Terkini!

Soutul Amal Dedikasi Buat Almarhum TG Nik Abdul Aziz

Pemergian Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sememangnya dirasai ramai pihak.

Sama ada yang Muslim mahupun bukan Muslim, sama ada rakyat Malaysia mahupun ummat Islam dunia. Malah pemergian beliau turut memberi impak kepada aspek politik negara.

Tidak dinafikan antara punca mengapa kerajaan negeri Kelantan kekal di bawah Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah disebabkan beliau. Kenapa almarhum disanjung tinggi sedangkan beliau semasa hayatnya bukanlah seorang negarawan yang kaya.

Peribadi dan ilmu, itulah kekuatan beliau. Beliau bukan sahaja seorang politikus, tetapi beliau adalah seorang ulama, guru serta bapa perpaduan yang mampu menarik minat orang bukan Islam untuk memberi sokongan kepada pemerintahannya.

Bagi Soutul Amal, keperibadian Nik Abdul Aziz yang hebat menyebabkan mereka terpanggil untuk menukilkan sebuah lagu untuk almarhum. serta para murabbi yang lain.

Murabbi Ummah, judul yang diberikan bagi single terbaru Soutul Amal (SA) ini mengisahkan tentang keazaman, keteguhan dan kesungguhan tokoh-tokoh hebat terdahulu dalam mendidik masyarakat dalam menempuh pelbagai cabaran dan rintangan.

Jika dihayati secara mendalam, nyata lagu ini memang penuh erti. Misalnya dalam rangkap pertama, mengenengahkan perbezaan di antara kita dengan para murabbi yang sentiasa memikirkan permasalahan ummah dan mencari jalan penyelesaiannya. Sehinggakan mereka tidak dapat memejamkan mata dan bermunajat kepada Allah saban malam di kala kita lena.


Mesej ini semuanya terkandung dalam lagu Murabbi Ummah. Lagu ini dimuatkan dalam single terbaru SA, Murabbi Ummah yang sudah ada di pasaran sejak November 2015.

Album single ini merupakan album single ketiga yang diterbitkan oleh SA bagi tahun 2015. Sebelum ini, Soutul Amal sudah mengeluarkan album single Langkah Pejuang dan Raya & Usia selain album kompilasi mereka, Seru Pembelaan.

Kumpulan ini pernah popular dengan lagu-lagu seperti Amal..Kerana Allah, Nostalgia, Analisa dan lain-lain lagi. Kemunculan semula mereka pada awal 2015 melalui single Seru Pembelaan menaikkan kembali nama SA.

Pelancaran album single Soutul Amal, Murabbi Ummah.
Sumber gambar: FB Soutul Amal
Single Murabbi Ummah ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato Ustaz Haji Ahmad bin Yaakob di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan pada 20 November 2015. Menariknya, pada hari pelancaran, album single ini telah terjual sebanyak 1000 unit.

Sesi rakaman album penuh Soutul Amal.
Sumber gambar: FB Soutul Amal
Dalam perkembangan lain, Soutul Amal kini sedang giat mencari bahan dan sibuk merakamkan lagu-lagu baru yang akan dimuatkan dalam album penuh mereka. Album ini dijangka akan berada di pasaran pada awal tahun 2016. -WTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda