Terkini!

Inteam Perluaskan Empayar Perniagaan

Usia 10 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Sedar tak sedar, Inteam Records Sdn Bhd telah mencapai usia 10 tahun.Perniagaan Inteam telah bermula sebaik sahaja kontrak kumpulan nasyid tersebut bersama Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB) tamat.

SEJARAH AWAL SYARIKAT INTEAM

Inteam Records bermula dengan syarikat enterprise dengan nama Inteam Edutainment pada tahun 2005. Ketika itu, semua ahli Inteam masih lagi bergelar mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Semua ahli Inteam tinggal di kolej kediaman kecuali Amin, yang menyewa di luar kampus di Taman Gombak kerana sudah berumahtangga. Ketika itu, Inteam Edutainment telah menjadikan salah satu bilik di rumah yang disewa Amin sebagai pejabat pertama syarikat mereka. Ketika itu, syarikat ini hanya memfokuskan pengurusan persembahan Inteam.

Kemudian Inteam telah memindahkan operasi mereka ke sebuah rumah kedai di Batu Caves Centerpoint sebagai pejabat operasi kedua. Sewa rumah kedai tersebut adalah murah. Dari situlah mereka meneruskan urusan syarikat.

Setelah mempunyai kakitangan yang mulai ramai, Inteam berpindah ke pejabat ketiga di Jalan Cempaka, Bandar Sri Damansara. Bermula di situlah Inteam mempunyai ‘studio rakaman’ sendiri yang ala kadar ketika itu. Studio tersebut telah digunakan untuk merakamkan beberapa album terawal terbitan Inteam Records antaranya album bacaan Al-Quran Ustaz Zamri Mantop dan album Berzanji kumpulan Nakriz.

Sekali lagi, Inteam memindahkan operasi mereka di Jalan Meranti, Bandar Sri Damansara. Kali ini, mereka beroperasi di sebuah bangunan kedai 2 tingkat yang disewa. Merdeka sudah memiliki studio rakaman yang lebih besar dan lebih baik kualitinya walaupun masih di tahap sederhana.

Setelah beberapa lama di situ, syarikat menghadapi masalah stor yang sempit dan barang mula melimpah, tambahan pula pada masa ini produk terbitan dan edaran kami semakin bertambah. Mereka membuat keputusan untuk berpindah lagi. Kali ini mereka beroperasi di bangunan sendiri, bukan lagi menyewa.

Di bangunan kedai 3 tingkat inilah letaknya studio Inteam yang baru di tingkat atas, kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Di tingkat 2 letaknya pejabat operasi, manakala di tingkat paling bawah letaknya stor buku dan cd . Di studio di sini jugalah terhasilnya pelbagai produk yang terkini dan antaranya Maher Zain turut merakam vocal bagi lagu Insha Allah Bahasa Melayu.

Setelah beberapa tahun di Jalan Tanjung, Bandar Sri Damansara, Inteam Records terpaksa berpindah lagi ke pejabat baru, tapi kali ini bukan berpindah seluruhnya, cuma berpindah pejabat operasi dan stor ke bangunan di Jalan Meranti. Namun studio Inteam masih kekal di Jalan Tanjung manakala bangunan tengah dan bawah sekali disewakan.

INTEAM TERUS KEMBANGKAN EMPAYAR

Selepas Inteam Edutainment ditubuhkan, sekitar tahun 2006 syarikat tersebut dinaik taraf kepada Inteam Records Sdn Bhd. Fokus utama ketika itu adalah penerbitan album-album nasyid. Antara produk terawal IRSB ialah Inteam - Tiada Lagi Kasih, dan Akhil Hayy - Nasyid Lagenda.

IRSB telah mewujudkan anak syarikat mereka, Islamic Media Edutainment (IME) yang memfokuskan penerbitan album-album Islami yang bukan nasyid. Difahamkan kini IME telah diselaraskan di bawah IRSB bagi penerbitan semua jenis album.

Pada tahun 2009, Inteam menubuhkan pula Inteam Publishing Sdn Bhd (IPSB). IPSB merupakan sebuah syarikat penerbitan dan pengedaran buku-buku agama, ilmiah, akademik, pendidikan dan bermesej positif.

Selepas 10 tahun mempunyai syarikat sendiri, Inteam melebarkan lagi sayap perniagaan dengan menubuhkan Inteam Marketing Sdh Bhd bagi melaksanakan misi dan visi untuk menjadi salah satu pengeluar dan pengedar produk kesihatan yang besar, diyakini, berkualiti dan terkenal dan yang paling utama menjadi syarikat yang boleh menyumbang dan membantu menyelesaikan masalah insan-insan yang diuji dengan kekurangan dari segi kesihatan.


Di bawah syarikat Inteam Marketing, mereka memulakan langkah menjual minyak kesihatan yang dipanggil Miracle Oil.

Info mengenai Miracle Oil.
[Klik untuk paparan lebih jelas]
Micacle Oil adalah minyak Habbatussauda’ 100% Asli yang melalui proses perahan sejuk. Keasliannya disahkan melalui hasil keputusan makmal MARDI. Produk kesihatan ini dikeluarkan oleh syarikat DH Teguh Venture manakala Inteam Marketing dilantik sebagai pengedar.

IMPIAN MILIKI YAYASAN SENDIRI

Inteam Records juga turut menjalinkan kerjasama bersama syarikat-syarikat rakaman luar negara. Antaranya ialah Awakening Records dari United Kingdom, di mana IRSB bertindak sebagai pengedar album-album artis Awakening seperti Maher Zain dan Sami Yusuf. Selain itu, IRSB turut mengedarkan album-album Opick (Tombo Ati Production), Edcoustic, Zain Bhika dan sebagainya.

Boleh dikatakan IRSB antara syarikat yang banyak menaikkan nama-nama artis nasyid luar negara di Malaysia. Misalnya Maher Zain, Opick, Humood Alkhudher (penyanyi Kun Anta) dan terbaru Harris J (penyanyi Salam).

IRSB juga pernah menganjurkan event-event besar di Malaysia seperti Maher Zain Live In Concert, Opick Live In Concert serta Malam Cinta Rasul di KLCC.

Dalam klip video yang dikeluarkan mereka, Inteam melahirkan hasrat untuk memiliki Yayasan Inteam pada suatu hari nanti di samping menjadi usahawan Islam contoh di Malaysia. Bagi mendapatkan produk-produk keluaran IRSB, Inteam mewujudkan Inteam Mobile sebagai medium beli dalam talian.
Album Miracle Hits yang menampilkan single #SuratCinta
Inteam juga baru sahaja menerbitkan album terbaru, Miracle Hits yang menampilkan koleksi 15 lagu-lagu mereka serta single terbaru, Surat Cinta. Moga Inteam terus sukses dan melangkah lebih maju dalam menaikkan imej ekonomi Islam di Malaysia dan dunia. - WTKP

* Sumber gambar dan info:
   - Facebook Inteam Records
    - Youtube Inteam Records

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda