TERKINI!

Ali Din Artis Cilik Taruhan Hijjaz Records

Pada awal kemunculan syarikat rakaman kelolaan kumpulan Hijjaz sekitar tahun 1998-1999 dahulu, artis cilik dijadikan taruhan terawal sebagai artis anak didik pertama mereka. Ketika itu, Hijjaz Music Entertainment (kini Hijjaz Records) mempertaruhkan kumpulan Ae-Man sebagai artis pertama.

Album pertama Ae-Man, Alif.Ba.Ta nyata mendapat sambutan yang menggalakkan. Album terbabit berjaya membuktikan artis cilik mampu mempunyai kekuatan vokal yang hebat, setanding artis-artis dewasa yang lain.

Pada tahun 2014, Hijjaz Records cuba mengembalikan kegemilangan artis cilik apabila syarikat terbabit kembali menerbitkan album artis cilik terbaru mereka, Ali Din. Kemunculan Ali Din sudah pasti akan memperlihatkan kekuatan vokal adik ini.

Bakat Ali Din atau nama sebenarnya Mohd Ali Tarmizi dikesan oleh Hijjaz ketika mengadakan persembahan bersama mereka di Johor Bharu. Kekuatan vokal beliau menarik minat Hijjaz untuk mengambilnya sebagai artis terbaru untuk diketengahkan.

Selain menyanyi, Ali Din juga mempunyai bakat bermain gitar malah turut berbakat mencipta lagu sendiri. Single pertama beliau, Ibu Tersayang, merupakan lagu nukilan Ali Din yang didedikasikan buat Arwah Ibunya yang telah kembali ke rahmatullah.

Ayah beliau, Mokhtarudin, merupakan seorang pelakon pada era 1980-an. Setelah berhenti dari dunia lakonan, Mokhtarudin mengasaskan Pondok Penyayang Raudhah, sebuah rumah anak yatim piatu yang turut didiami oleh Ali Din. Walaupun ayah Ali adalah merupakan pengasas kepada rumah anak yatim tersebut, Ali telah dibesarkan dan menjalani kehidupan sama sepertimana anak-anak yatim di sana.

Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, bakat yang dimiliki oleh ayah beliau turut diwarisi Ali Din. Kekuatan vokal serta kelunakan suaranya terbukti melalui lagu Ibu Tersayang, yang menjadi taruhan pertama Ali Din.

Mengimbas kembali mengenai bakat Ali Din, blogger Buah Mulut menyatakan bahawa bakat adik cilik ini dikesan oleh abangnya sendiri sejak dari usia 5 tahun. Dia kerap menghasilkan melodi yang menarik hanya menggunakan alat-alatan di sekelilingnya dan apabila di dengar dengan teliti dia telah menghasilkan satu lagu yang sedap didengar.

Menurut abangnya, Ali telah mempunyai lebih 50 buah lagu yang dirakamkan secara suka-suka dan ada sebahagiannya telah di kompilasikan di dalam satu cd dan telah di jual untuk membantu menjana pendapatan Pondok Penyayang Raudhah.  Pondok Raudhah melalui unit promosinya, Raudhah Entertainment pernah melahirkan album nasyid Feelheart, Fikirkan suatu ketika dahulu.

Album Ali Din, Ibu Tersayang kini sudah berada di pasaran sejak awal Mac 2014 yang lalu. Album ini memuatkan lagu-lagu seperti Cabaran Hidup Alhamdulillah, Akhlak Mulia, Hujan Mama Papa, Resah, SayangKu, Pesan Bonda, dan Ibu Tersayang.

Dapatkan album tersebut dipasaran sekarang. Terbitan oleh Hijjaz Records Sdn Bhd. Pastikan yang original. - STUDIOKINI.


0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda