Terkini!

PAS Dan AMANAH Perlu Belajar Dari DAP

[ULASAN] Saban hari ada saja 'perang' berlaku dalam kalangan netizen politik. Ada yang menghentam kerajaan, ada yang menghentam oposisi. Dan lebih dahsyat lagi, ada yang 'berperang' sesama sendiri.

Dah jadi rahsia umum tentang masalah dalam yang dilalui Parti Islam SeMalaysia (PAS). Bukan perkara baru soal perpecahan ini. Perkara asas yang menyebabkan perpecahan bukannya soal perebutan kuasa tetapi asas pendekatan perjuangan.

Justeru tidak hairan satu kelompok dalam PAS menafikan bahawa kekecewaan akibat kalah dalam muktamar menjadi punca mereka keluar dari PAS.

Bermula dari label progresif, Anwarinas, Erdogan, Jebon hinggalah ke label munafik haraki dan pengkhianat. Jalan penyelesaian kemelut dalam sesebuah parti politik sudah pasti keluar dari parti dengan cara terhormat.

Golongan ini akhirnya menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB), yang kemudiannya dijenamakan sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH). Dan bermula dari tertubuhnya AMANAH, 'perang bersiri' mula tercetus antara PAS dan AMANAH.

Perang ini bukan sahaja melibatkan laman-laman sosial seperti Facebook, blog, media internet, malah ia seolah merebak ke dunia realiti. Sikap boikot memboikot, kata-mengata ibarat 'halal'.

KENAPA PAS BUKAN PIS? KENAPA AMANAH BUKAN PAN?

Perang saudara ini bukan sahaja melibatkan perkara besar, malah sekecil-kecil perkara turut dijadikan isu. Istilah walaun, PANkhianat, PIS, PAN seolah menjadi perkara biasa.

Yang anehnya, kedua-dua parti ini mengaku sebagai parti Islam. Tapi malangnya, bahasa-bahasa yang dituturkan kedua-kedua keyboard warrior, malah sesetengah pimpinan kedua-dua parti, tidak mencerminkan perjuangan mereka.

Isu serpihan bukanlah satu perkara baru bagi PAS. Sejak tertubuhnya PAS, parti ini sudah lalui pelbagai serpihan. Paling dahsyat ketika Darurat Kelantan 1977 yang melahirkan sebuah parti serpihan, Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA). Ketika itu PAS disingkirkan dari BN dan hilang kerajaan negeri Kelantan. Tempat PAS digantikan BERJASA.

Seterusnya, kemunculan Parti Hizbulmuslimin Malaysia (HAMIM) pimpinan mantan Yang Dipertua PAS (kini digelar Presiden), Asri Muda. Dan timbul lagi serpihan-serpihan lain seperti ISLAH, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Jalur Tiga (JATI) dan terbaru AMANAH.

Melihat kepada sejarah, seharusnya PAS perlu abaikan saja serpihan dek kerana pengalaman mereka. Bukannya melayan dengan mengeluarkan pelbagai isu yang memfokuskan AMANAH sehingga tenggelam isu-isu rakyat. 

Begitu juga dengan AMANAH, kalian sudah ada rumah sendiri maka jagalah rumah itu. Jangan ambil peduli tentang rumah lama.

DAP TAK ENDAH SERPIHAN

Mungkin ramai tak tahu bahawa DAP sendiri mempunyai sendiri.

Dalam sejarah politik, DAP pernah melahirkan Socialist / Sepakat Democratic Party (SDP) serta Malaysian Democratic Party (MDP).

Malah tokoh DAP, Tan Sri Lee Lam Thye sendiri pernah keluar dari DAP. Kalau diikutkan logik, sudah pasti adat politik kita akan berperang dengan serpihan kita.

Tapi pendekatan DAP tidak. Mereka seolah tidak endahkan sangat parti serpihan mereka.

Dan terbaru, ramai tidak sedar wujud serpihan terbaru dari DAP, People's Alternative Party (PAP). Pada 30 Oktober 2015 pendaftaran PAP diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta dilancarkan pada 5 Disember 2015 oleh Presiden PAP, Zukifli Mohd Noor di Hotel Quality, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

PAP ditubuhkan oleh mereka yang tidak sebulu dengan pimpinan DAP terutamanya di Pulau Pinang.

Pelancaran PAP di Kuala Lumpur
Walaupun serpihan, tapi belum pernah terlihat kenyataan atau perang mulut antara DAP dan PAP. Malah kewujudan PAP seperti biasa-biasa je, malah lebih teruk sambutannya berbanding kemunculan KITA, serpihan PKR dahulu.

DAP malah terus memfokuskan pada agenda parti mereka. Yang malangnya, pergaduhan PAS dan AMANAH pada hakikatnya memberi saham kepada DAP. Undi DAP amat sukar terganggu, itulah strategi politik mereka.

FOKUS ISU RAKYAT

Sudah sampai masanya untuk PAS dan AMANAH fokuskan apa yang patut. Gaduh sesama sendiri akan menyebabkan golongan Melayu terutama orang muda, bukan memberi sokongan padu, malah jadi bosan. Lebih parah, kalau golongan ini boikot pilihanraya nanti.

Dengan pelbagai kemelut ekonomi yang sedang dihadapi, adalah molek kedua-dua parti ini turun padang dan hentikan memberi label-label jelik. Baiki rumah masing-masing.

Soal pembahagian kerusi, masih ada masa untuk kalian bincangkan nanti. Tiada yang mustahil bagi kedua-dua parti ini bersama balik. Politik itu seringkali ada kejutan. Dan hentikan menganggap diri sebagai satu-satunya parti Islam.

Untuk rekod, bukan PAS dan AMANAH sahaja parti Islam di Malaysia, malah masih ada parti lain misalnya BERJASA/ISMA, dan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM). - WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda