Sejarah kumpulan ini bermula apabila sekumpulan mahasiswa Malaysia di Mesir mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan nasyid mereka. Antaranya ialah kumpulan As-Shoff. Nama rasmi kumpulan ini ialah Usrah As-Shoff, ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1993 di Mesir atas inisiatif Wan Abdus Salam Wan Mohamad, Zahibi Mat Isa dan Tengku Anuar Tuan Amir bersama dengan beberapa mahasiswa Universiti Al-Azhar kelahiran negeri Perak yang lain.
Nama As-Shoff membawa maksud “barisan”, dipilih bersempena dengan nama Surah As-Soff (surah ke 61 dalam al-Quran). Surah ini mengandungi ayat-ayat peringatan dan perjuangan yang diturunkan di Madinah di samping ingin menetapkan kepentingan perjuangan dan amalan kehidupan di dalam satu saf .
Pada awal penubuhannya, ahli usrah As-Soff terdiri daripada mahasiswa jurusan Syariah dan jurusan Usuluddin bagi tahun dua dan tiga di awal penubuhannya. Pembabitan dalam pertandingan nasyid khasnya ketika Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di Mesir telah melahirkan insan-insan seni yang kemudiannya secara serius terjun ke bidang seni rakaman suara bersama Usrah al-Wadi (kini Wadi el Jadid) yang telah ditubuhkan lebih awal dari penubuhan As-Soff ketika itu .
Pelbagai aktiviti kesenian telah dianjurkan oleh badan-badan kebajikan anak negeri di Mesir khasnya oleh Kumpulan Pelajar Islam Perak Kaherah (KPIPK). Hal ini menyemarakkan lagi usaha mereka mengorak langkah dalam arena seni suara. Penubuhan As-Shoff adalah usaha gabungan perintis-perintis awal kumpulan iaitu Wan Abdus Salam yang bertindak sebagai pengurus dan pernah berkecimpung dalam muzik underground di Malaysia, Rusmin Adam (perkusi-mantan YDP pelajar Negeri Sembilan 1994), Yazid Abd Hamid (perkusi) dan menampilkan penyanyi solo terdiri daripada Zahibi Mat Isa , Lutfi Amir Harun, Allahyarham Abdul Hakim Hj Harussani (anak Mufti Perak) , Tengku Anuar Tuan Amir, Azwani Alias, Nizam Abd Hamid dan Ahmad Fikri Mahmod.
AS-SHOFF TERBIT 3 BUAH ALBUM
Atas bimbingan dan tunjuk ajar daripada kumpulan Usrah Al Wadi, As-Shoff telah mengorak langkah menghasilkan lirik-lirik lagu bagi album pertama mereka. Album “Takkan Hilang Islam Di Dunia” diterbitkan pada tahun 1994. Album ini mengandungi nukilan-nukilan lirik daripada Wan Abdus Salam, Doktor Jamnul Azhar, Zahibi Mat Isa dan Osman Hamzah yang memaparkan tema berkaitan pembuangan anak, tragedi perang di Bosnia, pencerobohan ke atas masjid Babri di India, pengkisahan dikriminasi jilbab di Malaysia dan lirik-lirik berkaitan jihad, perjuangan dan harapan pada wanita muslimah.
![]() |
| Album pertama, Takkan Hilang Islam Di Dunia |
![]() |
| Album kedua, Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Islam Dijunjung |
Serentak dengan kemunculan album ini, As-Shoff melebarkan sayap pengedaran albumnya di Malaysia dengan melantik syarikat GG Edar. Kedua-dua jualan album pertama dan kedua telah berjaya dijual sebanyak 30,000 unit ketika itu di Malaysia.
Selepas lahirnya album kedua, As-Shoff lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti rasmi Persekutuan Mahasiswa Republik Arab Mesir (PMRAM) serta badan-badan kebajikan anak negeri yang lain di samping meneruskan pengajian ilmu mereka di Mesir. Dalam masa yang sama, As-Soff telah menambahkan lagi jumlah ahlinya dengan kemasukan Jamil Seman- Perlis (vokalis), Adib Ramli dan Yuszaimi Muslil dari Selangor (Perkusi).
![]() |
| Album ketiga, Berat Sama Dipikul Moga Islamkan Subur |
AHLI AS-SHOFF TERBITKAN ALBUM PENASYID LAIN
Selain menerbitkan album kumpulan As-Shoff, beberapa ahli kumpulan tersebut turut mengambil inisiatif menerbitkan album-album penasyid yang lain. Antaranya ialah Zahibi Mat Isa dan Yuszaimi Muslil telah berjaya menulis lirik dan menerbitkan album An-Nida’(1995), album pertama mahasiswa Indonesia yang menuntut di Universiti al-Azhar.
Selain itu, kumpulan As-Shoff turut terlibat dalam penerbitkan album kumpulan Ikhwan's, dari Universiti Malaya. Album tersebut berjudul Zikrayat dan diterbitkan pada tahun 1999 di bawah label As-Soff Production dengan Wan Abdus Salam selaku penerbit.
Album Shautul Nahdzah (Suara Kebangkitan) pula diterbitkan pada tahun 1997-1998 dengan Zahibi Mat Isa selaku pembimbing dan pereka konsep untuk album berkenaan. Di samping itu juga Tengku Anuar Tuan Amir juga telah berjaya menerbitkan album nasyid kanak-kanak ( Raudhah 1997) di Kelantan.
AS-SHOFF PERMATA NASYID YANG SUKAR DIGANTI
Ahli-ahli As-Shoff membawa haluan masing-masing apabila pulang ke Malaysia. Setelah As-Shoff sepi, Zahibi tampil dengan projek kumpulan La Khauf bersama Mizi dan Marwan. Mereka menerbitkan album Di Palang Ini pada tahun 2007. Namun usia kumpulan tersebut sukar dipastikan.
![]() |
| album La Khauf, Di Palang Ini |
sumber gambar dan sejarah : Facebook As-Shoff


.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)

No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.