan diedarkan oleh Inteam Records.

PROSES RAKAMAN ALBUM 

Dalam sembang maya Studiokini bersama Daqmie atau nama sebenarnya, Azmee Abdul Manap, beliau menyatakan bahawa projek penerbitan album sulungnya ini melalui proses yang panjang dan bukan Satu projek ‘tangkap muat’.

“Pra-produksi album Maulaya memakan masa selama 2 tahun. Pada awalnya, saya Eddy (Cherita) merangkap penolong penerbit album, terlebih dahulu. Kemudian, saudara Izham Shah dari Inteam Records menawarkan pertolongan bagi merealisasikan projek ini. Tenaga produksi album ini lengkap apabila Alfa Booty dan Rumie Booty menyertai pasukan tenaga produksi album.”

Daqmie turut menambah, lahirnya album ini adalah hasil pembahagian tugas yang sistematik dalam tenaga produksi mereka.

“Sebaik sahaja pasukan produksi lengkap, kami mulakan pembahagian kerja.Kerja saya ialah membuat melodi, konsep, rangka muzik dan falsafah album ini, Alfa Booty merangka susunan muzik seterusnya yang sesuai dengan pasaran semasa, selain memilih pemuzik yang bagus sebab dia memang pakar dalam hal ini. Rumie Booty pula merangka susunan suara album ini secara keseluruhan termasuk mixing. Alfa Booty, Daqmie, Rumie Booty bertindak sebagai penerbit album manakala Eddy (Cherita) kekal sebagai pembantu penerbit,”ujar Daqmie.

sekitar pelancaran album. kredit: Daqmie
sekitar pelancaran album. kredit: Daqmie
sekitar pelancaran album. kredit: Daqmie

Album Maulaya telah yang dilancarkan secara rasmi pada 27 November 2013 yang lalu di Saloma Bistro ini menampilkan 9 buah lagu iaitu Selawat Ke Atas Nabi Muhammad S.A.W, Maulaya, La Ilaha Illa Allah, Tangis Sebatang Tamar, 7 Petala Cinta (feat Mohar), Asma Ul Husna, Ilahi Lastu Lil Firdaus, Kasih Abadi, (feat Aznan Alias) dan Qasidah Maulaya.

Semua lagu ini mempamerkan kekuatan vokal Daqmie yang lunak dan bertenaga. Lebih unik lagi, Daqmie menampilkan penggunaan bahasa Jawa pada permulaan album. Belum pernah dilakukan dalam album dakwah di Malaysia!

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai harapannya terhadap album ini, Daqmie meletakkan harapan agar jualan album ini menjangkau sejuta unit.

"Saya berharap (album) boleh terjual melebihi sejuta unit di Malaysia dan serantau. Jika ia tercapai, hasil jualan akan saya gunakan untuk membuat konsert berskala besar".

"Konsert ini membolehkan saya dapat jumpa ramai orang dan kongsi ilmu dan rasa muzik terutama golongan kanak-kanak dan remaja. Muzik membolehkan manusia hidup secara sihat kerana muzik itu alam", ujar Daqmie.-WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda