Terkini!

Ustaz Kazim Elias: Persimpangan Antara Kebangsaan dan Islam

sidang media Ustaz Kazim Elias
Nama Ustaz Kazim Elias, hampir seluruh pelosok negara Malaysia kenal akan nama tersebut. Kepetahan beliau dalam menyampaikan kuliah dan tazkirah membuatkan namanya disebut, sebaris dengan nama-nama pendakwah bebas yang lain seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don, Ustaz Haslin dan sebagainya.

Malah bagi golongan belia dan veteran, ramai mengenali Ustaz Kazim sebagai 'Ustaz Rumahtangga'. Lihat saja siri-siri kuliah beliau, beliau banyak menyentuh mengenai isu-isu munakahat (rumah tangga).

Dalam dunia dakwah, kumpulan sasaran dakwah menjadi keutamaan. Atas faktor itulah, ramai pendakwah mengambil keputusan untuk tidak menyertai secara langsung mana-mana parti politik di Malaysia walaupun adakala menunjukkan kecenderungan mereka terhadap parti-parti tertentu. Dakwah umum atau dakwah siasah, itulah yang perlu dipilih oleh para pendakwah.

Justeru, tidak hairan sejak sekian lama, Ustaz Kazim sendiri tidak menjawab secara langsung sama ada beliau menyokong parti U atau parti P. (Sendiri faham la).

Namun, pengumuman Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Abdul Razak melantik Ustaz Kazim sebagai salah seorang ahli Majlis Tertinggi, ramai yang memberi respon pantas. Ada yang negatif, ada yang positif.

Ramai bimbang penglibatan secara langsung Ustaz Kazim dalam parti politik bersifat kebangsaan, akan memberi kesan bukan sahaja kepada dirinya, malah usaha dakwahnya.

Sebagai rekod, ini bukan pertama kali golongan agamawan menyertai UMNO. Nama-nama besar seperti Ustazah Mashitah Ibrahim, Major Jeneral Ustaz Jamil Khir Baharom, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (bekas presiden PKPIM), dan Anwar Ibrahim (bekas presiden ABIM), serta ramai lagi,telah dan pernah menyertai UMNO. Tidak dilupakan juga, Ustaz Pirdau Ismail (bekas Imam Masjid Negara) dan Ustaz Fahul Bari.

Nama-nama ini memang cukup terkenal dalam dunia dakwah. Namun penyertaan mereka masih belum mampu mengubah sifat kebangsaan kepada Islamik. Malah ada usaha dakwah untuk mengubah secara mutlak, dipandang biasa. Isu rasuah yang membelenggu adalah isu utama dalam usaha dakwah dalaman buat parti kebangsaan itu.

Atas faktor itulah, ramai pihak kurang senang dengan tindakan Ustaz Kazim untuk terjun dalam dunia dakwah siasah secara rasmi. Sebagai respon pantas, abang beliau, Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias kurang senang jika Ustaz Kazim menyertai MT UMNO. 

“Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara keseluruhan dalam parti,” katanya. Beliau menyatakan, Ustaz Kazim boleh menyebar ilmu Islam dengan lebih meluas tanpa jawatan seperti itu.


Respon pantas dari Dewan Pemuda PAS Perak pula mendakwa, Ustaz Kazim masih ahlinya sejak tahun 1998. Hal ini disahkan oleh Ketua DPP Perak,Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss mendakwa bahawa Ustaz Kazim masih merupakan ahli PAS Cawangan Kampung Manjoi (Tambun) sejak Julai 1998 dengan nombor keahlian 0475276.

Dalam pada itu, dalam laporan Sinar Harian, Ustaz Kazim berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.

"Jika benar saya masih ahli, mengapa saya tidak dilayan sepertimana ahli lain.Saya juga sudah lama tidak hadir ke mesyuarat dan pernah saya diberitahu, saya bukan lagi ahli Pas," katanya.

 Tarik tali ini sebenarnya bukan sesuatu yang baik. Andai Ustaz Kazim menerima pelantikan sebagai MT UMNO, secara rasminya beliau keluar PAS. Selesai masalah. Dan Ustaz Kazim boleh beri tumpuan terhadap tugasnya dalam UMNO.

Namun adalah lebih molek jika Ustaz Kazim berpendirian untuk tidak aktif dalam mana-mana parti politik. Ambil saja sikap Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA), yang enggan menyertai mana-mana parti untuk bebas menegur mana-mana pihak.Usaha dakwah menjadi lebih luas. Bukan menolak siasah sebagai satu peranan penting dalam Islam, namun dalam masyarakat yang ada sekarang, pendakwah yang sudah mencipta nama dalam dakwah umum perlu dikekalkan untuk mengubah masyarakat dari bawah.

Jika beliau menerima untuk menyertai parti kebangsaan, jangan halang. Bak kata Dr. MAZA,

"Tahniah di atas pelantikan ini, saya berharap mereka akan dapat memberi sumbangan ke arah positif dan membaiki keadaan negara.Tahniah juga kepada Umno kerana cuba mendapatkan khidmat golongan agama, harap benar-benar bertujuan kebaikan bukan sekadar politik kepartian," katanya.

Beliau turut berkata, jika ada keikhlasan, kedua-dua tokoh ini boleh membantu parti itu ke arah yang lebih baik.Moga peranan Ustaz Kazim bukan sekadar berperanan sebagai 'pembaca doa majlis' semata-mata. Parti mana pun, jika nilainya baik untuk Islam, silakan.

Untuk rekod, seorang lagi adik Ustaz Kazim dan Kapten (B) Najmudin Elias, Ahmad Hasbullah (ADUN Kubu Bharu, Perak), juga merupakan ahli UMNO - WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda