TERKINI!

IF-ONE Ajak Peminat Zikir Buat Hati


IF-ONE, satu nama yang unik. Nama kumpulan ini membawa maksud “KALAU SATU”. Dibarisi oleh 3 ahli iaitu Muhammad Abu Hurairah bin Roslan, Muhamad Firdaus bin Mokhtar dan Fakhrulradzi bin Shahrudin.

Kumpulan ini pernah melakukan eksperimen menerusi album percubaan suatu ketika dulu. Aktif di lama SoundCloud, IF-ONE akhirnya dilamar oleh syarikat Imaan Music bagi menerbitkan album sulung mereka, Zikir Buat Hati.


Nama IF-ONE bagi menggambarkan kesatuan hati. Menurut IF-ONE, apabila kita bersatu hati dan mempunyai satu cita-cita, satu matlamat, satu tujuan dan satu ilmu, kita akan hidup dalam keserasian. Yang utama kebenaran itu satu, tidak ada dua dan seterusnya. Jadi andai kita semua bersatu di bawah nama Islam yang sebenar, kita sebenarnya sedang berjuang menegakkan kebenaran.

Menurut IF-ONE, lamaran Imaan Music ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

“Syukur kepada Allah kerana telah mengabulkan hasrat kami yang selama ini berkarya melalui muzik sambil menyampaikan dakwah. Tawaran daripada Imaan Music ibarat bulan jatuh ke riba” kata trio IF-ONE. 

Zikir Buat Hati, judul yang dipilih sebagai tajuk album sulung IF-ONE, kerana kebanyakan zikir-zikir yang dipilih di dalam album ini sangat sesuai sebagai terapi hati kerana dengan menyebut dan memuji nama Allah hati kita akan berasa tenang dan aman.

Album yang memulakan produksi pada awal bulan Januari 2015 ini mengambil masa hampir 6 bulan untuk disiapkan. Mendapat sentuhan komposer dan penerbit baru Samuel Dzul, album ini dilihat memberi angin baru bagi album-album Zikir yang sedia ada di pasaran.

 Selain zikir-zikir yang dimuatkan di dalam album ini, turut diselitkan dua buah lagu Nasyid “Perjalanan Hati” dan “Ada Hikmah”.

“Perjalanan Hati” merupakan lagu pertama yang dirakam oleh IF-ONE pada penghujung tahun 2013 sebelum mereka mengingat kontrak bersama Imaan Music. Lagu ini juga pernah mendapat putaran tertinggi di radio IKIM FM.

Bagi memberi warna dan kelainan serta meneruskan moto Imaan Music, yakni berdakwah menerusi muzik, album ini turut mengundang dua pendakwah yang tidak asing lagi PU Faiz dan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari. PU Faiz adalah Naib juara Pencetus Ummah musim pertama manakala Ustaz Iqbal Zain adalah pendakwah bebas yang sering muncul di TV Al Hijrah dan merangkap Pemimpin Darul Mujtaba.

Tazkirah pendek yang diselitkan di dalam album ini mengupas tentang kafiat, kisah dan teladan daripada zikir-zikir tersebut yang disampaikan dengan skop yang berbeza oleh PU Faiz dan Ustaz Iqbal. Antara zikir-zikir yang terkandung di dalam album ini adalah La Illaha Illa Anta, Astagfirullah, Alhamdulillah, Subhanallah serta Asma Mu.

Menyingkap kembali penubuhan IF-ONE, kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Muhammad Abu Hurairah bin Roslan, Muhamad Firdaus bin Mokhtar dan Fakhrulradzi bin Shahrudin.

IF-ONE merupakan sebuah kumpulan seni budaya Islam yang berkecimpung dalam bidang nasyid dan malah cabang seni yang lain seperti teater serta lakonan.

Album Zikir Buat Hati boleh didapatkan di kedai-kedai muzik dan dakwah seluruh negara. Atau boleh dapatkan terus di CDNasyid.COM.Terbitan Imaan Music dan edaran Arteffects International. - STUDIOKINI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda